|
|
ISU gadis tempatan yang melarikan diri semakin hangat diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak lima tahun lalu, nama Pulau Lombok, Indonesia menjadi semakin sinonim dengan perbuatan melarikan anak gadis Malaysia, kebanyakannya di bawah umur 18 tahun. Dianggarkan sehingga 600 gadis tempatan kini menjadi suri rumah di Lombok.
Dalam mengupas isu jejaka Lombok melarikan gadis tempatan di bawah umur, Sembang Utusan Online telah menjemput Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh dan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, yang juga Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.
Berikut ialah wawancara dua panel jemputan tersebut bersama Pengarang Berita II, Utusan Online, LUKMAN ISMAIL dan Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR.
UTUSAN: Isu gadis-gadis tempatan yang mengikut teman lelaki mereka ke Lombok dan berkahwin di sana merupakan satu gejala yang makin kerap berlaku hari ini. Kenapa ini berlaku?Dalam mengupas isu jejaka Lombok melarikan gadis tempatan di bawah umur, Sembang Utusan Online telah menjemput Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh dan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, yang juga Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.
Berikut ialah wawancara dua panel jemputan tersebut bersama Pengarang Berita II, Utusan Online, LUKMAN ISMAIL dan Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR.
KAMAL:
Pertama sekali, jika kita bercakap tentang mengapa mereka lari, kita melihat kepada satu asas mudah iaitu perasaan! Apabila gadis meningkat dewasa, dengan hormon estrogennya, remaja wanita mengalami perubahan dari peringkat kanak-kanak menjadi remaja.
Pada masa itu tubuh mereka memberi isyarat yang dirinya memerlukan kasih sayang, memerlukan seseorang dan sebagainya. Maka ketika itu kekeliruan mula timbul!
Umur antara 13 hingga 16 tahun sangat-sangat kondusif untuk dipengaruhi dengan mudah, menggunakan ayat-ayat cinta kerana ini yang paling mudah dilakukan. Kalau kita lihat di sinilah bermulanya profil mereka yang terlibat.
Cinta itu tidak salah dan perbuatan itu bukan satu jenayah, tetapi kita tetap takrifkannya sebagai jenayah apabila kita lihat beberapa keadaan berikut:
1) Akta perlindungan gadis dan wanita
2) Umur individu yang terlibat
2) Perbuatan melarikan orang dengan salah iaitu daripada jagaan yang sah
Sebab itulah, walaupun ia merupakan satu konflik atau masalah sosial, ia tetap melangkaui batas jenayah apabila telah melanggar beberapa peruntukan untuk melindungi kebajikan dan kepentingan gadis itu yang telah diperkenalkan oleh kerajaan kita.
Gadis ini sememangnya lari kerana perasaan, dia lari kerana cinta. Tiada seorang pun yang lari kerana ekonomi atau diusir oleh keluarga. Keputusan tersebut dibuat sendiri oleh gadis itu dan ini menjadi sebab dan punca yang paling besar buat masa ini.
Kita juga perlu lihat dari sudut penarikan kerana ada push and pull (tarik dan tolak).
Lelaki-lelaki ini juga saya klasifikasikan di bawah forensik psikiatrik sebagai pedofilia! Kenapa kita kata mereka pedofilia dari sudut ilmu jenayah? Kerana mereka adalah orang yang mendapat kepuasan apabila melakukan hubungan, sama ada intim atau tidak dengan kanak-kanak.
Dalam hal ini, kita takrifkan remaja yang dibawa lari itu sebagai kanak-kanak kerana mereka berusia di bawah 18 tahun, bersesuaian dengan peruntukan undang-undang kita.
Mana-mana lelaki yang memikat mana-mana gadis yang berusia di bawah 18 tahun kita memang boleh panggil dia pedofilia! Pedofilia, inilah yang menakutkan sebenarnya.
UTUSAN: Sejak bila gejala ini berlaku dalam masyarakat kita?
KAMAL:
Kebanjiran kes lari dan melarikan gadis ini semakin banyak berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Sebelum itu, ia hanya melibatkan masalah domestik, atau melarikan diri dalam intraMalaysia (dalam negara), dalam daerah-daerah dan negeri-negeri Malaysia sahaja.
