Pages

Saturday, July 25, 2015

China bina teleskop terbesar dunia


Agensi - TELESKOP radio terbesar di dunia yang sedang dalam pembinaan di China.


BEIJING – China mula memasang sebuah teleskop radio terbesar di dunia yang akan mempunyai piring menyamai saiz 30 padang bola apabila siap kelak, lapor media pemerintah.
Teleskop Radio Apertur Sfera (FAST) berdiameter 500 meter itu dibina di sebuah lembah berbentuk mangkuk di antara bukit-bukau di wilayah Guizhou, barat daya China.
Sejumlah juruteknik mula memasang 4,450 panel pada pemantul teleskop itu kelmarin, lapor agensi berita rasmi Xihua.
FAST akan menjadi teleskop apertur tunggal terbesar di dunia, kata Xinhua sekali gus mengatasi teleskop Balai Cerap Arecibo yang memiliki diameter 305 meter di Puerto Rico, Amerika Syarikat.
Selama bertahun-tahun, saintis China bergantung kepada data terpakai yang dikumpulkan oleh orang lain untuk kajian mereka. FAST, menurut Xinhua akan memberi peningkatan amat besar kepada keupayaan China mengkaji angkasa lepas.
“Memiliki sebuah teleskop yang lebih sensitif membolehkan kami menerima isyarat radio yang lebih lemah dan jauh,” kata Ketua Pengarah Persatuan Astronomi China, Wu Xiangping.
Beijing sedang memesatkan program penjelajahan angkasa lepasnya yang dilihat sebagai simbol kemajuan negara.
Ia merancang menempatkan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020 dan seterusnya menghantar manusia ke Bulan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3grCkQCmr 
Hakcipta terpelihara 

Friday, July 24, 2015

Lelaki 254 kg berbasikal jelajah AS

Tiverton (Rhode Island): Seorang lelaki yang berat badannya 254 kilogram, berbasikal menjelajah seluruh Amerika Syarikat bagi mengurangkan berat badannya.
The Daily News melaporkan, rim basikalnya yang bengkok menyebabkan Eric Hite terkandas di Tiverton sejak minggu lalu, kira-kira 140 kilometer dari tempat dia memulakan penjelajahan di Falmouth, Massachusetts.
Syarikat Newport Bicycle sedang menyediakan basikal yang sesuai dapat menampung berat badannya.
Menurut Hite, 40, selepas dua minggu berbasikal, berat badannya turun 27 kilogram.
Lelaki itu kini memakai seluar bersaiz 70 manakala kemeja T bersaiz 10X dan berharap dapat mengurangkan 45 kilogram serta mengumpul bahan untuk bukunya melalui jelajah itu.
Buku pertamanya sebelum ini, bercorak masakan yang kelakar mengandungi 50 resipi yang dihasilkannya ketika di kolej. - AP
Gambar yang dirakam pada 27 Julai lalu, menunjukkan Hites berehat di tepi khemahnya di Tiverton, menunggu basikal baru. - Foto The Daily News/AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 8:56 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65756#sthash.6zPU7LtO.dpuf

Thursday, July 23, 2015

5 gunung meletus serentak

Jakarta: Letusan lima gunung berapi di Indonesia semalam menyebabkan beberapa bahagian di negara itu dilitupi awan debu tebal yang mengakibatkan tiga lapangan terbang ditutup.
Pakar gunung berapi Indonesia, Surono berkata, gunung Raung di Pulau Jawa sejak beberapa minggu lalu memuntahkan debu dan batuan ke udara setinggi dua kilometer.
Gunung berapi Gamalama dan Dukono yang terletak di kepulauan Moluccas turut meletus serta mengeluarkan debu ke udara.
Keadaan diburukkan lagi selepas gunung Sinabung di Sumatera dan gunung Karangetang di pulau Siau turut meletus, semalam.
Lebih 13,000 penduduk yang majoritinya tinggal di kaki gunung Sinabung telah dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan sejak bulan lalu.
Kata Surono, letusan lima gunung berapi secara serentak itu bukan dicetuskan oleh aktiviti luar biasa.
“Penilaian kami menunjukkan tiada fenomena luar biasa yang menyebabkan letusan lima gunung berapi secara serentak ini,” ujarnya.
Menurutnya, semua letusan berkenaan berlaku secara semula jadi dan perkara normal di negara yang mempunyai kira-kira 130 gunung berapi aktif.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Julius Adravida Barata berkata, lapangan terbang Jember dan Banyuwangi ditutup lewat kelmarin manakala lapangan terbang Bali ditutup selama beberapa jam semalam.
Media melaporkan, 37 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa dibatalkan.
Letusan gunung Raung pada awal bulan ini menyebabkan kekecohan di lapangan terbang berkenaan apabila menyebabkan ribuan pelancong terkandas.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:20 AM


SEORANG penunggang motosikal melintasi Gunung Raung yang masih mengeluarkan debu ke udara kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65573#sthash.9iD8lv4l.dpuf

Remaja main piano ketika tidur

Wellington: Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun mengejutkan keluarganya apabila bermain piano dengan baik ketika tidur.
Isabelle yang menghidap penyakit berjalan dalam tidur tiba-tiba bermain piano walaupun baru mengikuti kelas alat muzik berkenaan.
Aksi Isabelle bermain piano sambil tidur dirakam oleh bapa saudaranya, James Hodgson dan dimuat naik di laman YouTube.
Dalam video berkenaan Isabelle bermain piano dengan baik walaupun matanya tertutup dan berdengkur.
Beberapa ahli keluarga remaja itu kelihatan terpegun melihat dia bermain alat muzik berkenaan.
Hodgson berkata, Isabelle sering berjalan di dalam tidur, tetapi ini kali pertama dia bermain piano.
“Isabelle baru mengikuti kelas piano dan belum mampu bermain piano dengan baik.
“Bagaimanapun, aksinya bermain piano ketika tidur sangat mengejutkan kerana dia seperti sudah bertahun-tahun bermain alat muzik berkenaan.
“Lebih pelik lagi Isabelle kembali semula ke katil selepas bermain piano dan keesokan harinya dia tidak mengingati apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, Isabelle juga tidak boleh bermain piano dengan baik seperti dilakukannya ketika tidur.
Tambahnya, Isabelle sebelum ini pernah menyanyi ketika tidur dan keesokan harinya remaja itu memberitahu dia bermimpi bernyanyi di satu konsert.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:22 AM


AKSI Isabelle bermain piano ketika tidur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65575#sthash.H1LMdyn6.dpuf

Sambutan Aidilfitri terbesar di Eropah


SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri
SEBAHAGIAN daripada 70,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, Britain, kelmarin. AGENSI
LONDON 18 Julai - Kira-kira 70,000 umat Islam berkumpul menunaikan solat sunat Aidilfitri di Small Heath Park di Birmingham, semalam dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam di Eropah bagi menyambut Aidlfitri pada tahun ini.
Sejurus selesai menunaikan solat sunat, kumpulan itu kemudiannya berpecah mengunjungi gerai-gerai makanan dan taman hiburan berhampiran.
Pengurus Masjid Green Lane, Amer Ijaz berkata, persediaan untuk mengadakan majlis besar-besaran itu dirancang sejak enam bulan lalu.
"Menerusi acara ini, kami menyatukan masyarakat. Agak penting kami meneruskan majlis ini sebagai satu acara kekeluargaan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Masjid Green Lane dan Pusat Komuniti Birmingham, mula menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri pada 2012 yang menyaksikan lebih 12,000 umat Islam menghadirinya dan jumlah itu terus meningkat sehingga sekarang.
Sementara itu, sebahagian besar daripada kira-kira 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, semalam manakala sebahagian lagi termasuk penduduk Islam di India, Iraq, Iran, Pakistan dan Bangladesh menyambut hari kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan itu, hari ini.
Sambutan itu diraikan secara sederhana oleh umat Islam ketika beberapa negara seperti Syria, Iraq, Yemen, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand masih dibayangi keganasan akibat perang saudara, penindasan dan pemberontakan.
Di Indonesia, kemeriahan Aidilfitri sedikit terjejas selepas sebahagian besar penduduk tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikannya bersama keluarga, setelah banyak pesawat tidak dapat berlepas ekoran letusan gunung berapi.
Portal Channelnewsasia.com melaporkan, bagaimanapun lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, bandar kedua terbesar selepas Jakarta dan sebuah lapangan terbang kecil di Jawa Timur yang ditutup sejak kelmarin dibuka semula semalam menyaksikan syarikat penerbangan menyambung operasi mereka pada sebelah petang.
Lapangan terbang Surabaya dan empat buah lapangan terbang kecil ditutup sejak kelmarin menjelang cuti hari raya berikutan letusan Gunung Berapi Raung di kepulauan Jawa, manakala sebuah lapangan terbang di kawasan terpecil Ternate ditutup ekoran debu yang dihemburkan dari Gunung Berapi Gamalama.
Dalam perkembangan berasingan, ribuan penduduk Islam Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki Israel mengunjungi Masjid al-Aqsa semalam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama tiga hari di wilayah tersebut.
"Saya mahu menghabiskan hari pertama Aidilfitri di Bandar Lama Baitulmaqdis. Ini mungkin peluang terakhir saya untuk melawat al-Aqsa sehingga Ramadan yang akan datang,’’ kata Jihad Kioswani, 40, yang keluar dari rumahnya di bandar Tebing Barat sejak pukul 5 pagi waktu tempatan bagi melawat masjid berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/sambutan-aidilfitri-terbesar-di-eropah-1.114601#sthash.xwcIiCiA.dpuf

Rakyat China paling ramai hisap rokok



Gambar hiasan, seorang lelaki warga China sedang merenung jauh sambil menghisap rokok. – AGENSI
LONDON 21 Julai - Sepuluh tahun lalu, adalah menjadi satu kebiasaan melihat penduduk barat menghisap rokok di bar-bar, restoran-restoran dan malahan dalam pengangkutan awam di bandar-bandar utama di Eropah.
Namun, selepas kempen mengurangkan amalan merokok di tempat-tempat awam dijalankan dengan giat di Eropah, tabiat merokok telah berubah dengan drastiknya di Barat Eropah.
Ketika penggunaan tembakau mengalami kejatuhan di Barat, kajian terbaharu pula menunjukkan tabiat itu meningkat dalam kalangan negara membangun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada satu bilion penghisap rokok global, hampir 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Jumlah perokok di negara China merupakan yang tertinggi daripada gabungan perokok di negara berpendapatan rendah dan pertengahan.
Sehubungan itu, kerajaan China kini memperhebatkan kempen untuk menangani gejala itu dengan meningkatkan larangan menghisap rokok, mengenakan denda yang lebih tinggi dan larangan merokok sepenuhnya di tempat awam di Beijing.
Daripada 5.8 trilion perokok pada 2014, penduduk negara manakah yang paling ramai menghisap rokok?
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rakyat-china-paling-ramai-hisap-rokok-1.115599#sthash.fNTut5IY.dpuf

Helaian al-Quran tertua

Dijumpai pasukan penyelidik di Universiti Birmingham


Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai
Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai di Universiti of Birmingham. Agensi
BIRMINGHAM 22 Julai - Beberapa helaian muka surat al-Quran dipercayai paling tua di dunia, dijumpai di Universiti Birmingham, lapor saluran penyiaran BBC.
Jelas laporan berkenaan, pe­meriksaan radiokarbon mendapati, helaian muka surat menggunakan kulit kambing biri-biri atau kambing tersebut berusia sekurang-kurang 1,370 tahun, menjadikannya antara al-Quran terawal di dunia.
Helaian muka surat al-Quran tersebut berada di perpustakaan universiti itu sejak satu dekad lalu, tetapi tidak pernah dikenal pasti kewujudannya.
Ujian yang dilakukan oleh Unit Radiakarbon Universiti Birmingham memberikan beberapa tarikh penghasilan kitab suci itu dengan lebih 95 peratus keberangkalian bertarikh antara 568 dan 645 tahun Masihi.
Pakar Perpustakaan Britain, Dr. Muhammad Isa Waley berkata, penemuan luar biasa tersebut pasti disambut kegembiraan umat Islam.
Helaian tersebut sebelum ini ditempatkan bersama koleksi buku-buku dan dokumen Asia Barat lain tanpa dikenal pasti sebagai antara helaian muka surat al-Quran tertua di dunia.
Perkara itu disedari apabila seorang penyelidik sarjana menemukannya dan membuat keputusan untuk melakukan proses ujian radiokarbon.
Pengarah Koleksi Khas Universiti Birmingham, Susan Worrall berkata, beliau tidak menjangka usia helaian muka surat al-Quran tersebut.
“Penemuan ini sangat menarik,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/helaian-al-quran-tertua-1.115894#sthash.W1CdVoWC.dpuf

