Pages

Saturday, November 28, 2015

Robot 'seksi' tarikan utama

Beijing: ‘Robot paling seksi di dunia’ digelar Geminoid F menjadi tarikan utama pengunjung ke Pameran Robot Dunia di sini, minggu ini.
Geminoid F mempunyai ratusan peminat yang memberi jolokan itu kepada robot yang nampak tak ubah seperti manusia, malah pernah berlakon dalam filem Jepun, ‘Sayonara.’
Android dengan ketinggian 1.7 meter itu mampu menggerakkan matanya seterusnya bertindak balas terhadap pandangan mata serta memahami pergerakan bahasa badan.
Perlakuannya juga seperti manusia dengan ‘kulit’ diperbuat daripada getah dengan wajah seorang gadis. Malangnya dia tidak boleh berjalan sebaliknya terpaksa disorong menggunakan kerusi roda.
Robot itu dicipta Makmal Hiroshi Ishiguro, Universiti Osaka yang merancang membina model lebih baik pada masa depan.
Pembantu profesor, Kohei Ogawa berkata: “Matlamat kami adalah untuk mencipta kecerdasan buatan (AI) menggunakan robot ini.
“Buat masa ini sistem pengenalan suara tidak berkesan terutama dalam keadaan bingit. Pada masa depan, kami mahu mewujudkan sistem AI sempurna menggunakan robot ini.”
Robot itu juga mampu senyum, mengerutkan dahi dan menggerakkan mulut, selain menyanyi serta bercakap dengan memainkan rakaman atau menggerakkan mulutnya mengikut bunyi percakapan.
Ia juga mampu ‘meniru’ riak wajah manusia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:20 AM


Geminoid F ‘diserbu’ peminat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96355#sthash.na9iqwAy.dpuf

Kahwin RM35 juta

Thiruvananthapuram (India): Ahli perniagaan India terkemuka dari Kerala, Ravi Pillai, dilaporkan membelanjakan Rs550 juta (RM35.1 juta) untuk majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan sehingga lewat kelmarin.
Majlis perkahwinan gilang-gemilang itu diadakan untuk anaknya, Dr Arathi dengan Dr Adithya Vishnu.
Pillai, 62, dan isterinya Geetha juga mempunyai seorang anak lelaki.
Antara selebriti dan golongan VVIP yang menghadiri majlis berkenaan, termasuk anggota keluarga diraja dari negara Teluk, serta beberapa bintang Mollywood (perfileman Malayali) dan ahli perniagaan.
Seorang pengurus acara berkata, beberapa ahli perniagaan terkenal Kerala turut menghadiri majlis berkenaan kerana ia dilihat sebagai peluang untuk memperluas jaringan dan berkongsi pendapat mengenai peluang pelaburan di Kerala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:31 AM


PASANGAN pengantin Arathi (kanan) dan suaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96361#sthash.g1YCJNIU.dpuf

Abadikan semula foto kahwin selepas 70 tahun


Cao Yuehua dan isteri Wang Deyi memgabadikan semula foto perkahwinan mereka.

CHONGQING - CHINA. Sepasang suami isteri warga tua mengabadikan semula foto perkahwinan mereka sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-70.
Cao Yuehua, 97 dan isteri Wang Deyi, 98, kembali semula ke lokasi yang sama ketika mereka merakamkan foto perkahwinan pada tahun 1945, lapor Chongqing Evening News.
Malah pasangan itu juga turut mengenakan pakaian pengantin.
Ini adalah saat yang penuh emosi kepada keluarga apabila Yuehua mendeklamasi puisi yang ditulis kepada isterinya 7 dekad lalu.
Menurut Yuehue, dia menulis puisi tersebut ketika bertugas sebagai penterjemah ketika mengikuti ekspedisi Tentera China  ke Myanmar semasa perang dengan tentera Jepun.
"Saya yakin dengan percintaan antara ibu bapa saya bahawa cinta boleh mengatasi segala-galanya," kata salah seorang anak pasangan itu.
Foto-foto tersebut mendapat perhatian netizen dan China yang rata-rata kagum dengan kisah percintaan pasangan itu.
"Tempat yang sama, berpegangan tangan, menghabiskan kehidupan bersama tidak kira pahit dan manis. Ini adalah rahmat yang paling besar dalam hidup," tulis pelayar di laman sosial Sina Weibo.
Sementara itu, Yuehua turut berharap dapat kembali semula ke tempat tersebut bersama isterinya semasa berumur 100 tahun.

Ibu derma uterus kepada anak


Yang Hua (kanan) tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, keadaan tersebut telah menyebabkan dia tidak boleh mengandung. AGENSI
BEIJING 27 Nov. – Seorang wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan organ pembiakan, kini menjalani ra­watan persediaan untuk me­ngandung selepas organ tersebut didermakan oleh ibunya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, Yang Hua, 22, tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, menyebabkan keinginannya untuk melahirkan anaknya sendiri tidak boleh dicapai.
Simpati akan nasib yang menimpa, ibu Hua mengambil keputusan untuk menderma uterus miliknya dan sanggup berdepan risiko tinggi menjalani pembedahan pemin­dahan yang sebelum ini belum pernah berjaya dilakukan di China.
Sebelum pemindahan uterus dijalankan, Hua terlebih dahulu menjalani pembedahan memasukkan vagina tiruan pada bulan April lalu bertujuan memudahkan proses pembenihan berlaku.
Pemindahan organ itu hanya dijalankan kelmarin selepas doktor mendapati keadaan vagina tiruan serta fizikal Hua berada dalam keadaan baik.
“Saya sangat mengimpikan untuk mempunyai seorang anak, saya rasa sedih kerana tahu saya tidak mungkin hamil sehinggalah seorang doktor memberitahu akan proses pemindahan rahim.
“Saya tiada pilihan, saya tahu sebelum ini belum ada lagi proses pemindahan rahim yang berjaya dilakukan di China. Saya perlu ambil risiko,” jelasnya.
Doktor berkata, Hua dan ibunya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan dan rahimnya juga dilihat mampu berfungsi sempurna.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-derma-uterus-kepada-anak-1.163049#sthash.fZLlvUG8.dpuf

Lelaki bina pesawat selepas gagal menjadi juruterbang


Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570
Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570 itu dapat diterbangkan dalam majilis perkahwinannya kelak. Agensi
ADDIS ABABA 27 Nov. – Seorang lelaki Ethiopia yang kecewa ditolak menjadi juruterbang kerana terlalu pendek, nekad membina sebuah pesawat untuk digunakan semasa majlis perkahwinannya.
Portal berita Mail Online melaporkan Asmelash Zeferu yang ditolak untuk memasuki Akademi Penerbangan Pesawat Ethiopia Cawangan Dire Dawa pada 15 tahun lalu kerana ketinggiannya hanya 1.70 meter iaitu 1 sentimeter kurang daripada yang ditetapkan.
Oleh itu, pada hujung minggu ini, pemuda berusia 35 tahun, merancang untuk menerbangkan pesawat ringannya K-570 di Addis Ababa untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Zeferu berkata, dia akan me-ngahwini tunangnya, Seble Bekele sejurus mendarat.
“Saya memutuskan untuk membina sebuah pesawat saya sendiri jika saya gagal untuk menjadi seorang juruterbang. Melalui cara itu saya akan dapat terbang,” katanya kepada CNN.
Pemuda tersebut membina pesawat itu menggunakan sebuah enjin empat silinder dengan 40 kuasa kuda yang diambil dari sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Zaferu belajar cara-cara membina dan menerbangkan pesawat tersebut menggunakan maklumat yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Zeferu akhirnya memilih sebuah pesawat dari model yang pernah digunakan oleh juruterbang pelatih di Amerika Syrikat pada 1920-an dan 1930-an.
Dia juga menerima nasihat untuk mengubahsuai pesawat tersebut daripada Persatuan Eksperiman Pesawat Belanda, Rene Bubberman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-bina-pesawat-selepas-gagal-menjadi-juruterbang-1.163058#sthash.IxmkhMcP.dpuf

Friday, November 27, 2015

Pemaju menara didapati bersalah curi cahaya matahari

Nanjing (China): Pemaju sebuah menara tertinggi di bandar ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di sini kerana mencuri cahaya matahari penduduk.
Pemaju Menara Zifeng setinggi 450 meter itu didapati bersalah selepas bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari ke rumah penduduk.
Hakim di sebuah mahkamah di sini, kemudian mengarahkan pemaju yang membina menara berkenaan membayar pampasan kepada penduduk.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Chen menerima pampasan paling tinggi apabila menerima bayaran 100,000 yuan (RM66,092).
Undang-undang di China mewajibkan semua bangunan kediaman di China mendapat cahaya matahari minimum dua jam setiap hari ketika musim sejuk.
Sejak menara 89 tingkat itu siap dibina pada 2010, ramai penduduk berhampiran mengadu bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:02 AM


PEMANDANGAN Menara Zifeng di bandar Nanjing, China.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96076#sthash.BwBnD3M6.dpuf

Pemilik Facebook Kongsi Gambar Keluarga Dalam Media Sosial


Diterbitkan: Khamis, 26 November 2015 7:17 PM
Pencipta Facebook, Mark Zuckerberg dalam foto keluarganya yang dimuatnaikkan dalam Laman Facebook miliknya baru-baru ini.

PEMILIK dan pencipta Facebook, Mark Zuckerberg telah memuatnaik gambar dia bersama isterinya yang sarat mengandung serta bapa, ibu dan adik perempuannya sempena menjelang perayaan 'Thanksgiving' tidak lama lagi.
Dalam foto yang dirakamkan oleh jurugambar popular dunia, Annie Lebowitz, Mark Zuckerberg kelihatan mendakap isterinya Priscilla - seorang warga Amerika keturunan China-Vietnam - yang kini sedang sarat mengandung dan dijadualkan untuk melahirkan anak sulung mereka tahun depan.
Turut bersama-samanya dalam potret keluarga itu yang jarang-jarang dapat disaksikan oleh dunia ialah ibunya Karen, bapanya Edward dan adik perempuan Arielle.
Mark tidak menyembunyikan perasaan sayangnya kepada ahli keluarga terdekat dan juga isterinya.
"Priscilla dan saya mempunyai begitu banyak perkara yang ingin diucapkan menjelang perayaan Thanksgiving dan musim cuti ini dan keluarga adalah yang teratas di dalam senarai keutamaan saya," tulisnya.
Mark buat pertama kalinya mengumumkan tentang kemunculan anak pertamanya Julai lalu juga menerusi Facebook.
Dia juga telah mengumumkan baru-baru ini akan hasratnya untuk mengambil cuti selama dua bulan untuk mengasuh anaknya sendiri tahun depan.
Facebook - rangkaian sosial dalam talian terbesar dunia - mempunyai polisi yang membenarkan kakitangannya di Amerika Syarikat mengambil cuti selama empat bulan dengan bayaran gaji penuh untuk membantu isteri mengasuh anak di rumah.
Cuti itu boleh diambil secara terus selama empat bulan atau berperingkat-peringkat mengikut kesesuian seseorang kakitangan itu sepanjang tempoh tahun pertama anak itu dilahirkan.
Kajian menunjukkan jika keluarga yang bekerja menghabiskan satu tempoh masa yang tertentu untuk bersama anak mereka yang baru dilahirkan, hasilnya adalah jauh lebih baik sama ada untuk kanak-kanak itu atau keluarga mereka.
Mark Zuckerberg, 31, dan  Priscilla Chan, 30, berkahwin pada 19 Mei 2012 dalam satu majlis yang sederhana dan jauh daripada segala publisiti walaupun dia seorang jutawan sehinggakan para tetamu pada mulanya menyangka mereka hadir untuk meraikan majlis graduasi Priscilla yang baru tamat pengajiannya dalam bidang perubatan.
Mereka mengumumkan majlis perkahwinan mereka - sepertimana juga mereka mengumumkan berita kehamilan Priscilla tidak lama selepas itu - menerusi laman Facebook.
Mark dan Priscilla bertemu buat pertama kalinya ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard pada 2003.
Priscilla menyifatkan Mark sebagai seorang suami yang kelakar dan sangat mengambil berat akan orang di sekelilingnya.
"Dia adalah seorang yang sangat sensitif dan sangat-sangat mengambil berat akan orang yang memerlukan bantuan dan sentiasa cuba untuk memenuhi hajat seseorang. Dan itulah Mark yang saya kenali," ujar isterinya itu.
Kedua-dua pasangan tersebut telah menderma sejumlah wang yang besar kepada kerja-kerja amal khususnya yang melibatkan kesejahteraan kanak-kanak termasuklah menderma sebanyak AS$120 juta kepada Sekolah Rendah Bay Area pada tahun 2014 dan sebelum itu pernah menderma sebanyak AS$100 juta kepada Sekolah Rendah Newark pada 2010.

56 tahun dukung isteri kerana sayang


56 tahun dukung isteri kerana sayang
Yuanfa bersama isterinya, Zhou Yuai berkahwin pada November tahun 1958.

SHANDONG - CHINA. Kerana sayangkan isteri, seorang lelaki tua berusia 84 tahun sanggup mendukung dan mengendong isterinya selama 56 tahun usia perkahwinan mereka.
Du Yuanfa bersama isterinya, Zhou Yuai berkahwin pada November tahun 1958.
Memetik laporan Shanghaiist.com, isterinya jatuh sakit ketika dia meninggalkan isterinya untuk mencari rezeki di sebuah lombong arang batu Bandar Tai’an.
“Kami baharu sahaja lima bulan berkahwin. Ketika itu saya dapat surat dari keluarga yang mengatakan isteri sakit dan tak mampu bangun. Saya ambil cuti dan pulang ke kampung segera untuk jaga isteri saya,” katanya.
Penyakit yang menyerang isterinya menyebabkan isterinya lumpuh. Yuai tidak lagi mampu membuat kerja rumah dan terpaksa bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk bergerak.
Selama 56 tahun, Yuanfa meletakkan isterinya di atas kerusi roda dan menyorong isterinya ke semua hospital dan jawapan yang diterima oleh doktor-doktor yang merawat isterinya sama.
Yuai disahkan tidak mampu berjalan dan makan dengan sendiri, serta tidak mampu melahirkan anak.
Menurut Yuanfa, ramai sahabat dan ahli keluarga cuba memujuknya untuk menceraikan isterinya, bagaimana Yuanfa sebaliknya terus setia bersama Yuai.
Demi isterinya, Yuanfa sanggup berhenti kerja di lombong arang batu kerana mahu sentiasa menjaga isterinya.
Kata Yuanfa lagi, dia pernah memanjat gunung beberapa kali untuk mencari akar dan daun herba untuk menyembuhkan isterinya.
Pulang ke rumah, Yuanfa akan mereneh herba itu dan merasa ubat akar kayu yang dibuat terlebih dahulu sebelum memberikan ubat herba itu kepada Yuai.
Ia bagi memastikan ubat itu tidak beracun.
Pada musim panas, Yuanfa memandikan isterinya setiap hari bagi memastikan isterinya berada dalam keadaan sejuk dan selesa.
Manakala bagi setiap musim panas pula, Yuanfa akan mengendong isterinya keluar setiap kali matahari memancar di luar rumah.
“Itu semua saya lakukan selama 56 tahun dan saya masih sayangkan dia sehingga kini,” katanya lagi.

Thursday, November 26, 2015

Denda RM41,275 jika pakai burqa


Denda RM41,275 jika pakai burqa
Wanita memakai burqa.

TICINO - SWITZERLAND. Wanita beragama Islam bakal didenda maksimum £6,500 pound (RM41,275) jika memakai burqa atau menutup muka selepas kerajaan tempatan menguatkuasakan undang-undang baharu.
Laporan Dailymail mengatakan Ticino juga akan melarang pemakaian topeng atau balaclava yang selalu dipakai oleh peserta demostrasi.
Pelancong juga tidak terkecuali dari undang-undang baharu tersebut dan akan diberitahu mengenai larangan berkenaan semasa tiba di lapangan terbang.
Parlimen Switzerland pula mempertahankan langkah baharu mereka dan mengatakan ia tidak menyalahi undang-undang persekutuan.
Larangan memakai burqa di Ticino tersebut dilaporkan sama seperti dengan undang-undang di Perancis.
Parlimen Perancis meluluskan larangan memakai burqa pada 2010 dan menyebabkan protes oleh masyarakat Islam yang menuduh kerajaan bersikap diskriminasi.
Usaha sekumpulan peguam Britain untuk menentang undang-undang tersebut juga dinafikan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, tahun lepas.

Penumpang pesawat rakam imej misteri



AGENSI - KELIHATAN sebuah piring terbang gergasi terbentuk di atas tanah di satu kawasan padang pasir di Nevada pada 30 Oktober lalu.


CALIFORNIA, Amerika Syarikat – Seorang penumpang yang menaiki sebuah pesawat penerbangan Amerika Syarikat (AS) di sini berjaya merakamkan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang mengeluarkan cahaya terang berhampiran pangkalan rahsia tentera udara Area 51.
Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia yang dalam perjalanan dari California ke Houston, Texas terkejut melihat cahaya misteri yang muncul dari sebuah piring logam gergasi.
Dia kemudian merakamkan beberapa gambar imej itu yang muncul di kawasan padang pasir di Nevada sebelum melaporkan kepada Rangkaian Mutual UFO yang menyiasat kemunculan UFO di AS.
“Saya melihat cahaya terang itu semasa menaiki penerbangan pada 30 Oktober lalu ketika melalui satu kawasan padang pasir berhampiran Lunning dan Gabbs.
“Malah, saya melihat sebuah piring besar yang muncul di tengah-tengah kawasan itu yang mengeluarkan cahaya berkenaan. Saya kemudian segera merakamkan piring misteri itu,” katanya
Memetik kenyataan pengarang laman web UFO Sightings Daily, Scott C Waring sebagai berkata, rakaman bentuk piring di atas tanah itu kelihatan seolah-olah seperti UFO mendarat. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3sXouYu3u 
Hakcipta terpelihara 

Remaja catat rekod selesai kiub Rubik


Lucas Etter (kiri) ketika menyelesaikan permainan kiub Rubik dalam satu pertandingan di Maryland, baru-baru ini. Agensi
MARYLAND 24 Nov. – Seorang remaja lelaki berumur 14 tahun mencipta rekod baharu dunia apabila berjaya menyelesaikan permainan kiub Rubik dalam tempoh 4.9 saat.
Portal UPI melaporkan, Lucas Etter, 14, berjaya memecah rekod dunia sebelum ini iaitu 5.25 saat dalam satu pertandingan di Clarksville di sini, pada hujung minggu lalu.
Kejayaan Etter itu dirakam dan disiarkan di laman web YouTube.
Mengikut peraturan rasmi, peserta diberikan masa selama 15 saat untuk melihat dan memikirkan cara menyelesaikan kiub Rubik.
Rekod menyelesaikan permainan kiub Rubik itu sebelum ini dicatatkan oleh Collin Burns dalam satu pertandingan di Doylestown baru-baru ini.
Kejayaan Etter merupakan catatan masa rasmi yang berada di bawah lima saat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-catat-rekod-selesai-kiub-rubik-1.162070#sthash.fJyw8Pmg.dpuf

Penduduk bina rumah rakit hadapi banjir


ISA MAT (kiri) membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. UTUSAn/Aimuni Tuan Lah
GUA MUSANG 25 Nov. – Sebanyak 260 keluarga di Kampung Limau Kasturi di sini bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh susulan angin monsun timur laut yang boleh mengakibatkan bencana banjir.
Sebagai persediaan, penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas itu sudah menyiapkan seba­nyak 15 buah rumah rakit, 20 buah bot dan 30 bangsal sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd. Sokani Mat berkata, penduduk kampung sudah membuat persiapan rapi membina rumah rakit dan bangsal sementara sejak Oktober lalu.
Katanya, persiapan tersebut dilakukan selepas kampung yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang itu terjejas teruk apabila 95 peratus kawasan perkampungan itu tenggelam akibat banjir sebelum ini.
“Pada tahun lalu, hampir 80 buah rumah hanyut dan 100 rumah rosak teruk di kampung ini mengakibatkan penduduk masih trauma sehingga kini.
“Pengalaman lalu menyebabkan kami mendapat idea nak buat rumah rakit dan bangsal sementara yang mana sekurang-kurangnya kami dapat menyelamatkan nyawa dan meminimumkan kerosakan harta-benda,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Isa Mat, 59, berkata, setiap keluarga yang ingin membuat rumah rakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000.
Katanya, rumah rakit tersebut boleh memuatkan tiga keluarga dan jika kawasan kampung dinaiki air bangunan itu berupaya untuk terapung.
“Saya mendapat bantuan ahli keluarga untuk membuat rumah rakit ini dan dapat disiapkan dalam tempoh masa sebulan.
“Antara bahan utama yang diperlukan untuk membina rumah rakit adalah tong plastik, kayu, buluh dan zink,” katanya yang menggunakan 12 tong plastik dan 85 batang buluh untuk menguatkan struktur rumah rakitnya.
Sementara itu, Fatimah Mat, 47, pula berharap bencana banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu.
“Tahun lepas kami tidak bersedia apabila banjir besar yang tidak terduga melanda kampung kami.
“Sepanjang lebih 40 tahun saya tinggal di Kampung Limau Kasturi, tahun lalu adalah malapetaka paling teruk apabila ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, tanaman dan haiwan ternakan.
“Namun, tahun ini kebanyakan penduduk sudah bersedia menghadapi tengkujuh yang bakal mendatang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/penduduk-bina-rumah-rakit-hadapi-banjir-1.162464#sthash.DmB8RYdl.dpuf

Wednesday, November 25, 2015

Beg pintar menjerit 
kawal perbelanjaan


Hasilkan suara setiap kali pemilik keluarkan kad kredit
25 November 2015 12:22 AM



LONDON 24 Nov. - Jika anda sukar mengawal perbelanjaan kad kredit, anda mungkin boleh menggunakan beg pintar yang dihasilkan oleh tiga pelajar di Scotland bagi menangani tabiat buruk itu.
Beg pintar yang diperkenalkan oleh pelajar Kolej Jordanstone di Dundee, Leanne Fischler, Kirsty Sneddon, dan Rebecca Smith itu dilengkapi teknologi bagi mengekang pemiliknya untuk berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit.
Menurut portal Mail Online, setiap kali pengguna mengeluarkan kad kredit, beg uniseks tersebut boleh mengeluarkan jeritan menerusi pembesar suara yang berbunyi, ‘Adakah anda perlukan kad kredit?’ atau ‘Anda telah banyak berhutang’.
Malah jelas laporan terbabit, pekikan itu akan bertambah kuat jika kad kredit dikeluarkan dengan lebih kerap kerana beg berkenaan dilengkapi alat khas yang boleh mengesan pergerakan kad kredit.
Fischler, 21, berkata, produk itu dihasilkan dengan matlamat mempunyai fungsi berguna kepada pengguna.
“Saya dan rakan mencipta beg ini dengan harapan dapat mengurangkan pembaziran.
“Kita hidup dalam masyarakat yang sentiasa berbelanja secara berlebihan dan beg ini merupakan cara terbaik kepada mereka yang suka 
melakukan pembaziran,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada beg pintar itu akan dihasilkan secara komersial.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/beg-pintar-menjerit-8232-kawal-perbelanjaan-1.161980#sthash.fh2mNCF1.dpuf

