KUALA LUMPUR 27 Julai – Seramai 100 angkasawan dari 35 negara dijemput menghadiri perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bersama pasangannya, Dr. Halina Mohd. Yunos pada 10 Oktober ini.
Sheikh Muszaphar berkata, selain mereka, beliau juga akan menjemput para tetamu jemputan khas termasuk perdana menteri, keluarga diraja dari dalam dan luar negara untuk memeriahkan hari perkahwinannya.
Beliau berkata, perkahwinannya akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan Masjid Besi di Putrajaya dan akan dibuka untuk dihadiri oleh orang ramai.
“Setakat ini, persiapan telah mencecah 30 peratus dan kad-kad jemputan akan diedarkan mulai bulan depan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkahwinannya yang turut ditemani tunangnya, Dr. Halina di sini hari ini.
Memilih tema perkahwinan ‘Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan’ dengan sentuhan rona biru yang menggambarkan angkasa lepas, keemasan (warisan Melayu) dan perak (futuristik), beliau berkata, majlis pernikahannya akan ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kejayaannya dalam misi ke angkasa lepas.
Selain itu, katanya ia juga untuk memperlihatkan keindahan budaya, tradisi dan adat resam masyarakat Melayu kepada rakan-rakan angkasawan dari seluruh dunia yang dijangka hadir nanti.
Katanya, dijangkakan kira-kira 10,000 orang akan hadir pada majlis pernikahannya yang bakal dilangsungkan tepat pukul 10.10 pagi.
“Kalau ikutkan, saya mahukan sebuah majlis yang kecil-kecilan sahaja. Tetapi sebagai mengenang jasa mereka yang telah mendoakan kejayaan saya ke angkasa lepas tempoh hari, maka saya buat majlis pernikahan ini secara terbuka,” katanya.
No comments:
Post a Comment