Wednesday, July 22, 2015

Wanita rancang berkahwin dengan anjing

London: Seorang wanita merancang berkahwin dengan anjing peliharaannya selepas ‘suaminya’ yang juga seekor kucing mati baru-baru ini.
Dominique Lesbirel, 41, berkahwin dengan seekor kucing lapan tahun lalu, tetapi haiwan itu mati baru-baru ini akibat masalah buah pinggang.
Kini wanita itu jatuh cinta dengan anjing peliharaannya yang dikenali sebagai Travis dan merancang berkahwin tidak lama lagi.
Berkahwin dengan haiwan bukan perkara asing bagi Dominique kerana dia menguruskan laman web yang mengeluarkan sijil perkahwinan kepada pengguna Internet yang mahu berkahwin dengan haiwan kesayangan mereka.
Bagaimanapun, Dominique mengeluarkan sijil perkahwinan kepada mereka yang berkahwin dengan haiwan peliharaan dan bukan haiwan liar seperti harimau atau beruang.
“Saya perlu memastikan mereka sangat mencintai dan menghormati haiwan peliharaan mereka sebelum saya keluarkan sijil perkahwinan ini.
“Saya tidak akan mengeluarkan sijil kepada sesiapa yang mahu berkahwin dengan haiwan liar seperti singa, harimau atau beruang,” katanya.
Menurutnya, laman web itu menggalakkan orang ramai menyatakan komitmen untuk menyayangi haiwan peliharaan mereka dan sentiasa menjaganya.
“Saya sanggup lakukan apa sahaja bagi mengingatkan orang ramai supaya melayan haiwan dengan rasa kasih sayang dan penuh rasa hormat.
“Selepas kematian kucing yang saya kahwini selama lapan tahun kini hidup saya sunyi, sebab itu saya merancang untuk berkahwin dengan Travis,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:05 AM


DOMINIQUE bersama haiwan peliharaannya, Travis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65335#sthash.MMw9yhLV.dpuf

Surat beralamat kepada ‘Henderson, lelaki berkaca mata’


ALAMAT surat yang dikirimkan dari Belfast untuk Henderson.- AGENSI


BELFAST, Ireland – Sepucuk surat misteri yang dihantar kepada pelajar jurusan sejarah yang hanya dinamakan sebagai “Henderson, budak lelaki yang berkaca mata itu” sampai kepada penerimanya selepas dikirimkan sejauh 160 kilometer baru-baru ini.
Barry Henderson, 32, menerima surat tersebut daripada isterinya, Roisin selepas seorang posmen di kampung Buncrana, Donegal mendapati keterangan pendek itu bersesuaian dengan suaminya.
Henderson ialah penerima yang dimaksudkan dalam keterangan “sedang menyiapkan pengajian di peringkat doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Queen di Belfast,” yang turut tertera pada sampul tersebut.
Hanya suaminya di Buncrana yang mengambil ijazah Ph.D dalam bidang sejarah moden.
“Posmen itu menyerahkan sampul ini di pejabat ketika saya keluar. Dia menyatakan surat ini mungkin untuk suami saya. Saya fikir dia sangat pintar,” ujar Roisin yang memuat naik gambar sampul surat itu di laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, selepas dibaca, kandungan surat tersebut kurang menarik berbanding ungkapan pada sampulnya.
Surat itu hanya mengandungi satu lipatan kertas kecil tertulis, “jika surat ini sampai, kamu tinggal di sebuah kampung”. Turut tertera pada kertas itu ialah satu senyuman besar yang dilukis menggunakan pen.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3gZYVUiKt 
Hakcipta terpelihara 

CEO tinggal dalam karavan



HSIEH memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan di Las Vegas berbanding kediaman mewah. - AGENSI


