KOTA BHARU: “Anak saya begitu gembira dapat kembali ke sekolah selepas tergendala selama sebulan akibat dikahwinkan bapanya dengan seorang lelaki tabligh pertengahan bulan lalu,” kata Siti Sarnan Mat Ail.
Siti Sarnan, 42, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu, Siti Zubaidah Hussin, 11, sudah mula bersekolah di Sekolah Arab Riayatul Diniyah, Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, bermula kelmarin dan begitu gembira bertemu rakan baru.
Katanya, Siti Zubaidah juga boleh menyesuaikan diri dengan suasana sekolah baru itu selain sungguh bersemangat ke sekolah dan kini berada di tahun lima.
“Siti Zubaidah kelihatan begitu gembira dapat pergi ke sekolah bersama beberapa sepupunya.
“Nampaknya dia sudah dapat menerima semua yang terjadi ke atasnya dan trauma terhadap kejadian itu semakin hilang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Menurut Siti Sarnan, rakan baru Siti Zubaidah juga boleh menerima keadaan anaknya itu dan mereka sentiasa memberi semangat kepada anaknya itu untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, dia berharap anaknya akan berjaya dalam hidup dan menjadikan pengalaman dikahwinkan pada waktu muda tanpa kerelaannya itu sebagai pengalaman berguna bagi mematangkan kehidupannya.
“Saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada Siti Zubaidah supaya melupakan semua yang berlaku ke atasnya,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Siti Zubaidah dikahwinkan oleh bapanya, Hussin Salleh, 54, kepada rakan jemaah tanpa kerelaan anak perempuannya itu.
Selepas dikahwinkan Siti Zubaidah dibawa ke Kuala Lumpur oleh lelaki berkenaan selama 23 hari sebelum ditemui semula kira-kira jam 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Jumaat minggu lalu.
Sementara itu, Siti Sarnan berkata, trauma anaknya terhadap kejadian malang itu juga semakin hilang selepas mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga selain tinggal bersama datuknya, Mat Ail Hassan, 70, di Kampung Bukit Mas, dengan kerelaannya sendiri.
“Saya berharap kes ini selesai dengan secepat mungkin supaya kehidupan Siti Zubaidah kembali normal selain menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment