Sejurus selesai menunaikan solat sunat, kumpulan itu kemudiannya berpecah mengunjungi gerai-gerai makanan dan taman hiburan berhampiran.
Pengurus Masjid Green Lane, Amer Ijaz berkata, persediaan untuk mengadakan majlis besar-besaran itu dirancang sejak enam bulan lalu.
"Menerusi acara ini, kami menyatukan masyarakat. Agak penting kami meneruskan majlis ini sebagai satu acara kekeluargaan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Masjid Green Lane dan Pusat Komuniti Birmingham, mula menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri pada 2012 yang menyaksikan lebih 12,000 umat Islam menghadirinya dan jumlah itu terus meningkat sehingga sekarang.
Sementara itu, sebahagian besar daripada kira-kira 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri, semalam manakala sebahagian lagi termasuk penduduk Islam di India, Iraq, Iran, Pakistan dan Bangladesh menyambut hari kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan itu, hari ini.
Sambutan itu diraikan secara sederhana oleh umat Islam ketika beberapa negara seperti Syria, Iraq, Yemen, Palestin, Myanmar dan selatan Thailand masih dibayangi keganasan akibat perang saudara, penindasan dan pemberontakan.
Di Indonesia, kemeriahan Aidilfitri sedikit terjejas selepas sebahagian besar penduduk tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikannya bersama keluarga, setelah banyak pesawat tidak dapat berlepas ekoran letusan gunung berapi.
Portal Channelnewsasia.com melaporkan, bagaimanapun lapangan terbang antarabangsa di Surabaya, bandar kedua terbesar selepas Jakarta dan sebuah lapangan terbang kecil di Jawa Timur yang ditutup sejak kelmarin dibuka semula semalam menyaksikan syarikat penerbangan menyambung operasi mereka pada sebelah petang.
Lapangan terbang Surabaya dan empat buah lapangan terbang kecil ditutup sejak kelmarin menjelang cuti hari raya berikutan letusan Gunung Berapi Raung di kepulauan Jawa, manakala sebuah lapangan terbang di kawasan terpecil Ternate ditutup ekoran debu yang dihemburkan dari Gunung Berapi Gamalama.
Dalam perkembangan berasingan, ribuan penduduk Islam Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki Israel mengunjungi Masjid al-Aqsa semalam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama tiga hari di wilayah tersebut.
"Saya mahu menghabiskan hari pertama Aidilfitri di Bandar Lama Baitulmaqdis. Ini mungkin peluang terakhir saya untuk melawat al-Aqsa sehingga Ramadan yang akan datang,’’ kata Jihad Kioswani, 40, yang keluar dari rumahnya di bandar Tebing Barat sejak pukul 5 pagi waktu tempatan bagi melawat masjid berkenaan.