LAS VEGAS – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki aset berjumlah AS$820 juta (RM3.12 bilion) memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan berbanding rumah mewah.
Tony Hsieh (gambar kecil) yang merupakan CEO kepada rangkaian kedai pakaian dan kasut atas talian, Zappos sebelum firma itu dijual kepada laman web Amazon mampu membeli banglo atau rumah ladang mewah.
Namun, dia yang dikenali sebagai jutawan paling berjimat cermat dalam komuniti ahli perniagaan memilih untuk tinggal di dalam sebuah karavan seluas 18.58 meter persegi di sebuah taman di Las Vegas.
Hsies yang memiliki taman tersebut berpindah ke kawasan itu selepas keluar daripada kediamannya di sebuah kondominium mewah pada tahun lepas, menurut portal The New York Times.
Hsieh telah menggelarkan karavan miliknya itu sebagai Llamapolis dan berkongsi ruang kecil itu bersama seekor alpaka peliharaannya yang bernama Marley.
“Dia tetap gembira walaupun hanya mempunyai wang AS$1 (RM3.80) di dalam bank. Dia bergaul dengan orang, dia ambil berat atau mengambil berat terhadapnya,” ujar seorang pelabur awal Zappos, Erik Moore kepada portal Business Insider. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3gZXhclJ9 
Hakcipta terpelihara 

Polis buru ‘tupai’ si pencuri kacang walnut



FACEBOOK rasmi polis Michigan ini menunjukkan seekor tupai yang seolah-olah menjadi buruan kerana mencuri 12,700kg kacang walnut.


MICHIGAN, Amerika Syarikat – Pasukan polis mencari seekor ‘tupai’ yang dipercayai menjadi dalang kehilangan 12,700 kilogram (kg) kacang walnut dalam satu kejadian di sini baru-baru ini.
Gambar pencuri cilik itu turut dimuat naik ke Facebook rasmi polis Michigan sebagai makluman kepada orang ramai bagi tujuan penangkapan ‘tupai’ tersebut.
Bagaimanapun iklan berkenaan cuma merupakan taktik Jabatan Polis Shelby Township bagi menarik perhatian orang ramai supaya dapat membantu menyalurkan maklumat mengenai kes kecurian kacang berkenaan yang bernilai lebih AS$128,000 (RM485,964) itu.
“Tupai itu bukan suspek sebenar tetapi cuma gambar. Kami gunakan untuk menarik perhatian ramai. Tolong jangan ganggu tupai-tupai yang ada,” tulis polis berkenaan dalam keterangan gambar di Facebook.
Menurut jurucakap polis, sebuah trak dan treler yang membawa 18 palet walnut dan makanan lain dicuri dalam satu insiden pada 27 Jun lepas.
Kedua-dua kenderaan tersebut telah ditemui di Detroit, Amerika Syarikat pada 1 Julai lepas, namun kesemua barangan telah hilang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3gZWcQmtp 
Hakcipta terpelihara 

Terkejut lihat ular tedung selar dan sawa ‘gaduh’


ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menunjukkan ular jenis
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menunjukkan ular jenis tedung selar yang berjaya ditangkap di Kampung Padang Teja, Jitra, Kedah, Khamis lalu.
ALOR SETAR 19 Julai – ‘Pergaduhan’ antara ular tedung selar dan sawa yang disaksikan secara tidak se­ngaja telah mengejutkan seorang pekebun timun, Som Shak Din Chen, 47, di Kampung Padang Teja, Jitra dekat sini, Khamis lalu.
Pekebun tersebut, kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk bantuan menangkap dua reptilia berkenaan kira-kira pada pukul 7.45 pagi.
Ketua Operasi JPAM Kota Setar, Sarjan Salim Aziz berkata, sebaik sahaja menerima maklumat berhubung kejadian itu, dia bersama tiga anggota bergegas ke lokasi dan menemukan seekor ular sawa sedang membelit seekor ular tedung selar.
“Ular sawa sepanjang kira-kira 2.5 meter sedang bergelut de­ngan membelit seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter seberat 30 kilogram (kg),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salim berkata, proses untuk menangkap ular berkenaan berhadapan dengan kesukaran kerana ke­dua-duanya saling membelit antara satu sama lain.
“Ular tedung selar yang bersaiz besar itu agak agresif ketika kita mahu menangkapnya menggunakan penjerut, namun reptilia itu berjaya ditangkap dalam masa kira-kira 15 minit.
“Ular sawa dengan berat kira-kira 10 kg itu juga berjaya ditangkap tetapi mati sebaik sahaja tiba di pejabat JPAM Kota Setar dipercayai dipatuk ular tedung selar tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya me­nyerahkan reptilia berkenaan kepada Jabatan Perhilitan Negeri untuk tindakan lanjut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/terkejut-lihat-ular-tedung-selar-dan-sawa-8216-gaduh-8217-1.114925#sthash.fM3fZbst.dpuf