Sebelum ia melangkaui persempadanan seperti hari ini, masalah tersebut pada mulanya tidak dianggap sebagai masalah dan dilihat sebagai satu isu yang kecil sahaja.
Tetapi apabila kesan dan impaknya begitu meluas, maka pada ketika itu, saya fikir dengan bantuan beberapa pihak ia telah berjaya diangkat sebagai satu perkara yg memang masalah besar jika kita tidak tampung.
Jika kita tidak bendung, maka ia akan menyebabkan keadaan yang sangat-sangat berbahaya untuk keluarga bahkan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia kita sendiri.
UTUSAN: Adakah kes melarikan gadis yang melibatkan gadis dewasa melebihi umur 20-an?
KAMAL:
Kebanyakan atau majoriti gadis yang terlibat adalah di bawah 18 tahun. Bagi kelompok gadis di atas 18 tahun yang dilarikan, sebabnya berbeza! Mereka sudah memiliki atau mempunyai kebolehan membuat keputusan dan telah memilih sendiri untuk bertindak sedemikian tanpa desakan mana-mana pihak.
Dalam konsep ‘free will’ ini, dia yang pilih. Malangnya, kebanyakan daripada mereka yang berusia lebih 18 tahun ini lebih gemar direkrut oleh sindiket-sindiket dadah daripada dibawa lari untuk berkahwin di seberang.
Kerana apa? Kerana apabila usia gadis melangkaui 18 tahun, peruntukan undang-undang untuk melindungi mereka menjadi semakin terhad. Maka, penjenayah tentu lebih memikirkan lebih baik yang lebih 18 tahun ini dibawa lari untuk sindiket dadah.
Namun ada juga yang melebihi 18 tahun dilarikan untuk berkahwin, cuma tidak banyak. Kalau ada 10 yang melarikan diri, ada kebarangkalian kita temui seorang yang berusia di atas 18 tahun, tetapi tidak lebih daripada itu.
Pedofilia ini berminat dengan mereka-mereka yang di bawah umur! Bila kita cakap tentang pedofilia, kadang-kadang umum tak faham apa itu pedofilia. Ada yang kata ‘ini mesti seorang lelaki gergasi’, yang ganas, sadis dan sebagainya. Tidak!
Dalam konteks kriminologi atau penjenayahan, lelaki-lelaki yang memikat gadis-gadis ini, anak-anak gadis di bawah umur ini, inilah raksasa yang dipanggil pedofilia. Tahap mereka ini sama juga dengan lelaki yang merogol kanak-kanak. Kita tidak boleh nafikan mereka berada dalam kelompok yang sama dengan perogol tersebut.
UTUSAN: Adakah sesiapa sahaja yang mengganggu gadis bawah umur juga dianggap pedofilia?
KAMAL:
Kalau kecenderungan seseorang itu minat mereka kepada gadis yang di bawah umur, pedofilialah! Katakanlah umurnya 30-an atau 40-an tetapi minatnya hanya kepada mereka yang tingkatan dua.
Minat ini juga bukannya minat suka-suka macam minat antara budak sekolah, ini minat dengan kecenderungan seksual terhadap gadis tersebut.
Walaupun dia sudah berkahwin ataupun tidak, ataupun sudah mengalami pengalaman seksual ataupun tidak, tetapi kepuasan abadi bagi dia hanya apabila dapat menjalin hubungan seksual dengan kanak-kanak - pedofilia. Perlu kita ingat, di bawah 18 tahun ini kita masih lagi panggil kanak-kanak.
UTUSAN: Berapa ramaikah gadis tempatan yang melarikan diri ke Lombok telah diselamatkan Biro Aduan Komuniti UMNO?
KHAIRUN:
Yang lebih penting bagi kami di biro adalah kegusaran tentang anak-anak gadis di bawah umur yang dilarikan. Seperti yang dilaporkan di media-media utama negara sebelum ini, kita telah selamatkan tiga anak gadis di bawah umur, di bawah 18 tahun yang lari atau dilarikan ke Lombok.
