Pages

Wednesday, July 28, 2010

Iran dakwa AS perangi Asia Barat

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mendakwa Amerika Syarikat merancang untuk melancarkan dua peperangan di Asia Barat dalam usahanya menekan Iran, lapor stesen televisyen berbahasa Inggeris, Press TV semalam. 

Kami mempunyai maklumat tepat bahawa Amerika sedang membuat satu rancangan.Negara itu mahu menyerang sekurang-kurangnya dua negara di wilayah itu dalam tempoh tiga bulan akan datang, katanya dalam kenyataan disiarkan Press TV di laman webnya selepas satu temu ramah lewat kelmarin. Ahmadinejad berkata Amerika mempunyai dua matlamat daripada perang yang akan dilancarkannya.

Pertama, Amerika mahu menyekat kemajuan dan perkembangan Iran kerana ia menentang kejayaan kami dan kedua, Washington mahu menyelamatkan rejim Zionis kerana negara Yahudi itu sudah tiba ke penghujung dan Zionis percaya rejimnya boleh diselamatkan melalui tindakan ketenteraan. 

Ahmadinejad berulang kali mengecam Israel yang tidak menolak untuk melancarkan serangan tentera ke atas Iran untuk menghalang program nuklear negara itu. 

Pemimpin Iran itu juga menimbulkan kemarahan kuasa dunia apabila menafikan Holocaust dan menyifatkannya hanya sebagai dongeng, manakala Israel perlu dihapuskan dari peta dunia. 
Sementara itu, Iran berikrar meneruskan program nuklearnya ketika ia mengecam sekatan baru lebih ketat bagi memaksa negara itu kembali ke meja rundingan dengan kuasa besar dunia. 

Sekatan ini tidak akan dapat memaksa Teheran kembali ke meja rundingan dan tidak akan menjejaskan kesungguhan Iran untuk mempertahankan haknya. Sekatan ini tidak akan membantu rundingan, kata jurucakap kementerian luar, Ramin Mehmanparast yang dipetik agensi berita rasmi Iran IRNA. 

Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru ke atas sektor tenaga Iran tiga hari lalu dalam usaha menghalang negara itu meneruskan program nuklearnya. 
Antara sekatan termasuk larangan menjual peralatan, teknologi dan perkhidmatan kepada sektor tenaga Iran selain langkah untuk menjejaskan aktiviti penyulingan. AFP 

No comments: