November 6th, 2009 · 170 Comments · Pengetahuan Am
oleh Ibnuyaacob
books_cover
Salah satu cara paling berkesan untuk menyelamatkan dunia ilmu sains sosial dari putar belit Freemason dan Illuminati ialah dengan melaksanakan Gagasan PengIslaman Ilmu.
Gagasan PengIslaman Ilmu (GPI)
Gagasan ini mula dibangunkan oleh Allahyarham Dr. Ismail Raji Al-Faruqi yang merupakan profesor Pengajian Islam di Universiti Temple, Philadelphia. Tetapi idea sebenar penggunaan istilah ‘PengIslaman Ilmu’ adalah lonjakan daripada Syed Naquib Al-Alattas dari Malaysia pada 1974.
GPI adalah satu objektif baru yang dibina oleh beberapa kelompok pemikir Islam dalam usaha mengeluarkan konsep-konsep pemikiran dan metodologi sains sosial dari konsep-konsep Barat.
Gagasan PengIslaman Ilmu memainkan peranan penting dalam usaha mendefinasikan semula ilmu-ilmu sains sosial seperti sosiologi, antropologi, psikologi, sejarah, sains politik, ekonomi dan sebagainya mengikut konsep-konsep Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
Namun begitu, ia bukanlah suatu usaha yang mudah kerana umat Islam moden bukan setakat sudah biasa dengan konsep, pemikiran, metodologi dan pendekatan barat, malah sifat mereka juga telah ditentukan oleh asuhan pendidikan sekular moden sejak kecil.
Di universiti-universiti yang lokasinya di negara-negara Islam sekalipun, konsep barat dalam menerapkan ilmu-ilmu sains sosial sudah menjadi sebati di dalam semua fakluti-fakulti sains sosial. Bahan-bahan rujukan profesor dan pensyarah semuanya didominasi oleh buku-buku pemikiran berorientasikan konsep barat.
Kemudian, pemikiran barat itu dalam mentakrifkan hal sains sosial diwariskan pula kepada pelajar-pelajar melalui kuliah-kuliah pengajian.
Melaksanakan GPI adalah tugas yang sukar
Menurut Dr. Mohammad Omar Zubair, bekas Presiden Universiti Malik Abd Aziz;
Pendidikan adalah satu-satunya cara untuk memperolehi kebijaksanaan, tapi malangnya ideologi-ideologi Barat yang mengelirukan dan dogma kebendaan dunia sekular telah merobohkan dunia Islam.
Tambahnya lagi,
Keghairahan untuk mendapatkan kemajuan kebendaan dan intelektual dengan pantas telah menyebabkan dunia Islam menerima sistem pendidikan barat secara total dan cuba pula menggabungkannya dengan sistem pendidikan Islam.
Menurut pandangannya juga keadaan tergesa-gesa dalam mengaplikasikan sistem pendidikan barat telah menyebabkan dunia pendidikan di negara-negara Islam yang mengejar pembangunan berada dalam keadaan yang sumbang. Kesumbangan ini berlaku kerana konsep keimanan dan sekularisme adalah dua perkara yang jauh berbeza dan tidak dapat disatukan.
Kesukaran melaksanakan Gagasan PengIslaman Ilmu lebih sukar lagi apabila pihak pemerintah Islam sendiri menganaktirikan pendidikan berteraskan Islam. Pendidikan berasaskan sekular dan ilmu-ilmu akademik diberi pengiktirafan yang tinggi serta dimuliakan.
Barat mengetahui bahaya Gagasan PengIslaman Ilmu
Konsep GPI ini jika benar-benar diadaptasikan oleh pemerintah Islam di seluruh dunia, nescaya ia akan mempercepatkan proses mengembalikan semula zaman kegemilangan ilmu-ilmu masyarakat Islam zaman dahulu.
Konsep ini juga pada akhir objektifnya akan membawakan setiap manusia Muslim itu ke arah mengagungkan semulailmu-ilmu Islam kerana pada hakikatnya dalam sejarah Islam, setiap tokoh-tokoh Islam itu tidak sahaja menguasai ilmu duniawi tetapi juga alim di dalam ilmu-ilmu ukhrawi.
Namun demikian, usaha-usaha menghalang gagasan ini dari berkembang luas nampaknya dilakukan dengan drastik oleh golongan Illuminati. Pada 1986, Dr. Ismail Al-Faruqi dan isterinya, Dr. Louis Lamya telah dibunuh di rumahnya. Ramai pemerhati mengesyaki bahawa komplot pembunuhan ini didalangi oleh Jewish Defense Leage (JDL).
Sesungguhnya, pembunuhan Al-Faruqi telah membuktikan beberapa perkara tentang Gagasan PengIslaman Ilmu:
* Pembunuhan Dr. Ismail Al-Faruqi membuktikan bahawa betapa konsep GPI ini boleh membangunkan intelektual-intelektual Muslim dalam ruang metodologi Islam dengan kadar yang cepat, pantas dan ramai.
* Ia membuktikan bahawa intelektual-intelektual Yahudi dan ideologi-ideologi mereka yang berselerak di Oxford dan Harvard boleh ditewaskan oleh sarjana-sarjana Islam masa kini.
* Ia membuktikan bahawa penerapan Sistem Pendidikan Barat @ Sekular di negara-negara Islam sengaja dirancang bagi menghalang kelahiran genius-genius Ulama Muslim zaman moden.
* Ia membuktikan bahawa masyarakat Islam terkebelakang dalam segala hal hanya kerana mengamalkan Sistem Pendidikan Barat.
* Ia membuktikan bahawa Perang-Perang Dunia adalah satu ‘pakej konspirasi’ yang lengkap dalam usaha menjajah negara Islam. Negara Islam tidak hanya diserang dan dijajah bahkan pemikiran, ideologi dan kepercayaan agamanya juga diganggu-gugat melalui satu sistem aliran politik dan pendidikan yang tersusun.
* Ia membuktikan bahawa buku-buku rujukan Sains Sosial yang diimport dan dikitabkan oleh profesor-profesor universiti adalah punca kemunduran umat Islam.
* Ia membuktikan bahawa ilmu-ilmu Islam tulen seperti Fekah, Tauhid, Mantik, Adab, Nusus, Syariah dan seangkatannya memerlukan satu pintu keluar agar kehebatan ilmu-ilmu itu dapat ditampilkan. Sesungguhnya pintu itu mestilah sebuah polisi pendidikan yang mempunyai nafas Islam seperti ‘Gagasan PengIslaman Ilmu’.
Contoh PengIslaman Ilmu : PSIKOLOGI
Antara disiplin Sains Sosial yang terdapat di universiti ialah Psikologi. Disiplin ini mengkaji tentang masalah kejiwaan, pemikiran, sifat dan tingkahlaku dalam manusia. Bagi pengamal-pengamal disiplin Psikologi, mereka akan mempelajari bahawa disiplin Psikologi mempunyai mazhab-mazhab tersendiri yang mana setiap darinya terdapat pula tokoh-tokoh yang mengasaskannya.
Mazhab-mazhab itu ialah Behaviorisme, Kognitivisme, Humanisme dan Psikoanalisis. Misalnya tokoh mazhab Behaviorisme adalah John B. Watson, B.F. Skinner dan Edward Thorndike berpegang kepada prinsip bahawa setiap sifat manusia ini adalah berpunca dari pelaziman tingkah laku. Maka pelbagai penyelidikan dilakukan untuk membuktikan konsep mereka ini benar.
Menurut Dr. Louis Kamel Matikah di dalam bukunya bertajuk Readings in Social Psychology in Arab State (1970), kebanyakan ahli-ahli psikologi Muslim menghadapi masalah di dalam kajian kemasyarakatan kerana mereka telah mengguna pakai rangka penyelidikan yang sebenarnya dirangka untuk masyarakat barat.
Hasil penggunaan metodologi yang silap dan tidak berteraskan keIslaman, maka keputusan yang didapati ke atas masyarakat Islam adalah tidak tepat.
Di dalam kertas kerja bertajuk An Islamization of Knowledge Process in Psychology (1977) oleh Dr. Abd Hamid al-Hashimi, beliau mengatakan;
Hasil dari latihan yang didapati dari luar, sebilangan ahli psikologi kita menggunakan teori dan prinsip psikologi Barat di dalam bidang kajian mereka terhadap masyarakat Islam.
