Yang Hua (kanan) tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, keadaan tersebut telah menyebabkan dia tidak boleh mengandung. AGENSI
BEIJING 27 Nov. – Seorang wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan organ pembiakan, kini menjalani rawatan persediaan untuk mengandung selepas organ tersebut didermakan oleh ibunya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, Yang Hua, 22, tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, menyebabkan keinginannya untuk melahirkan anaknya sendiri tidak boleh dicapai.
Simpati akan nasib yang menimpa, ibu Hua mengambil keputusan untuk menderma uterus miliknya dan sanggup berdepan risiko tinggi menjalani pembedahan pemindahan yang sebelum ini belum pernah berjaya dilakukan di China.
Sebelum pemindahan uterus dijalankan, Hua terlebih dahulu menjalani pembedahan memasukkan vagina tiruan pada bulan April lalu bertujuan memudahkan proses pembenihan berlaku.
Pemindahan organ itu hanya dijalankan kelmarin selepas doktor mendapati keadaan vagina tiruan serta fizikal Hua berada dalam keadaan baik.
“Saya sangat mengimpikan untuk mempunyai seorang anak, saya rasa sedih kerana tahu saya tidak mungkin hamil sehinggalah seorang doktor memberitahu akan proses pemindahan rahim.
“Saya tiada pilihan, saya tahu sebelum ini belum ada lagi proses pemindahan rahim yang berjaya dilakukan di China. Saya perlu ambil risiko,” jelasnya.
Doktor berkata, Hua dan ibunya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan dan rahimnya juga dilihat mampu berfungsi sempurna.
No comments:
Post a Comment