Menyambung tajuk tersebut, pada kali ini kami tidak berhasrat untuk mengemukakan dalil-dalil selanjutnya. Melihat kepada ruangan yang agak terhad kami ingin mengajak pembaca melihat bagaimana kuat dan tingginya kecenderungan para sahabat memuliakan dan mengagungkan Rasulullah SAW.
Ini adalah jalan yang paling mudah untuk kita melihat dan mengetahui cara yang sepatutnya kita menyanjung Rasulullah SAW dan bagaimana seharusnya kita meletakkan pandangan dan ikatan hati kita terhadap Baginda SAW.
Kelebihan para sahabat
Mereka adalah para penghulu yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam ibadah dan pendekatan diri kepada Allah. Mereka juga adalah sahabat-sahabat yang menjuarai gelaran tertinggi dalam persahabatan dan menjaga etika persahabatan dengan Rasulullah SAW.
Sehingga mereka merangkul gelaran pejuang terhandal dan terkuat mempertahankan Rasulullah SAW dan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.
Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka.
Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, nescaya tidak akan mencapai satu gantang seseorang daripada mereka, apatah lagi setengah daripadanya".
Keghairahan para sahabat memuji Nabi SAW
Mereka juga adalah insan yang paling kuat memuji dan mengagungkan Rasulullah SAW sehinggakan dilihat Nabi SAW sentiasa menjadi keutamaan mereka yang lebih utama daripada diri dan nyawa mereka sendiri.
Nama Rasulullah SAW sentiasa meniti di bibir mereka, wajah Nabi SAW sentiasa bertakhta di hati mereka dan keindahan Rasulullah SAW sentiasa menambat hati mereka.
Tidak ada dalam Islam tegahan daripada memuji baginda SAW. Yang ada hanya tegahan menyamatarafkan baginda SAW dengan manusia yang lain dan tegahan daripada menyamatarafkan baginda SAW dengan Allah atau menyatakan baginda SAW adalah anak tuhan seperti yang dipercayai oleh penganut ajaran Kristian.
Sirah para sahabat dipenuhi dengan kata-kata pujian dan sanjungan mereka terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin seorang insan yang dimuliakan oleh Allah dengan sifat-sifat keistimewaan dan dinobatkan dengan ketinggian kesempurnaannya tidak menarik hati manusia untuk menyayangi dan melantunkan kata-kata pujian memujinya.
Jika Heraclius seorang raja dari bangsa Eropah yang duduk di singgahsana yang indah dan memiliki kedudukan di sisi rakyatnya terlontar di lidahnya kata pujian terhadap baginda SAW apabila mengetahui sifat-sifat Nabi SAW, bagaimana pula hati seorang Muslim yang disuluhi cahaya kebenaran dan keimanan?
Abu Sufyan pernah mengaku secara jujur rasa kagumnya melihat kecintaan para sahabat terhadap Nabi SAW dengan berkata: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mencintai seseorang seperti kecintaan sahabat-sahabat Muhammad terhadap Muhammad".
Amru ibn al 'As r.a pernah berkata: Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana terlalu mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (riwayat Muslim)
Mereka terlalu mengagungkan Rasulullah SAW dan menjaga peradaban dan tingkah laku terhadap baginda SAW sama ada ketika Rasulullah berada di hadapan mereka atau tidak.
Imam Tirmizi r.a meriwayatkan hadis daripada Anas r.a: Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui para sahabatnya daripada golongan Ansar dan Muhajirin ketika mereka sedang duduk. Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan Umar ibn al Khattab. Tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkat pandangan kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar al Khattab. Kedua-duanya memandang baginda SAW dan Nabi SAW memandang mereka berdua. Mereka berdua tersenyum kepada baginda SAW, dan baginda juga tersenyum kepada mereka berdua".
Usamah ibn Syarik r.a berkata: "Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika para sahabat berada di sekeliling baginda SAW. Aku lihat seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka".
Apabila Nabi Muhammad SAW berbicara, maka mereka yang duduk bersamanya akan menundukkan kepala mereka, seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka.
'Urwah ibn Mas'ud pernah menyaksikan betapa besar penghormatan dan pengagungan para sahabat r.a terhadap Rasulullah SAW ketika dia diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah.
Menurut Urwah, jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah baginda SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka.
Tiada sehelai rambut baginda SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila baginda mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya.
Apabila baginda berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada baginda SAW kerana membesarkannya.
Ketika kembali kepada kaum Quraisy yang mengutusnya, 'Urwah ibn Mas'ud berkata: "Wahai bangsa Quraisy! Sesungguhnya aku pernah menemui Kisra (Raja Farsi) dalam kerajaannya dan aku juga pernah menemui Qaisar (Raja Rom) di dalam kerajaannya. Aku juga pernah melihat Najasyi (Raja Habsyah) di dalam kerajaannya. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang raja pada suatu kaum seperti Muhammad SAW dengan para sahabatnya".
Dalam riwayat yang lain, dia berkata: "Tidak pernah sekali pun aku melihat seorang raja yang diagungkan oleh rakyatnya, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diagungkan oleh para sahabatnya. Sesungguhnya, aku telah melihat suatu kaum yang tidak akan menyerahkannya (Muhammad SAW) kepada musuh-musuhnya untuk selama-lamanya".
Lihatlah bagaimana para sahabat begitu mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kebesaran. Mereka tidak pernah dikatakan musyrik atau kafir kerana menyanjung baginda SAW. Mereka telah menjaga hak ketuhanan dan kerasulan dengan sempurna.
Bagaimana pula dengan kita? Adakah sirah para sahabat yang menjadi ikutan atau amalan jahiliah yang kita amalkan?
Menyempitkan perbicaraan mengenai perkara yang luas ini hanya akan menjauhkan umat manusia daripada Nabi SAW dan dari menghayati keindahan Islam itu sendiri.
Ini secara tidak langsung akan menjauhkan umat Islam dari roh Islam yang sebenar kerana Rasulullah SAW adalah lambang dan simbol kepada roh Islam yang sejati.
Ketandusan roh Islam dalam jiwa umat Islam akan melahirkan umat Islam yang lemah, lesu dan mudah diperkotak-katikkan oleh agenda musuh-musuh Islam.
No comments:
Post a Comment