Pages

Tuesday, March 23, 2010

Muzakarah Haji tingkatkan keberkesanan ibadat



Jamil Khir (tengah) bermesra dengan salah seorang dari 420 peserta yang menghadiri muzakarah haji kebangsaan ke-26 di kota bharu kelantan baru-baru ini.


ULAMA terkenal, Sheikh Muhammad Mutawalli al Sya'rawi berkata: Haji merupakan khatimah (penutup) bagi rukun Islam dan pelengkap nikmat Allah kepada manusia. "Justeru sesiapa yang dimungkinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan rukun haji, sebenarnya Allah telah melengkapkan kepada hamba-hamba-NYA nikmat Rububiyyah.
Ini kerana nikmat Rububiyyah mendahului segala nikmat Uluhiyyah dan ia merupakan nikmat kurniaan Allah," katanya.
Justeru, ibadat Haji yang menjadi kemuncak ibadat wajib individu umat Islam itu merupakan perjalanan ke alam yang kekal abadi, iaitu dengan segala macam bekalan yang diizinkan Allah dalam pakaian ihram, berwukuf di Arafah, lontaran batu-batu di jamrah, tawaf mengelilingi Kaabah, mencukur atau memendekkan rambut di kepala.
Semua itu bak kata ulama terkenal negara, Dr. Muhammad Uthman el Muhammady menjadi lambang ketaatan dan kehambaan yang setinggi-tingginya.
"Bila amalan-amalan (ibadat) itu ditunaikan dengan baik dan sempurna pada zahirnya bererti berjaya juga dari aspek batinnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja di sebuah majlis ilmu tahunan, Muzakarah Peringkat Kebangsaan Kali ke 26 Musim Haji 1431H anjuran Lembaga Tabung Haji (LTH) di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu Kelantan.
Muzakarah yang mengumpulkan seramai 420 para peserta dari seluruh negara termasuk wakil dari negara-negara Asia Tenggara, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam untuk bertemu dan bermuzakarah selama tiga hari bagi mencapai dua objektif utama iaitu;
1) Menyeragam dan menyelaras penyampaian hukum hakam berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah.
2) Meningkatkan keberkesanan Bimbingan Ibadat Haji Kepada Jemaah Haji.
Para peserta terdiri daripada pembimbing Ibadat Haji negeri-negeri, para pengarah LTH negeri, pengurus atau penyelia pentadbiran haji dan para pembimbing ibadat haji (pengelola jemaah haji).
Muzakarah yang dirasmikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut melancarkan DVD Ibadat Haji dan Umrah dan DVD Kenang-kenangan Musim Haji 1430H yang merupakan medium pembelajaran ibadat Haji dan Umrah yang lebih menarik dan mudah difahami oleh para jemaah yang turut menggambarkan suasana terkini di Tanah Suci.
Sedikit mengenai muzakarah yang telah menjangkau usia 26 tahun itu, yang telah berjaya mengumpulkan sebanyak 142 kertas kerja ilmiah untuk diperbincang dan dikumpulkan sebagai panduan untuk para jemaah haji.
Panduan yang diselaraskan dan diguna pakai oleh para jemaah itu telah berjaya menjadikan mereka saban tahun menjadi jemaah cemerlang dan contoh di kalangan jutaan umat Islam yang mengerjakan haji.
Muzakarah kali ini yang bertemakan dari sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: Ambillah daripadaku ibadat haji kamu. (Riwayat Muslim).
Memberikan makna iaitu umat Islam mengambil sepenuhnya dengan mengikut dan penghayatan yang mendalam peribadatan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat ketika menyempurnakan rukun-rukun haji dan wajib Haji. Maka dengan cara itu, segala ibadat haji itu akan memberi kesan yang mendalam ke arah mencapai haji mabrur.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan pada muzakarah kali ini yang membincangkan pelbagai topik haji yang penting. Ini termasuklah apa yang dimaksudkan dengan mengenai wakalah (wakil) haji dan umrah, korban dan segala permasalahan, adakah petugas haji sebenarnya tidak dibenarkan untuk menunaikan haji sebagai para anggota keselamatan seperti polis semasa bertugas di Tanah Suci, masalah menampakkan semua jari dan tumit kaki semasa mengerjakan ibadat haji, masalah mengenai darah haid dan lain-lain masalah jemaah haji wanita dari perspektif perubatan dan sebagainya lagi.
Namun berapa ramai di kalangan kita memahami sepenuhnya pengertian sepenuhnya atau falsafah di sebalik ibadat haji yang tidak sekadar kemuncak atau menyempurnakan rukun Islam yang lima.
Malah sering kali disebutkan menunggu seruan bagi membolehkan seseorang itu ke Mekah sedangkan selagi tidak ada kefahaman mengenai ibadat itu, selagi itulah ibadat haji tidak akan memberi apa-apa makna kepadanya.
Ini sebagaimana yang banyak ditekankan oleh Dr. Muhammad Uthman dalam kertas kerjanya yang bertajuk, "Pemerkasaan Hidup Kerohanian Dalam Masa Melaksanakan Ibadat Haji."
Beliau menukilkan semula kata-kata Imam Al Ghazali dalam kitab utamanya, Ihya Ulum Al Din bahawa seseorang yang memahami kedudukan ibadat haji dalam Islam, maka sudah pasti akan terus menimbulkan kerinduan dan keinginan yang sangat kuat untuknya mengerjakan ibadat itu.
"Pasti hati yang telah begitu merindui ibadat haji akan berazam dan berusaha untuk ke Mekah tanpa menunggu tempoh tertentu untuknya mengerjakan ibadat itu," katanya.
Mereka yang memahami ibadat haji adalah seperti satu hasrat yang sangat besar untuk menemui Raja daripada segala Raja.
"Yang sedia dan sanggup datang rakyat-rakyat yang ingin menziarahi-NYA dari tempat-tempat yang jauh dari segenap penjuru alam, datang dengan rambut kusut masai, kotor berdebu dalam hal merendah diri menyerah kepada Tuan Pemilik Rumah.
"Iaitu jika tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai ibadat haji, yang bagi mereka suatu amalan yang tidak enak pada nafsu dan tidak akan mengerti oleh akal fikiran mereka akan falsafah di sebalik melemparkan batu jamrah, berlari-lari anak antara Safa dan Marwa itu," katanya.
Iaitu kita mesti mengetahui bahawa ibadat tawaf itu ibadat yang menyerupai para malaikat yang mengelilingi Arasy dengan jangan menyangkakan maksud tawaf itu keperluan jasad para jemaah untuk mengelilingi Kaabah semata-mata.
"Bahkan maksud tawaf ialah tawaf kalbu dengan zikir mengingati Tuhan Yang Mempunyai Kaabah itu dan ketika beristilam (melambaikan tangan ke arah Batu Hitam, Hajar Aswad) hendaklah beriktikad bahawa kita sedang melakukan janji setia dan ketaatan kepada Allah dan kita yakinkan bahawa kita akan menunaikannya," katanya.
Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud: "Hajar Aswad adalah (umpama) Tangan Kanan Tuhan di muka bumi maka makhluk-NYA (seolah-olah) berjabat salam dengan-NYA sebagaimana seorang lelaki berjabat salam dengan saudaranya."
Sementara ibadat Saie antara Safa dan Marwa membawakan falsafah ibadat yang begitu tinggi iaitu tidak sekadar memperingati peristiwa Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim yang berulang alik antara bukit Safa dan Marwa sebelum air zam-zam terbit di bawah hentakan kaki anaknya, Nabi Ismail.
Menurut Dr. Muhammad Uthman, Saie itu umpama mengharapkan belas kasihan daripada Allah iaitu pergi menghadap-NYA tanpa mengetahui ia mendapat penerimaan yang baik di sisi Tuhan atau sebaliknya.
"Maka terus meneruslah seseorang hamba itu berulang alik bagi mendapatkan rahmat daripada Allah.
"Malah Safa dan Marwa itu seolah-olah kita pergi berulang alik kepada dua neraca timbangan amal di Padang Kiamat. Safa umpama neraca kebaikan dan Marwa pula seolah-olah neraca yang sebaliknya, kita seolah-olah pergi dan datang antara azam dan keampunan," katanya.
Begitu sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad Uthman mengenai ibadat-ibadat yang lainnya juga. Iaitu seperti berwukuf di Padang Arafah, melontar tiga jamrah dan sehinggalah setiap jemaah yang melakukan ziarah ke Madinah Munawarrah.
"Bila mata anda melihat dindingnya (bangunan-bangunan yang menandakan kita sudah masuk ke Madinah) maka hendaklah kita ingat; inilah negeri yang dipilih oleh Allah untuk Nabi-NYA, iaitu baginda berhijrah ke negeri itu, baginda menentukan aturan syarak- syarak yang wajib dan yang sunatnya, baginda berjuang menentang musuh dan menzahirkan agamanya sehingga baginda wafat dan dimakam di situ.
Sesungguhnya ibadat Haji memerlukan seorang yang tidak sahaja berbekalkan makan minum sepanjang berada di Tanah Suci, tetapi yang mengetahui segala macam aspek ibadat, sekali pun dianggap remeh temeh.
Persoalan seperti melakukan hubungan kelamin selepas melontar Jamrah Kubra, melontar Jamrah secara berlebihan, bagaimana niat ihram dalam keadaan haid, mengalami pendarahan yang tidak menentu, terkentut ketika mengerjakan tawaf, meninggal dunia sebelum menyempurnakan rukun haji, solat dalam hotel berimamkan imam di Masjidil Haram, perbezaan kedudukan tawaf sunat dan tawaf umrah sunat, bolehkah meletakkan syarat ketika berniat ihram dan sebagainya lagi.
Maka sebab itu diadakan muzakarah bagi mempelbagai kemusykilan para jemaah untuk dicari jalan keluar dan seterusnya dapat menyempurnakan ibadat yang sangat besar maknanya itu.

No comments: