Pages

Wednesday, July 28, 2010

MILF, komunis setuju berunding damai


MANILA 27 Julai - Kumpulan-kumpulan pemberontak utama Filipina hari ini menyatakan kesanggupan mereka untuk menyambung rundingan damai dengan kerajaan selepas tawaran tersebut dibuat Presiden Benigno Aquino III, namun impian menamatkan pemberontakan yang menyekat kemajuan masih belum dapat dipastikan.
Sejak lewat 1960-an, Filipina berhadapan dengan dua pemberontakan, satu daripada pemisah Islam dan juga pemberontak Mao yang menjejaskan pelaburan di negara yang kaya dengan sumber ini tetapi tersenarai sebagai antara negara miskin di Asia Tenggara.
Konflik yang dicetuskan oleh kedua-dua pihak itu telah meragut lebih 160,000 nyawa.
Semalam, Aquino berkata, rundingan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemisah terbesar Islam di negara ini akan disambung semula selepas bulan Ramadan yang bermula Ogos ini.
Beliau turut menyeru gencatan senjata dengan pemberontak Mao sebelum menyambung semula rundingan yang tertangguh.
Kumpulan pemberontak komunis dengan 4,000 anggota turut menyuarakan kesediaan berunding semula, namun menolak gencatan senjata sehinggalah kerajaan mengambil langkah pembaharuan politik dan ekonomi yang turut disertakan dengan pembahagian tanah dan memiliknegarakan industri.
Mereka turut mengulangi desakan agar beberapa banduan yang terlibat dengan rundingan yang tertangguh enam tahun lalu dibebaskan.
"Saya sejak dahulu lagi mengusulkan disambung semula dan mempercepat rundingan damai, terutama berhubung pembaharuan sosial dan ekonomi," kata pengasas parti Barisan Demokratik Kebangsaan (NDF), Jose Maria Sison yang tinggal dalam buangan di Belanda sejak lebih 20 tahun lalu.
Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal turut menyatakan kesanggupan menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan jika ia menjurus kepada perjanjian politik yang memberikan penduduk Islam pemerintahan sendiri di selatan negara majoriti Katolik ini.
"Kami lebih daripada bersedia untuk membincangkan penyelesaian politik dengan kerajaan. Kerajaan sedar akan pendirian kami untuk mendapatkan tanah air bagi penduduk Islam dan nilai pulangan lebih besar daripada sumber strategik seperti minyak, gas dan mineral. Tiada perubahan dalam pendirian ini," tegas Iqbal.
Katanya, MILF juga tidak bersetuju untuk menggantikan Malaysia dengan negara lain sebagai orang tengah ataupun memansuhkan perjanjian masa lalu dan memulakan yang baru.
Rundingan damai dengan MILF dan NDF sudah banyak kali tertangguh dan perjanjian yang dipersetujui masih kabur. - REUTERS

No comments: