Pages

Wednesday, July 28, 2010

Penduduk Somalia diarah serah televisyen sebelum puasa

MOGADISHU: Kumpulan pemberontak Islam Somalia, al-Shahab, mengarahkan orang ramai di kawasan pentadbiran mereka supaya menyerahkan televisyen dan cakera satelit jika tidak mahu dianggap sebagai ejen musuh.
Pertubuhan yang menguatkuasakan undang-undang ketat syariah sebelum ini turut mengharamkan loceng di sekolah, nada dering telefon dan muzik di radio.
Mereka turut mengharamkan orang ramai menonton perlawanan bola sepak atau wayang.

Arahan terbaru itu dibuat menjelang kedatangan Ramadan bulan depan.

Penduduk Buula-barde, Abshir, berkata pertubuhan itu bimbang jika kemudahan berkenaan digunakan sebagai saluran peribadi atau berkomunikasi dengan pihak luar.

“Dulu kami tak boleh menonton sukan atau filem, kini mereka melarang pemilikan televisyen,” katanya. Seorang lagi penduduk di situ berkata, arahan itu dimaklumkan dalam perjumpaan awam Jumaat lalu.

“Kami tak suka menyerahkan barangan peribadi kepada orang lain,” katanya.

Amaran itu memang membimbangkan kerana al-Shahab pernah menjatuhi hukuman mati kepada berpuluh orang awam atas dakwaan menjadi pengintip kerajaan atau tentera asing.

Seorang wakil rakyat di bandar itu pula berkata, kumpulan radikal terbabit memberi perhatian kepada perkembangan Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mereka memberi perhatian serius kerana tentera Afrika mungkin bertindak ke atas pertubuhan itu tidak lama lagi,” katanya. - Reuters

No comments: