ISA MAT (kiri) membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. UTUSAn/Aimuni Tuan Lah
GUA MUSANG 25 Nov. – Sebanyak 260 keluarga di Kampung Limau Kasturi di sini bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh susulan angin monsun timur laut yang boleh mengakibatkan bencana banjir.
Sebagai persediaan, penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas itu sudah menyiapkan sebanyak 15 buah rumah rakit, 20 buah bot dan 30 bangsal sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd. Sokani Mat berkata, penduduk kampung sudah membuat persiapan rapi membina rumah rakit dan bangsal sementara sejak Oktober lalu.
Katanya, persiapan tersebut dilakukan selepas kampung yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang itu terjejas teruk apabila 95 peratus kawasan perkampungan itu tenggelam akibat banjir sebelum ini.
“Pada tahun lalu, hampir 80 buah rumah hanyut dan 100 rumah rosak teruk di kampung ini mengakibatkan penduduk masih trauma sehingga kini.
“Pengalaman lalu menyebabkan kami mendapat idea nak buat rumah rakit dan bangsal sementara yang mana sekurang-kurangnya kami dapat menyelamatkan nyawa dan meminimumkan kerosakan harta-benda,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Isa Mat, 59, berkata, setiap keluarga yang ingin membuat rumah rakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000.
Katanya, rumah rakit tersebut boleh memuatkan tiga keluarga dan jika kawasan kampung dinaiki air bangunan itu berupaya untuk terapung.
“Saya mendapat bantuan ahli keluarga untuk membuat rumah rakit ini dan dapat disiapkan dalam tempoh masa sebulan.
“Antara bahan utama yang diperlukan untuk membina rumah rakit adalah tong plastik, kayu, buluh dan zink,” katanya yang menggunakan 12 tong plastik dan 85 batang buluh untuk menguatkan struktur rumah rakitnya.
Sementara itu, Fatimah Mat, 47, pula berharap bencana banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu.
“Tahun lepas kami tidak bersedia apabila banjir besar yang tidak terduga melanda kampung kami.
“Sepanjang lebih 40 tahun saya tinggal di Kampung Limau Kasturi, tahun lalu adalah malapetaka paling teruk apabila ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, tanaman dan haiwan ternakan.
“Namun, tahun ini kebanyakan penduduk sudah bersedia menghadapi tengkujuh yang bakal mendatang,” katanya.
No comments:
Post a Comment