Tuesday, July 21, 2015

Cantum Tangan Kiri Pada Kaki Kanan Sebulan


Diterbitkan: Isnin, 20 Julai 2015 12:46 PM
Tangan kiri Zhou yang terputus dicantum pada kaki kanannya untuk memastikan darah terus mengalir.

HUNAN: Beberapa doktor di bandar Changsa di sini terpaksa mencantumkan tangan kiri seorang lelaki di kaki kanannya bagi memastikan darah terus mengalir menerusi prosedur pembedahan yang unik baru-baru ini.
Pembedahan seumpama itu dilakukan ke atas mangsa yang dikenali sebagai Zhou itu juga bagi memberi masa untuk saraf dan tendon yang cedera kembali pulih.
Tangan mangsa terputus selepas terkena mesin di kilang tempat dia bekerja. Anggota itu akan dicantum semula ke tempat asal selepas sebulan.
Ketua pembedahan mikro di Hospital Xiangya, Dr. Tang Juyu berkata, kaedah itu bertujuan menyelamatkan tangan Zhou dan pihaknya pernah melakukan pembedahan seperti itu akibat kemalangan sama pada 2013.
Kumpulan pakar bedah itu tidak dapat mencantum kembali tangan Zhou dengan segera kerana sendi tangan dan lengannya cedera teruk akibat kemalangan tersebut.
Oleh itu, mereka memilih untuk membiarkan saraf dan tendon pada tangannya pulih dahulu.
“Pada suhu normal, jari yang putus perlu disambung aliran darah dalam tempoh 10 jam tetapi masa yang ada lebih singkat jika tangan atau lengan yang putus. Sel-sel akan mati dan tidak dapat diselamatkan jika tiada aliran darah pada tangan yang putus dalam tempoh lama,” katanya.
Zhou didapati mampu menggerakkan sedikit jarinya selepas pembedahan itu selesai tetapi dia akan memerlukan bantuan pemulihan jangka panjang untuk mendapat kembali fungsi penuh tangannya.

Budak Ketagih Pasir, Plastik & Makanan Anjing


Diterbitkan: Selasa, 21 Julai 2015 11:07 AM
Jessica bersama makanan yang digemarinya - plastik gelembung.

WAKEFIELD: Makanan ringan biasanya menjadi kegemaran kanak-kanak, tetapi berbeza bagi Jessica Walker yang lebih sukakan pasir, tanah liat, plastik gelembung dan makanan anjing.
Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ini dikesan ibunya, Lindsay Jackson, 37 mengalami masalah pemakanan sejak bayi lagi.
Kata Lindsay, anaknya berkelakuan pelik sejak kecil apabila merangkak dan memakan biskut yang diletakkan di dalam bekas makanan anjing peliharaannya.
“Sejak kecil Jessica gemar memakan makanan anjing, lumpur, pasir dan lilin.
“Baru-baru ini saya melihat dia mengunyah plastik gelembung yang saya gunakan untuk membungkus barangan,” katanya yang menetap di barat York, United Kingdom.
Menurutnya, lima tahun lalu, doktor mengesahkan Jessica menghidap sindrom luar biasa dikenali sebagai PICA iaitu satu kecenderungan memakan makanan yang tidak berkhasiat.
Katanya lagi, lebih membimbangkan apabila doktor memaklumkan tiada ubat atau cara yang dapat mengubati tabiat pemakanan pelik anaknya.
“Setakat ini, saya hanya mengawasi Jessica dan memujuknya memakan makanan seperti kanak-kanak normal.
“Saya harap Jessica pulih apabila meningkat dewasa,” jelasnya yang bimbang cucunya akan mewarisi tabiat anaknya nanti.