Sejarah tokoh Psikologi sengaja diputar belit
Di dalam kertas kerja yang sama juga, Dr. Abd Hamid mengatakan intelektual Islam lebih dahulu memperkenalkan disiplin Psikologi berbanding profesor-profesor barat. Malah kajian yang dilakukan oleh sarjana Islam klasik lebih mendalam dan menepati kehendak masyarakat Islam itu sendiri.
Beliau menegaskan bahawa walaupun Barat cuba mengaitkan pemikiran Aristotle dari Greek untuk menjana sejarah klasik Psikologi tetapi hakikatnya mereka hanya baru memperkenalkan disiplin ilmu ini sekitar 1800-an.
Tetapi umat Islam lebih mendahului disiplin ini dari barat yakni 850 tahun sebelum itu. Ini bermakna Barat hanya berjaya memperkenalkan disiplin Psikologi selepas 850 tahun umat Islam meneroka ilmu ini. Perkara ini tidak diilmukan oleh pensyarah-pensyarah Psikologi di universiti kepada pelajar-pelajar kerana sebahagian besar mereka sendiri telah taksub dan terdidik dalam mengagungkan metodologi barat.
Berikut ialah tokoh-tokoh Islam dalam disiplin Psikologi;
* Abu Nasr Al-Farabi (meninggal pada 950M) - membuat kajian tentang kejiwaan masyarakat Utopia yang bertajuk Opinion of the Citizens of Utopia.
* Ibnu Sina (meninggal pada 1037 M) - menulis dua kitab berkaitan psikologi dengan tajuk The Moods of Psyche dan Hints and Notice. Beliau membincangkan tekanan psikologi, perasaan-perasaan yang tersembunyi dan nyata. Beliau juga secara tidak langsung mengasaskan kajian dalam ingatan, jenis-jenis ingatan dan faktor-faktornya.
* Imam Al-Ghazali (meninggal pada 1111M) - menulis karya agungnya tentang jiwa manusia dengan tajuk “Ihya Ulumuddin”.
* Ibnu Al-Jawzi (meninggal pada 1201M) - menulis buku bertajuk The Intelligent. Buku ini membincangkan tentang otak, kebolehan berfikir, pemikiran, kaedah mengukur kecerdasan otak dan beberapa kes berkaitan.
* Abu Bakar Muhammad Al-Qays Ibn Tufayal (meninggal pada 1185M) menulis buku bertajuk ‘Hayy ibn Yaqzan’ kemudian diterbitkan semula kitab ini dengan tajuk Hayy ibn Yakqzan: A Pioneering Psychology Study and an Islamic Masterpiece (1975). Buku membincangkan peringkat kehidupan Hayy sebagai seorang kanak-kanak, belia, lelaki muda dan orang dewasa. Ibn Tufayal juga membincangkan pelbagai fenomena psikologi Hayy seperti kasih sayang, imaginasi, hubungan sosial dan perasaannya dengan persekitaran.
Sebelum Gagasan PengIslaman Ilmu diperkenalkan lagi, terdapat usaha-usaha dari beberapa sarjana Islam untuk mengIslamkan ilmu secara individu. Antara sarjana Islam yang mengutarakan idea itu ialah Dr. Fuad Al-Ahwani di dalam bukunya yang bertajuk Psychological Studies by Classical Muslim Scholars (1963).
Dr. Fuad Al-Ahwani menyatakan bahawa akan menubuhkan satu disiplin baru di dalam kurikulum pendidikan yang dipanggil ‘Psikologi Islam’.
Kesimpulan
Gagasan PengIslaman Ilmu adalah satu mandat yang amat sempurna dalam menghakis aliran sekular di dalam disipilin-disiplin ilmu Sains Sosial di universiti. Ia juga merupakan satu senjata pemikiran yang ampuh unttuk mengeluarkan umat Islam dari kepompong bekung sekularisme pendidikan.
Amat malangnya, pelancaran gagasan ini dapat dihidu awal oleh golongan Illuminati. Mereka lebih cepat mengenalpasti kesan-kesan jangka panjang hasil daripada perlaksanaan gagasan ini. Bukan setakat mengenalpasti, mereka juga dapat menyekat cahaya gagasan ini dari menyinari sarjana-sarjana Islam di seluruh dunia.
Namun, ia bukanlah bermakna sarjana Islam berputus asa dengan sekatan Illuminati itu …..
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment