Aron Anderson merupakan satu-satunya murid yang belajar di Sekolah Komuniti Skerries di Pulau Out Skerries, Scotland. AGENSI
EDINBURGH 22 Nov. - Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun disifatkan sebagai murid paling ‘sunyi’ di Britain selepas dia menjadi satu-satunya murid yang belajar di sebuah sekolah di sebuah kepulauan terpencil di Scotland, kerana pulau itu tidak mempunyai penduduk yang ramai.
Keadaan itu menjadikan Aron Anderson sebagai murid yang `pertama sampai dan terakhir yang meninggalkan sekolah’, dan perlu menjawab setiap pertanyaan gurunya tanpa gagal, sekali gus membuatkannya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Meskipun berasa sedikit kesepian ketika belajar di Sekolah Komuniti Skerries di Pulau Out Skerries, namun Anderson tetap mendapat perhatian daripada gurunya sepanjang masa.
Faktor unik itu juga menjadikan Anderson sebagai satu-satunya kanak-kanak yang mendapat pendidikan paling mahal di United KIngdom (UK), selepas majlis perbandaran membelanjakan sebanyak 75,357 pound (RM487,318) untuk persekolahannya setiap tahun.
“Keadaan ini kadangkala agak pelik apabila tidak mempunyai murid-murid lain di sekolah itu. Bagaimanapun saya sukakan pulau ini,’’ kata Anderson sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Anderson meskipun berharap dapat mempunyai lebih ramai kawan belajar di sekolah itu dan dapat bermain bersama mereka, dia masih tahu bagaimana untuk membuatkan dirinya sibuk dengan melakukan pelbagai aktiviti dan tidak pernah terfikir untuk meninggalkan pulau itu.
“Saya boleh berbasikal sambil meneroka pulau ini dan pada musim panas, saya boleh berenang di laut dan terjun dari jeti,’’ katanya yang mahu menjadi seorang nelayan bila dewasa.
Sementara itu, ibu Anderson, Denise mengaku dia bimbang anaknya akan terasa kesunyian di sekolah itu.
“Ini pertama kali Aron berdepan musim sejuk dan sukar untuk gambarkan bagaimana dia akan menyesuaikan diri. Saya rasa kasihan dengan keadaannya, namun dia benar-benar gembira berada di sekolah itu,’’ katanya.
Pulau Out Skerries hanya mempunyai 70 orang penduduk dengan keluasan kawasan 5.1 kilometer.
Bandar paling dekat adalah Shetland yang boleh dihubungi dengan feri yang mengambil masa perjalanan selama dua jam setengah.
Pulau ini terletak 805 batu ke utara London dan 386 batu ke utara Edinburgh.
No comments:
Post a Comment