Gadis ‘mati’ tinggal di kafe siber


Seorang wanita China menjadikan premis kafe siber sebagai tempat tinggal selepas melarikan diri daripada keluarganya 10 tahun lalu. GAMBAR HIASAN
BEIJING 24 Nov. – Seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 10 tahun lalu dan dianggap sudah mati oleh ahli keluarganya di China, didapati masih hidup selepas dia menjadikan beberapa premis kafe siber di sebuah bandar berhampiran sebagai tempat tinggalnya.
Xiao Yun, yang kali terakhir dilihat oleh keluarganya ketika berusia 14 tahun, berjaya dikesan pihak polis di bandar Hangzhou Jumaat lalu selepas gadis itu didapati menggunakan kad pengenalan palsu semasa pemeriksaan di sebuah premis kafe siber di bandar tersebut.
Dia yang kini berusia 24 tahun, akhirnya disatukan semula dengan kedua ibu bapanya dalam satu pertemuan yang menyentuh pe­rasaan di Hangzhou, kira-kira 160 kilometer dari kediaman keluar­ganya di bandar Hengdian.
Qianjiang Evening News yang dipetik portal Huffington Post melaporkan, selepas kehilangan Yun, ahli keluarganya percaya gadis itu telah meninggal dunia kerana dia tidak lagi dapat dikesan.
Namun, semasa serbuan di sebuah kafe siber Jumaat lalu, Yun akhirnya mengaku kepada polis bahawa dia tinggal di beberapa buah premis sama selepas melarikan diri 10 tahun lalu.
Dalam pengakuannya, Yun mendakwa dia turut bekerja di kafe siber bagi menampung kehidupan sehariannya, namun masih me­minta makanan daripada orang yang tidak dikenalinya sambil menghabiskan masanya bermain permainan komputer video.
Yun pada awalnya enggan untuk berjumpa dengan ibu bapanya, namun polis kemudiannya menghubungi ahli keluarganya sebelum mereka disatukan semula, hujung minggu lalu.
Gadis itu dipercayai melarikan kerana dimarahi ibunya.
“Saya mempunyai personaliti yang degil dan pemarah, oleh itu saya mengherdiknya. Namun kini sudah 10 tahun dan dia juga sudah dewasa. Saya tidak akan lagi memarahinya lagi,’’ kata ibu wanita tersebut kepada The Star Online.
Atas kesalahannya menggunakan kad pengenalan palsu, Yun didenda sebanyak AS$156 (RM668).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-8216-mati-8217-tinggal-di-kafe-siber-1.161977#sthash.37NCRICD.dpuf

Tuesday, November 24, 2015

Kanak-kanak dalam foto perang berjaya dijejak


Kanak-kanak dalam foto perang berjaya dijejak

ANDA mesti pernah melihat gambar kanak-kanak Vietnam yang berlari ketakutan sewaktu perang di negara tersebut pada tahun 1970-an. Satu dunia masih mengingatinya. Ia melambangkan kesengsaran insan tidak berdosa akibat peperangan.
Kanak-kanak dalam foto yang diambil pada 8 Jun 1972 adalah Kim Phuc yang ketika itu berusia sembilan tahun. Sambil berlari  untuk menyelamatkan diri selepas kawasan penempatannya dibom dia menangis ketakutan.
Tanpa pakaian, baju yang dipakai terpaksa ditanggalkan selepas terbakar hingga menyebabkan bahagian tangan dan belakang tubuhnya melecur teruk.
Nick Ut, jurugambar yang berada ditempat kejadian sempat mengambil foto tragis anak ini sebelum membawa dia dan beberapa lagi kanak-kanak ke hospital di Saigon.
Keesokan harinya gambar yang diambil tersiar di muka hadapan akhbar New York Times dan mendapat perhatian masyarakat dunia. Foto menyayat hati itu turut memenangi hadiah Pulitzer. Hanya dengan sekeping gambar Phuc menjadi simbol kesengsaraan akibat Perang Vietnam.
Namun itu kisah 43  tahun lalu, kini Phuc dan Ut berusia 52 dan 65 tahun.  Phuc  telah berhijrah ke Kanada bersama dengan suaminya, Bui Huy Thian.
Sungguhpun sudah memulakan kehidupan baru namun kecederaan akibat kebakaran itu masih belum pulih sehingga kini. Dia masih lagi meneruskan  rawatan laser untuk parut melecur di bahagian belakang tubuhnya.
Dalam satu sesi rawatan Phuc baru-baru ini, Ut telah hadir untuk bertemu kembali subjek gambar yang mengetengahkan kerjayanya sebagai jurufoto. Hari itu juga Ut telah diberi tugasan istimewa mengambil gambar Phuc menjalani rawatan memulihkan parut di Miami.
“Dia memulakannya dan dia juga mengakhirinya, ujar Phuc.
Kata wanita ini walau pun parut itu kekal tapi dia tidak lagi merasai penderitaan dan kesakitan sebaliknya hidupnya dipenuhi kebahagiaan. Gambar itu telah mengubah kehidupannya yang turut membawanya ke negara itu. Phuc ketika ini turut aktif dalam kerja kebajikan.
Misinya membantu kanak-kanak mangsa perang melalui organisasi yang diasaskan iaitu Kin Faoundatioan International yang turut merangkumi bantuan kepada kanak-kanak di Afrika, dan juga Timur Tengah.
##Rencana ini dipetik dari laman web www.vanillakismis.my

Balas dendam ‘cara halus’


Wanita jual rumah kerana suami curang

WARWICKSHIRE 23 Nov. - Seorang isteri yang berang dengan sikap curang suaminya baru-baru ini bertindak membalas dendam dengan menjual kediaman mereka di Nuneaton, Warwickshire ketika lelaki itu sedang menjalankan urusan perniagaan di luar negara.
Laura Arnolds di hadapan rumahnya yang dijual kepada pelajar Universiti Warwick selepas mendapat tahu tentang kecurangan suaminya. AGENSI
Menurut portal Daily Mail, wanita yang dikenali sebagai Laura Arnolds, 42, mengetahui tentang kecurangan Craig, 44, selepas membaca mesej-mesej manja yang dihantar oleh seorang wanita ke te­lefon bimbit milik suaminya itu.
Arnold yang kecewa dengan perkara tersebut tidak terus men­yerang suaminya, sebaliknya me­nunggu lelaki itu terbang ke New York sebelum bertindak keluar dari rumah dan menjualkan kediaman mereka kepada beberapa orang pelajar.
“Hubungan kami tidak lagi baik dan berdepan masalah ketika ini. Rumah kami berjaya dijual dalam tempoh dua minggu dengan potongan harga dan kini telah diduduki oleh pelajar-pelajar dari Universiti Warwick,” kata Arnold.
Craig ketika diminta menceritakan semula kejadian itu berkata, dia amat terkejut dengan tindakan isterinya dan tidak menyangka rumahnya telah dijual dalam tempoh yang singkat.
“Ketika pulang ke rumah, saya menjerit memanggil Arnold selepas melihat lampu terbuka. Saya amat terkejut melihat seorang pelajar di muka pintu.
“Saya sangat marah pada mulanya, tetapi hidup ini terlalu singkat untuk terlalu memikirkan perkara ini dan saya membuat keputusan untuk menghentikan permusuhan dan mungkin cuba berbaik semula demi dua orang anak kami,” katanya yang kini telah berpindah ke London.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/balas-dendam-8216-cara-halus-8217-1.161689#sthash.SqbatDe9.dpuf

Monday, November 23, 2015

Guna duit kecil beli apartmen

Shandong, China: Seorang lelaki yang jelas tidak mensia-siakan kegunaan duit kecilnya, membawa satu lori dipenuhi dengan syiling mata wang rendah dan nota kertas untuk membeli sebuah apartmen, minggu lalu.
China News melaporkan, pada 18 November lalu seorang broker hartanah dari bandar Rizhao mendapat panggilan daripada pembeli yang berminat membeli hartanah yang berharga 400,000 yuan (RM300,000).
Bagaimanapun, pembeli yang dikenali sebagai Gao itu bertanya beberapa soalan mengenai sama ada kaedah pembayarannya akan diterima atau tidak.
Pada keesokannya, lelaki itu muncul di depan pejabat hartanah menaiki lori dengan harapan duit syiling yang diletakkan dalam sembilan peti di tempat duduk belakang kenderaannya mampu membayar harga apartmen yang dibelinya.
Dua kakitangan bank ditugaskan mengira semua wang yang mengandungi campuran nota 0.5 dan 1 yuan serta syiling 1 yuan.
Bagaimanapun, sehingga 19 November lalu, mereka hanya mampu mengira sehingga 40,000 yuan (RM30,000).
Gao dilaporkan berurusan dengan syarikat pengangkutan awam tempatan yang sering membayarnya menggunakan wang kecil.
Ketika bercakap kepada wartawan, ketua bank tempatan itu memberitahu begitu jarang melihat seseorang membuat pembayaran dalam jumlah yang besar menggunakan wang kecil. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:19 AM


WANG yang dibawa di belakang lori.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95086#sthash.kVVepMhK.dpuf

Salji turun sebulan lebih awal di Beijing


salji
Orang ramai menikmati snowscape di Jingshan Park di bandar Beijing, China, hari ini. China semalam mengeluarkan amaran ribut salji di Beijing dan kawasan-kawasan jiran akan melanda. - Foto EPA

BEIJING - CHINA. Sajli tiba sebulan lebih awal di Beijing dan ia menandakan telah bermulanya musim sejuk yang kebiasaannya bermula bulan Disember hingga Februari.
Penduduk kota Beijing dibangunkan dengan kehadiran salji pada pukul kira-kira pukul 7 pagi tadi dan ramai warganya tidak melepaskan peluang untuk keluar bermain salji.
Keadaan cuaca di Beijing juga dikatakan akan menjadi lebih sejuk dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan suhu dijangka jatuh antara -2 dan -10 minggu depan.
Menurut laporan China Daily.com, Pusat Meteorologi Kebangsaan telah mengeluarkan amaran ribut salji dijangka melanda Beijing, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, wilayah utara Shanxi, Hebei dan Tianjin dengan salji berketebalan sehingga 12 milimeter.
Penduduk Beijing telah menyaksikan salji pertama pada 6 November dan minggu lepas dengan kadar sederhana dan kekerapan itu dikatakan tidak biasa berlaku pada bulan November.
Sementara itu pelajar Malaysia di Renmin University of China turut tidak melepaskan peluang untuk menyambut kedatangan salji awal sebulan itu yang disifatkan sebagai perkara luar biasa.
Nadia Majid, 20, berkata, tahun ini adalah pertama kali beliau menyambut kedatangan sajli di Beijing selepas tiga tahun menuntut ilmu di negara Tembok Besar itu.
"Dah tiga tahun di sini dan tahun ini paling istimewa kerana sudah dua tahun salji turun pada bulan Januari," katanya yang gigih membuat "Snowman" di kawasan universitinya walaupun sejuk menggigil.
Pelajar tahun kedua tajaan Yayasan Sime Darby dalam pentadbiran perniagaan itu berkata, tahun lalu beliau terlepas peluang bermain bermain salji kerana ketika itu sibuk dengan kelas dan sajli tidak tebal, manakala tahun lepas beliau pulang ke Malaysia ketika musim sajli. - Bernama

Sekolah hanya ada seorang murid


Aron Anderson merupakan satu-satunya murid yang belajar di Sekolah Komuniti Skerries di Pulau Out Skerries, Scotland. AGENSI
EDINBURGH 22 Nov. - Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun disifatkan sebagai murid paling ‘sunyi’ di Britain selepas dia menjadi satu-satunya murid yang belajar di sebuah sekolah di sebuah kepulauan terpencil di Scotland, kerana pulau itu tidak mempunyai penduduk yang ramai.
Keadaan itu menjadikan Aron Anderson sebagai murid yang `pertama sampai dan terakhir yang meninggalkan sekolah’, dan perlu menjawab setiap pertanyaan gurunya tanpa gagal, sekali gus membuatkannya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Meskipun berasa sedikit kesepian ketika belajar di Sekolah Komuniti Skerries di Pulau Out Skerries, namun Anderson tetap mendapat perhatian daripada gurunya sepanjang masa.
Faktor unik itu juga menjadikan Anderson sebagai satu-satunya kanak-kanak yang mendapat pendidikan paling mahal di United KIngdom (UK), selepas majlis perbandaran membelanjakan sebanyak 75,357 pound (RM487,318) untuk persekolahannya setiap tahun.
“Keadaan ini kadangkala agak pelik apabila tidak mempunyai murid-murid lain di sekolah itu. Bagaimanapun saya sukakan pulau ini,’’ kata Anderson sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Anderson meskipun berharap dapat mempunyai lebih ramai kawan belajar di sekolah itu dan dapat bermain bersama mereka, dia masih tahu bagaimana untuk membuatkan dirinya sibuk dengan melakukan pelbagai aktiviti dan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan pulau itu.
“Saya boleh berbasikal sambil meneroka pulau ini dan pada musim panas, saya boleh berenang di laut dan terjun dari jeti,’’ katanya yang mahu menjadi seorang nelayan bila dewasa.
Sementara itu, ibu Anderson, Denise mengaku dia bimbang anaknya akan terasa kesunyian di sekolah itu.
“Ini pertama kali Aron berdepan musim sejuk dan sukar untuk gambarkan bagaimana dia akan menyesuaikan diri. Saya rasa kasihan dengan keadaannya, namun dia benar-benar gembira berada di sekolah itu,’’ katanya.
Pulau Out Skerries hanya mempunyai 70 orang penduduk dengan keluasan kawasan 5.1 kilometer.
Bandar paling dekat adalah Shetland yang boleh dihubungi dengan feri yang mengambil masa perjalanan selama dua jam setengah.
Pulau ini terletak 805 batu ke utara London dan 386 batu ke utara Edinburgh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/sekolah-hanya-ada-seorang-murid-1.161164#sthash.pOCt5nCY.dpuf