Saya juga ingin sentuh ulasan Kamal tadi melibatkan hormon estrogen dan sebagainya. Memang benar ada sifat kasih dan sayang serta kemahuan seorang wanita atau insan ketika mencecah umur matang itu (baligh), kemahuan yang memang mendesak untuk kasih sayang.
Tetapi apa pun juga, keluhuran dan kedaulatan undang-undang harus diangkat. Dalam konteks Malaysia, kita ada Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini memang kerajaan gubal kerana hendak melindungi gadis-gadis di bawah umur daripada sebarang pengeksploitasian.
Bila kita buat rumusan dalam Akta Kanak-Kanak itu pun, sifat kes-kes melarikan gadis ini tergolong di bawah pengeksploitasian dan ini berbalik kepada sikap pedofilia yang disebut oleh Kamal tadi.
Itu isu undang-undang! Isu kedua ialah isu budaya disebabkan budaya mereka. Pekerja asing Indonesia ini seharusnya menghormati budaya kita di sini. Saya fikir, sehingga hari ini budaya kita dijunjung tinggi dan budaya di sini memerlukan satu budaya santun yang sangat tinggi.
Kita memerlukan anak gadis tempatan ataupun sebarang hubungan nikah yang dijalin, seharusnya mendapat restu dan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu.
Ketiga ialah kesejagatan undang-undang antarabangsa. Kebanyakan gadis di bawah umur ini tidak sedar mereka telah melanggar undang-undang negara asing. Dalam konteks ini, undang-undang negara Indonesia.
Mereka mungkin terlupa ataupun tidak sedar bahawa apabila mereka masuk secara haram atau tidak pun sah ke dalam Indonesia, mereka secara automatik sudah melanggar undang-undang imigrasi Indonesia.
Dan di bawah undang-undang keimigrasian Indonesia, di bawah fasal 5 dalam undang-undang tersebut, seseorang yang masuk Indonesia secara haram ataupun tidak sah boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun serta denda 30 juta rupiah (RM11,100).
Yang ini sebenarnya membuatkan kita sedikit resah kerana gadis-gadis ini ada yg ditahan, seperti dalam kes Zuliyani (Norzuliyani Alias) dan Bella (Salsabila Yunan), sebenarnya mereka secara teknikal sudah ditahan pihak berkuasa imigrasi di Lombok.
Hasil inisiatif kita dan dengan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya Wisma Putra, mereka dapat dibebaskan, tetapi sebenarnya ia bukan hak mereka untuk dibebaskan.
UTUSAN: Adakah mereka dibebaskan atas budi bicara pihak berkuasa Indonesia?
KHAIRUN:
Mereka dibebaskan atas kemahiran dan kepandaian kita berkomunikasi dengan pihak imigrasi di Indonesia serta budi bicara bersama.
UTUSAN: Apa tarikan lelaki Lombok ini sehingga ramai remaja kita begitu jatuh cinta dengan mereka dan sanggup melarikan diri ke seberang?
KAMAL:
Saya fikir kualiti mengurat lelaki Malaysia kini barangkali sudah luntur. Kita di sini mungkin tidak lagi memikirkan kata-kata yang cantik, jalan cerita yang santun dan skrip yang baik untuk bercinta. Tetapi, satu hal yang pasti, kebolehan mereka untuk menunjukkan kemesraan memang berkesan. Menunjukkan bermakna sesuatu yang ada bentuk!
Satu lagi yang menjadi penarik, mereka ini pendengar yang terbaik. Kalau adik-adik di bawah umur ini pergi cakap tiada top-up kredit telefon bimbit kepada mereka, pasti dibantu. Perlu kita faham, ukuran cinta bagi kanak-kanak sekolah ini ialah top-up, kalau kita boleh top-up RM10 seminggu, sayanglah -- itu cinta.
Makanya, apa yang dikehendaki adik-adik muda ini boleh diberikan, minta top-up bagi, mintak T-shirt bagi, beg Hello Kitty pun dapat. Maklumlah orang bergaji hari, bekerja sebagai buruh-buruh binaan misalnya, gaji dia sudah asing ke tepi. Untuk ‘maintain’ pelajar, adik-adik muda ini sangat-sangat mudah.
Ia tidak memerlukan ‘maintenance’ yang tinggi, apa yang dia nak kita bagi. Dia tak minta kereta, kereta sport, rumah banglo, prenuptual - kalau berpisah dapat banyak ini atau itu. Tidak! Tetapi, kena ada hadiah. Ini digunakan sebagai senjata, alat atau medium untuk mendapatkan tempat di hati adik-adik ini.
Dan kerana sosiobudaya atau ‘subculture’ bagi pelajar-pelajar sekolah kini diukur daripada top-up. Barangkali amat rendah nilainya jika hanya dilihat dari dimensi itu, bahawa adik-adik ini sebenarnya mempunyai tag harga tertentu berdasarkan nilai top-up telefon bimbit mereka.
Jadi, apa kelebihan mereka?
Ada orang kata ini mesti ayat pandai la, guna saka la, bakar kemiyan. Saya tak percaya kepada benda-benda karut seperti ini. Di mana-mana juga, seperti mana saya sentuh tadi iaitu pedofilia, mereka akan menggunakan teknik-teknik yang telah dikenal pasti. Mereka ada persiapannya.
Persiapannya, dia akan cari yang mana satu di antara 100 kanak-kanak yang ada di situ, yang mana satu dia nak, yang mana satu menepati citarasa yang dicari-cari.
Yang kedua, dia akan melihat kepada persediaan! Apa yang perlu dilakukan, adakah mudah, bagaimana dengan keluarganya, adakah mereka memerhatikan gerak geri gadis tersebut dan bagaimana dengan orang di sekelilingnya?
Yang ketiga, baru dia buat percubaan! Percubaan untuk berkenal-kenalan, percubaan untuk mengajak keluar sebentar. Kadangkala ibu bapa melihat anaknya keluar selama dua jam sebagai perkara biasa sahaja, tiada masalah.
Tetapi itu adalah permulaan siri-siri perbuatan, percubaan untuk mendapatkan kepercayaan anak gadis mereka. Barangkali kali pertama dibawa keluar, tersentuh tangan pun dia akan ucap ‘minta maaf ya, aku tak sengaja’ misalnya, tanpa menyebut warga mana-mana negara khusus.
Tetapi itu adalah umpan, umpan yang digunakan kerana untuk membeli kepercayaan, maka dia perlu melakukan segala-galanya. Selepas percubaan, barulah dia buat perbuatan itu (melarikan ke seberang).
Ini langkah ‘step by step’ bagaimana dia merancang dan mengumpan. Dalam kata lain, mereka adalah manipulator yang sangat-sangat hebat dan saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Khairun, eksploitasi itu dibuat dengan cara yang sangat-sangat halus.
Ditambah pula dengan kenaifan adik-adik ini, dan itulah punca yang menggerakkan kedudukan kita sekarang ke arah peningkatan kes melarikan diri bersama teman lelaki dari seberang.
UTUSAN: Sebelum ini kita tidak biasa dengan istilah Lombok, sejak 5 tahun kebelakangan ini baru istilah Lombok dinaikkan khususnya dalam kes-kes melarikan gadis. Adakah Lombok sahaja kejadian sebegini berlaku atau ada wilayah-wilayah lain yang terlibat?
KHAIRUN:
Lombok mungkin secara kebetulan. Kita ada banyak kes juga melibatkan jejaka-jejaka dari pelbagai negara, dari pelbagai benua. Tetapi Lombok banyak pekerja dari segi kuantiti di dalam sektor perladangan di Malaysia.
Indonesia juga memang menghasilkan banyak tenaga kerja dari Lombok untuk dihantar ke sektor-sektor perladangan seluruh dunia. Jadi, mungkin kerana kuantiti mereka itu begitu ramai, maka penglibatan mereka dalam kes-kes pengeksploitasian itu juga tinggi.
UTUSAN: Bagaimana dengan kedengaran kisah tradisi pemuda Lombok yang perlu membawa pulang gadis dari tempat lain?
KHAIRUN
Itu balik kepada apa yang saya sebut awal tadi, budaya! Budaya mereka di sana ialah mengiktiraf dan mengangkat sesiapa juga yang boleh melarikan gadis-gadis dari daerah-daerah berlainan di Lombok dan mereka ini seterusnya boleh diiktiraf sebagai ‘orang jantan’.
Tetapi, apabila mereka di Malaysia, saya fikir budaya itu harus ditinggalkan di sana kerana santun kita di sini pula harus dihormati. Di samping kesejagatan undang-undang negara lain, budaya juga memainkan peranan yang penting.
Saya juga ambil kesempatan di sini untuk mengingatkan gadis-gadis tempatan dan juga jejaka Lombok dan negara-negara lain, terutamanya yang mengamalkan budaya sedemikian (melarikan gadis) supaya menghentikan budaya tersebut.
UTUSAN: Apakah kerana gadis-gadis ini telah terlanjur yang memaksa mereka mengikut teman lelaki berkahwin di seberang?
KAMAL:
Berbeza dengan kebiadaban sesetengah lelaki tempatan, lelaki dari seberang ini tidak menggunakan hubungan seksual sebagai pancing. Dengan kata lain, saya berpendapat dan percaya dengan isi hati bahawa mereka tidak menggunakan manipulasi seksual semasa cuba mendapatkan atau sebelum melarikan anak gadis tempatan.
Selepas dilarikan, itu cerita berlainan (seks selepas kahwin). Sebelum melarikan, dia tidak melakukan seperti sesetengah lelaki tempatan. Orang tempatan akan mengambil kesempatan hubungan seksual dahulu dan disebabkan itu seorang gadis yang menjadi mangsa terpaksa mengikut mereka.
Tetapi, bagi kalangan pendatang ini, cara dan kaedah yang digunakan sangat-sangat halus, bahkan tidak dapat dilihat secara seksual selain sikap menabur hadiah. Selepas dibawa lari, barulah mereka berkahwin mengikut adab, adat dan budaya di sana dan berlakunya hubungan seksual.
UTUSAN: Adakah sikap lelaki Lombok lebih romantis?
KAMAL:
Saya tidak melihat mereka sebagai seorang yang romantis, saya sentiasa melihat mereka sebagai raksasa! Kalau mereka romantis, lebih baik dia cari yang sebaya dengannya.
Bila dia mencari kanak-kanak, tidak kena tempatnya untuk kita memberi terminologi bahawa mereka romantis! Ini kerana, ramai lagi lelaki Malaysia yang sangat romantis walaupun tidak ditunjukkan, termasuklah saya sendiri.
Kedua, romantis kita adalah dalam konotasi yang positif tetapi romantis mereka itu ada udang di sebalik batu. Seperti Datuk Khairun kata tadi, menjadi satu kemegahan, kejantanan bagi mereka membawa balik gadis dari sini.
Ia sama dengan negara kita satu masa dahulu apabila orang Malaysia yang berkahwin dengan orang asing dilihat sebagai satu status tinggi. Dan barangkali pemikiran serupa yang menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk melarikan gadis dari Malaysia walaupun melanggar undang-undang kita dan juga undang-undang mereka, dan ini satu masalah besar!
Saya tidak nampak mereka sebagai lelaki romantik, kasanova dan sebagainya. Saya barangkali melihat mereka sebagai Ivan the Terrible, seorang pedofilia, kanibal dan sadis.
UTUSAN: Mengapa ada gadis-gadis ini yang masih tidak dapat lupakan Lombok?
KAMAL:
Tidak ada seorang pun yang boleh nafikan kita tidak boleh lupa cinta pertama, ini masalahnya! Barangkali satu peringkat dulu, cinta pertama kita hanya kepada cikgu sekolah, guru kelas. Apabila berlaku perubahan hormon (baligh), maka sesiapa sahaja yang terlintas pada masa itu, yang menjanjikan dunia kepada kita, menjanjikan kasih sayang, itu kita iktiraf sebagai cinta pertama!
Walau kita alami amnesia tujuh kali sekalipun, perkara yang kita ingat ialah cinta pertama kita. Jadi, adik-adik yang naif dalam kehidupan ini, mereka merasakan cinta boleh beri mereka makan, cinta boleh beri keselesaan hidup dan sebagainya.
Mereka tidak tahu cinta juga boleh membunuh! Dalam keadaan ini, mereka adalah mangsa. Barangkali kalau kita kata mangsa ayat-ayat cinta pun boleh.
Satu hal lagi, saya tidak tahu adakah kadar buta huruf di Malaysia ini terlampau tinggi sehingga golongan gadis di bawah umur ini tidak mengikuti kes-kes serupa yang dilaporkan media? Ada orang kata, mengapa kita harus paparkan kisah ini?
Ironinya, saya berpendapat apa sahaja usaha yang dilakukan media dan biro aduan untuk membantu gadis-gadis terbabit adalah sesuatu yang baik. Jika kita tak paparkan kisah ini, ia akan terus berlaku secara senyap dan menjadi lebih berbahaya.
Bila dipaparkan, kita dapat berkongsi, dapat memberitahu bahawa kita ada masalah ini dan ketelusan inilah yang patut kita hargai.
Yang kelakarnya, dalam situasi ini juga ada orang yang berpendapat masalah lari dan dilarikan ini berpunca daripada kegagalan sesetengah pihak dan sebagainya. Bagi saya, yang gagal adalah ibu bapa sendiri!
Tidak ada kena mengena dengan sistem pendidikan seseorang, di mana mereka tinggal, di kampung, di desa dan sebagainya. Punca masalah ini daripada kegagalan pengawalan dan pengawasan ibu bapa sebenarnya.
UTUSAN: Boleh Datuk kongsi pengalaman dan usaha biro aduan dalam membawa pulang gadis tempatan dari Lombok?
KHAIRUN: Pertama bukan hak kita untuk langkau undang-undang di Indonesia. Kes-kes yang kita selesaikan, terutamanya Zuliyani dan Bella, mereka masuk secara haram. Apabila kita berunding dengan pihak Indonesia, kita berada dalam keadaan yang sangat tertekan kerana anak-anak gadis kita ini telah melanggar elemen undang-undang yang sangat penting dalam keimigrasian mereka.
Seperti mana kita di sini gusar dengan pendatang tanpa izin, mereka juga tidak suka pendatang tanpa izin di sana. Sedikit menyedihkan kerana nama rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa dipandang mulia dan dihormati. Dengan perbuatan sebegini, sedikit demi sedikit kepercayaan terhadap kredibiliti rakyat Malaysia akan terhakis.
Kita selalu berdepan dengan situasi tertekan ketika berunding, tetapi dengan kerjasama dan jalinan muhibah yang dijalinkan, mungkin juga atas dasar bangsa serumpun, mereka dapat dimaafkan dan dilepaskan pihak berkuasa Indonesia.
Tetapi yang lebih merisaukan kami adalah isu anak-anak kepada gadis terbabit kerana status anak yang dilahirkan masih samar. Sama ada diiktiraf sebagai rakyat Malaysia atau tidak, mereka ini menjadi mangsa jangka panjang dalam insiden lari atau dilarikan ini.
Agak menyedihkan, bila berinteraksi dengan anak-anak kecil ini, loghat mereka langsung tiada loghat Malaysia tetapi mereka tetap menyatakan diri sebagai rakyat Malaysia.
Elemen cinta, kasih dan sayang. Ironinya, tiada lagi antara kes-kes yang dibawa pulang dari Lombok di mana suami ambil peduli akan keadaan anak dan isteri mereka di sini. Tiada langsung.
Kita sebenarnya menggalakkan mereka mendaftarkan perkahwinan dan boleh balik ke Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa secara sah. Namun, sehingga kini masih tiada yang menyahut. Ironinya, saya tidak nampak jalinan kasih sayang yang diuar-uarkan itu!
Anak gadis Malaysia harus sedar situasi ini kerana sehingga kini tiada langsung susulan daripada pihak suami dan ayah di Lombok!
UTUSAN: Kalau begitu, mereka cuma mempergunakan wanita kita untuk menunjukkan mereka lelaki sejati?
KHAIRUN: Saya teringat satu pepatah lama, habis madu sepah dibuang. Dalam konteks ini, rupanya macam itu juga. Ketika melarikan anak-anak gadis ini dahulu, mereka berada dalam keadaan mendesak dan memerlukan.
Bila isteri menjadi sedikit liabiliti dan tanggungan, mereka cuci tangan dan biarkan. Mereka pulangkan semula isteri bersama anak-anak kepada keluarga di sini.
Situasi ini, saya tidak nampak kasih sayang seperti mana yang diajar kepada kita. Setahu saya, kasih sayang disusulkan dengan tanggungjawab. Saya tak berani nak kata cinta mereka cinta palsu, tetapi nampaknya begitulah.
KAMAL: Saya sangat-sangat setuju. Bagi saya, mereka melihat gadis-gadis ini sebagai komoditi dan trofi sahaja. Ini adalah ciri-ciri raksasa yang telah menjahanamkan banyak tamadun dan negara sebelum ini.
UTUSAN: Bagaimana penerimaan ibu bapa terhadap gadis yang pulang?
KHAIRUN:
Secara peribadi, saya tersentuh dengan kes Zuliyani yang terpisah selama 12 tahun. Bila dapat disatukan kembali, saya tidak lihat elemen marah atau geram di kalangan ahli keluarganya, malahan mereka dakap dengan penuh kasih dan sayang. Tempoh 12 tahun itu diranjau, ditunggu-tunggu keluarga Zuliyani.
Bella pun sama, dia masih emosi, rindukan Lombok. Tapi ayahnya dan keluarga masih maafkan. Inilah yang menunjukkan kemuliaan masyarakat di Malaysia, saling maaf-memaafkan.
UTUSAN: Apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk mengelak kejadian tersebut menimpa mereka?
KAMAL: Satu sahaja, kita perlu melihat anak itu sebagai satu amanah! Jika kita lihat anak sebagai beban, Insya-Allah kejadian sama boleh berlaku kepada kita.
Hari ini anak sering dianggap sebagai beban. Kita boleh lihat ciri-ciri ini di luar. Mana ada ibu bapa yang senyum ketika hantar anak ke tuisyen, ketika mengambil anak dari tuisyen. Ada yang muncungnya panjang dari ‘traffic jam’ di KL.
Belum ada yang begitu ikhlas untuk jadikan anak-anak satu amanah, ini satu masalah dan kesilapan besar ibu bapa kini.
Kedua, ibu bapa perlu didik anak buat keputusan. Jika pergi beli langsir, mak bertanya kepada anak sesuai atau tidak beli langsir warna merah? Anak pula jawab, dinding rumah warna kuning, lantai warna hijau, tak sesuai langsir warna merah. Tapi, maknya tetap dengan keputusan warna merah semata-mata hendak jimat duit untuk beli barang kemas kemudian.
Di sini, ibu tidak mengajar anak membuat keputusan. Jika ditanya lagi kelak, anak sudah tidak berminat untuk menjawab, tidak minat untuk membuat keputusan. Anak akan beralih kepada kawan-kawan sebagai kiblat mereka. Ajar mereka buat keputusan.
Sebagai contoh, tanya mereka hendak menghabiskan cuti sekolah di mana. Walaupun sudah tetapkan untuk balik ke kampung, biar mereka pilih, pujuk ke arah keputusan yang tepat.
Ketiga, jika ibu bapa menganggap anak sebagai beban, amalkanlah perancangan keluarga! Agak kasar bunyinya, tapi jika tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa, jangan!
Ibu bapa perlu diisi dengan ilmu, amanah dan kasih sayang sepanjang hayat mereka supaya zuriat dibentuk mengikut acuan yang baik.
UTUSAN: Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap fungsi dan usaha biro aduan?
KHAIRUN:
Memang akan dapat kritikan, tetapi kami ambil secara membina. Sambutan di biro sangat menggalakkan dan kami tidak pernah memilih siapa yang hendak ditolong. Yang gila, bukan Melayu pun kita tolong.
Tan Geek Koon di IJN (Institut Jantung Negara) juga kita tolong carikan jantung baru. Setiap bulan, berpuluh-puluh kes kami terima, yang aneh dan lucu pun ada. Ada juga ibu tunggal yang minta saya tolong carikan jodoh untuknya.
Kita terima aduan tapi bukan semua dapat kita tolong. Ada yang melibatkan hal-hal rumah tangga dan agak peribadi, kita cuma beri nasihat.
Setakat ini, sudah ada 200 aduan kami terima, dibahagi dengan setahun, boleh dikira sebagai agak memberangsangkan. Kita juga mendokong 1Malaysia, kepuasan paling tinggi bagi kami adalah dalam menyelesaikan kes.
Kes yang tidak selesai, kita tidak kongsi dengan media kerana dianggap tiada yang boleh dibanggakan. Yang mana berjaya kami bantu, diharap menjadi iktibar bagi rakyat Malaysia.
UTUSAN: Apa pesanan yang boleh diberi kepada gadis tempatan yang mempunyai niat untuk mengikut teman lelaki ke seberang?
KAMAL: Adik-adik tak payah layan lelaki asing sebegini. Jangan kerana kita ada biro aduan, pakat ikut orang asing untuk dibawa lari ke mana sekalipun. Kalau bertuah, ada juga yang prihatin. Macam mana jika disia-siakan, selepas dilarikan ke mana-mana pun?
Jika dijadikan keldai dadah atau untuk perdagangan organ? Rakyat kita sihat dan ini boleh berlaku! Pengalaman cinta itu memang sesuatu yang menyeronokkan. Tapi, jika tidak tahu, tanya! Tanya kepada rakan-rakan atau kaunselor sekolah.
Selain itu, saya juga dapat tahu ada yang memberi kritikan pedas kepada usaha biro aduan, tetapi akhirnya mereka juga yang datang minta bantuan bila ada masalah keluarga. Sebenarnya, kita perlu berterima kasih atas usaha biro aduan dan pihak terbabit.
Isu gadis bawah umur lari dan dilarikan ke seberang ini melibatkan masalah maruah dan kesejahteraan rakyat kita. Bagi adik-adik di luar sana, jika to-pup itu nilai harga diri, banyak lagi lelaki yang lebih baik dan berkemampuan boleh adik-adik dapat dalam negara kita!
Belajarlah rajin-rajin. Jangan kata Lombok, lelaki mana pun adik-adik boleh dapat bila dewasa nanti. Jangan biar diri jadi mangsa, dikongkong dan dimanipulasi orang lain. Buka mata, buka minda, buka hati, kenali diri sendiri. Kita rakyat Malaysia, kita ada maruah sendiri!
Bagi pihak semua yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini, saya berharap adik-adik ini berfikir dengan menggunakan akal dan bertanya jika tidak tahu.
Cabaran kini memang lebih kuat dengan adanya internet, facebook, twitter, myspace dan bermacam lagi. Semua ini membuka ruang luas untuk penjenayah mengambil kesempatan dan ada yang sanggup melangkaui batasan dengan merendahkan nilai dan maruah seorang wanita.
Jangan salahkan media komunikasi, salahkan diri kerana tidak membuat keputusan tepat. Cari rakan, guru, kaunselor atau mereka yang paling dekat dengan adik-adik untuk dapatkan panduan. Ingat pencinta-pencinta boleh dicari sepanjang hayat, ibu bapa sekali sahaja. Fikir sebelum buat!
UTUSAN: Ada yang kata usaha biro bermotifkan politik. Apa pandangan Datuk?
KHAIRUN: Saya nampak ini sebagai satu perkhidmatan, bukan politik. Kita sedar ada yang tidak begitu gemar dengan parti ini tetapi kita bantu juga secara sukarela. Kita beri perkhidmatan kepada semua peringkat rakyat negara ini, tidak kira pandangan politik mereka.
Dengan bantuan Utusan, saya harap masyarakat lebih bersedia menghadapi situasi-situasi sebegini dan sedar akan tanggungjawab mereka. Kami tetap mengalu-alukan mereka yang memerlukan bantuan.
Anda boleh hubungi Biro Aduan Komuniti UMNO melalui e-mel biroaduan@gmail.com atau di talian 03-62078706 atau 03-62079823. Kita alu-alukan semua peringkat dan bangsa di Malaysia!
No comments:
Post a Comment