Seorang wanita China menjadikan premis kafe siber sebagai tempat tinggal selepas melarikan diri daripada keluarganya 10 tahun lalu. GAMBAR HIASAN
BEIJING 24 Nov. – Seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak 10 tahun lalu dan dianggap sudah mati oleh ahli keluarganya di China, didapati masih hidup selepas dia menjadikan beberapa premis kafe siber di sebuah bandar berhampiran sebagai tempat tinggalnya.
Xiao Yun, yang kali terakhir dilihat oleh keluarganya ketika berusia 14 tahun, berjaya dikesan pihak polis di bandar Hangzhou Jumaat lalu selepas gadis itu didapati menggunakan kad pengenalan palsu semasa pemeriksaan di sebuah premis kafe siber di bandar tersebut.
Dia yang kini berusia 24 tahun, akhirnya disatukan semula dengan kedua ibu bapanya dalam satu pertemuan yang menyentuh perasaan di Hangzhou, kira-kira 160 kilometer dari kediaman keluarganya di bandar Hengdian.
Qianjiang Evening News yang dipetik portal Huffington Post melaporkan, selepas kehilangan Yun, ahli keluarganya percaya gadis itu telah meninggal dunia kerana dia tidak lagi dapat dikesan.
Namun, semasa serbuan di sebuah kafe siber Jumaat lalu, Yun akhirnya mengaku kepada polis bahawa dia tinggal di beberapa buah premis sama selepas melarikan diri 10 tahun lalu.
Dalam pengakuannya, Yun mendakwa dia turut bekerja di kafe siber bagi menampung kehidupan sehariannya, namun masih meminta makanan daripada orang yang tidak dikenalinya sambil menghabiskan masanya bermain permainan komputer video.
Yun pada awalnya enggan untuk berjumpa dengan ibu bapanya, namun polis kemudiannya menghubungi ahli keluarganya sebelum mereka disatukan semula, hujung minggu lalu.
Gadis itu dipercayai melarikan kerana dimarahi ibunya.
“Saya mempunyai personaliti yang degil dan pemarah, oleh itu saya mengherdiknya. Namun kini sudah 10 tahun dan dia juga sudah dewasa. Saya tidak akan lagi memarahinya lagi,’’ kata ibu wanita tersebut kepada The Star Online.
Atas kesalahannya menggunakan kad pengenalan palsu, Yun didenda sebanyak AS$156 (RM668).
No comments:
Post a Comment