BEIJING - CHINA. Sajli tiba sebulan lebih awal di Beijing dan ia menandakan telah bermulanya musim sejuk yang kebiasaannya bermula bulan Disember hingga Februari.
Penduduk kota Beijing dibangunkan dengan kehadiran salji pada pukul kira-kira pukul 7 pagi tadi dan ramai warganya tidak melepaskan peluang untuk keluar bermain salji.
Keadaan cuaca di Beijing juga dikatakan akan menjadi lebih sejuk dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan suhu dijangka jatuh antara -2 dan -10 minggu depan.
Menurut laporan China Daily.com, Pusat Meteorologi Kebangsaan telah mengeluarkan amaran ribut salji dijangka melanda Beijing, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, wilayah utara Shanxi, Hebei dan Tianjin dengan salji berketebalan sehingga 12 milimeter.
Penduduk Beijing telah menyaksikan salji pertama pada 6 November dan minggu lepas dengan kadar sederhana dan kekerapan itu dikatakan tidak biasa berlaku pada bulan November.
Sementara itu pelajar Malaysia di Renmin University of China turut tidak melepaskan peluang untuk menyambut kedatangan salji awal sebulan itu yang disifatkan sebagai perkara luar biasa.
Nadia Majid, 20, berkata, tahun ini adalah pertama kali beliau menyambut kedatangan sajli di Beijing selepas tiga tahun menuntut ilmu di negara Tembok Besar itu.
"Dah tiga tahun di sini dan tahun ini paling istimewa kerana sudah dua tahun salji turun pada bulan Januari," katanya yang gigih membuat "Snowman" di kawasan universitinya walaupun sejuk menggigil.
Pelajar tahun kedua tajaan Yayasan Sime Darby dalam pentadbiran perniagaan itu berkata, tahun lalu beliau terlepas peluang bermain bermain salji kerana ketika itu sibuk dengan kelas dan sajli tidak tebal, manakala tahun lepas beliau pulang ke Malaysia ketika musim sajli. - Bernama