Pages

Tuesday, August 31, 2010

Revolusi padi Afrika




PADI Afrika adalah campuran benih tempatan dan Asia untuk menjadikannya baka yang berkualiti.

SEORANG petani, Ali Kassim, 32, mencabut satu persatu rumpai yang tumbuh meliar di dalam bendang padinya. Tanamannya itu sebenarnya jarang ditemui di Afrika.
Berabad-abad lalu, padi Afrika telah pupus akibat dipinggirkan gara-gara kemasukan benih yang lebih berkualiti dari Asia.
Para penyelidik berharap petani seperti Ali akan bertambah ramai. Ali ialah antara 100 orang petani di Atakpamey iaitu wilayah tengah Togo yang mengambil bahagian dalam program percubaan Pusat Padi Afrika (AfricaRice).
Di negara kecil Afrika Barat itu, pakar berharap dapat mengubah cara hidup petani di seluruh benua dengan memperkenalkan semula beras Afrika atau Oryza glaberrima dalam usaha mengawal krisis makanan.
Mula ditanam kira-kira 3,500 tahun lalu dan hampir mengalami kepupusan, padi Afrika dilupakan kebanyakan petani setelah diperkenalkan dengan variari Asia, Oryza sativa. Ia mempunyai daya ketahanan penyakit yang lebih baik dan telah diimport sejak 450 tahun.
Bagaimanapun, padi tempatan lebih berkhasiat dan para penyelidik pada masa kini sedang mengerjakan cara-cara memproses baka bagi mendapatkan benih padi yang lebih sihat dan dapat ditingkatkan hasil tuaiannya.
“Objektif utama ialah supaya Afrika mendapat keyakinan untuk menghadapi isu sumber makanan. Kami memberi keutamaan untuk pembaikan baka padi ini agar beras Afrika lebih kompetitif di kalangan pasaran beras Asia,” jelas Ketua Penyelidik Program, Moussa Sie.
Dengan hasil pengeluaran yang seringkali tidak dapat memenuhi permintaan yang meningkat, Afrika mengimport sebanyak 40 peratus beras yang diperlukannya yang bernilai AS$3.6 bilion pada tahun 2008. Jumlah tersebut dinyatakan berdasarkan laporan AfricaRice.
Kebergantungan Afrika menimbulkan risiko terutamanya ketika berlakunya krisis makanan global pada tahun 2008, iaitu apabila harga komoditi asas melonjak lalu menyebabkan kekurangan bekalan dan gangguan ketenteraman sosial di seluruh dunia.

SUMBER beras dunia sedang mengalami kemerosotan dalam diam.

“Bahan-bahan asas itu akan mengalami nasib yang sama seperti tahun 2008. Bekalan beras dunia semakin menyusut manakala El Nino pula mengancam pengeluaran beras di Thailand serta Filipina.
“Walaupun terdapat peningkatan dalam pengeluaran bijirin tempatan pada tahun 2008 dan 2009, Afrika terus bergantung tinggi pada bantuan makanan dunia untuk pasaran beras, jagung dan makan ruji,” beritahu Ketua Pengarah AfricaRice, Papa Abdoulaye Seck.
Bagaimanapun, menurut AfricaRice, bijirin kini menjadi sumber utama makanan di Afrika Barat. Pengambilannya dalam diet harian rakyat Afrika telah mengalami kenaikan tahunan sebanyak 4.5 peratus sejak 1961 hingga 2006.
Baka campuran
Sementara itu, Moussa Sie memberitahu bahawa padi yang sedang diuji mereka adalah campuran kedua-dua baka dengan majoriti gen padi Afrika.
“Antara aduan utama yang sering diterima berhubung padi Afrika ialah kedudukannya yang akan tertunduk ke tanah sepenuhnya apabila padi sudah masak.
“Padi juga akan luruh sendiri ketika matang. Tujuan ujian itu adalah untuk mencuba setiap kaedah penanaman bagi menilai kelebihan dan kekurangan kami dalam bidang ini,” terang Ahli Genetik AfricaRice, Marie Noelle Ndjiondjop.
Moussa Sie pula menambah, hanya dengan mengembangkan budaya beras baru, Afrika mungkin akan dapat menangani isu kebuluran di seluruh wilayah tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, rakyat Nigeria paling teruk dilanda masalah kekurangan bekalan makanan. Jutaan orang menderita akibat kemarau hingga kehilangan hasil tuaian dan ternakan.
Sebab itulah, Pusat Beras Afrika kini giat memberi bayaran dan biji benih kepada petani untuk mengambil bahagian dalam program semaian eksperimental itu.
Bagi Ali Kassim yang sedang gigih mengusahakan padi, hasil pertamanya sudah pun menunjukkan keputusan memuaskan.
“Kami mendapati hasilnya sungguh bagus. Padi yang dituai telah dihantar ke kilang untuk dikupas dan dipecahkan. Inilah yang dikatakan revolusi dalam bidang pertanian,” jelasnya.
kredit : kosmo.com.my

No comments: