Pages

Wednesday, June 10, 2015

14 kali gagal, dia tetap tekad mahu cuba lagi

14 kali gagal, dia tetap tekad mahu cuba lagi
Wang Xia dipimpin untuk memasuki dewan peperiksaan.

SHANGHAI - CHINA. Seorang warga emas berusia 86 tahun tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menduduki satu peperiksaan di negara itu walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali.

Wang Xia, menduduki peperiksaan gaokao 2015 iaitu peperiksaan untuk masuk ke universiti dan dianggap paling sukar di China, Ahad dan Isnin lalu.

Wang Xia yang menamatkan pengajian sekolah tinggi pada tahun 1949 menduduki peperiksaan gaokao buat kali pertama pada tahun 1954.

Walaupun tidak lulus, namun dia tidak pernah berputus asa dan kemudian mengambil semula peperiksaan itu sebayak 3 kali iaitu pada tahun 1955,1956,1960.

Selepas gagal sebanyak empat kali, dia mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan itu lagi dan meneruskan kerjayanya sebagai ahli farmasi.

Pada tahun 1966 hingga 1979, kerajaan China kemudiannya melancarkan Cultural Revolution di mana pihak universiti menghentikan pengambilan pelajar melalui sistem peperiksaan.

Namun pada tahun 1977, peperiksaan gaokao diperkenalkan semula namun calon yang layak mengambilnya hanyalah di bawah 25 tahun dan tidak berkahwin.

Kerajaan China kemudiannya melonggarkan syarat untuk tiada had umur pada tahun 2001 dan ketika usia 72 tahun, Xia sekali lagi mencuba nasib menduduki peperiksaan itu.

Selepas gagal sekali lagi pada tahun 2002, semangat dan kesungguhannya itu mendapat perhatian media di China dan berikutan itu Nanjing Medical University menawarkannya untuk menyambung pelajaran di universiti berkenaan selama lima tahun, namun Xia menolaknya.

Memetik laporan Chinanews, Xia berkata, walaupun sudah bekerja dalam bidang famasi lebih dari 40 tahun, namun dia masih berkeinginan untuk memperoleh diploma bagi membuktikan kemahiran perubatannya.

"Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan gaokao 2015, walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali," katanya ketika ditemui sebelum menduduki peperiksaan itu.

Tahun lepas, seorang warga emas 73 tahun turut menduduki peperiksaan ini selepas pernah menduduki peperiksaan sama 40 tahun lalu.

Nasa nafi dunia berakhir pada September

asteroid

PENTADBIRAN Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) mengeluarkan penafian selepas sebuah khabar angin yang tersebar secara meluas di dunia maya mengenai sebuah asteroid didakwa akan melanggar planet bumi pada bulan September tahun ini.

"Tiada sebarang komet atau asteroid yang berada dalam laluan pelanggaran (collision course) dengan bumi, jadi kemungkinan berlaku pelanggaran adalah sangat kecil," kata jurucakap Nasa, awal minggu ini.

"Faktanya, tiada sebarang objek akan berlanggar dengan bumi untuk masa beberapa ratus tahun akan datang," lapor Dailymail.

Khabar angin tersebut yang dikongsi secara meluas mengatakan satu asteroid akan menghempas bumi di Puerto Rico, mengakibatkan gempa bumi dan tsunami.

Kesan hempasan tersebut dikatakan akan menghancurkan Amerika Syarikat (AS), Mexico, Afrika Tengah dan Afrika Selatan.

Khabar angin tersebut dikatakan dimulakan oleh Rev Efrain Rodriguez yang mengatakan beliau seorang nabi dan mendapat khabar tersebut dari Tuhan.

Bina padang bola atas bumbung bangunan


Padang bola sepak yang diilhamkan Xu Gong di atas bumbung sebuah
Padang bola sepak yang diilhamkan Xu Gong di atas bumbung sebuah bangunan, turut disewa banyak pihak lain yang ingin beriadah. AGENSI
ZHENZHOU 9 Jun – Masalah kekurangan kawasan riadah di bandar ini telah mendorong sekumpulan peminat bola sepak membina sebuah padang bola tiruan di atas sebuah bangunan, bagi memudahkan mereka bermain sukan kegemaran tersebut.
Laman web Oddity Central melaporkan, idea pembinaan itu diutarakan oleh Xu Gong selepas bertahun-tahun berasa kecewa dengan masalah kekurangan padang bola di bandar raya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan tinggi itu.
Gong berkata, dia dan rakan-rakannya mencari lokasi yang sesuai untuk membina padang bola tersebut selama berbulan-bulan sebelum mereka menemui sebuah ruang luas dan strategik di atas bumbung bangunan letak kereta.
“Kami mengeluarkan wang simpanan untuk membina padang itu kerana kami begitu meminati sukan bola sepak dan sanggup melakukan apa sahaja untuknya.
“Apa yang menarik, kontraktor bukan sahaja memberi rumput tiruan tetapi juga lampu LED, besi perlindungan dan jaring bagi menghalang bola jatuh dari bangunan,” jelas Xu Gong.
Setiap petang Gong dan rakan-rakannya bermain bola sepak di padang tersebut, namun mereka terpaksa memperlahankan suara agak tidak mengganggu orang-orang yang sedang bekerja di bangunan sekitar.
Sejak padang bola itu menjadi viral di Internet, ramai penduduk di bandar raya ini menyewanya untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bina-padang-bola-atas-bumbung-bangunan-1.100932#sthash.4aR9vERg.dpuf

Tuesday, June 9, 2015

Misteri batu bergerak di Death Valley

Misteri batu bergerak di Death Valley

SEJAK berpuluh tahun lalu, Racetrack Playa di Taman Negara Death Valley, di California, Amerika Syarikat terkenal kerana keajaiban batu yang terdapat di sini bergerak sendiri tanpa ada sesiapa yang menolaknya.

Setiap batu yang bergerak meninggalkan kesan bergeser di atas tanah seperti ditolak. Anehnya, saiz batu tersebut seberat puluhan kilogram dan ia sudah pastinya tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya.

Menurut laporan NY Post, pelbagai spekulasi timbul berkaitan misteri ini. Dua penyelidik di Institut Oseanografi Scripps di Universiti California, San Diego, tampil membuat kajian bagi merungkai misteri itu.

Richard Norris dan James Norris menyimpulkan bahawa pergerakan batu mungkin disebabkan lapisan ais yang terbentuk selepas hujan semalaman cair pada waktu siang, dan menyebabkan tanah keras menjadi berlumpur serta licin.

Sebanyak 60 pergerakan batu diperhatikan pada waktu siang, malam dan malam pada suhu separuh beku.

“Kesimpulannya membuktikan teori yang diketengahkan ahli geologi sekitar tahun 1940 an. Fenomena ini tidak berlaku selalu kerana hujan jarang turun di lembah pasir yang panas dan kering,” menurut laporan mereka dalam jurnal Plos One.

Laporan juga menyebut, batu bergerak kira-kira 5 meter seminit.

Bina kampung di bulan


Agensi Angkasa Eropah jangka Lunarville siap 2024
09 Jun 2015 12:22 AM


Gambaran menunjukkan lakaran asas stesen angkasa lepas baharu di bulan yang dijangka siap dibina pada tahun 2024. AGENSI

LONDON 8 Jun - Agensi Angkasa Eropah (ESA) merancang pembi­naan sebuah perkampu­ngan angkasa di bulan yang menyerupai rumah kediaman watak rancangan kanak-kanak terkenal ‘Teletubbies’, bagi me­nggantikan Stesen Angkasa An­tarabangsa (ISS).
Portal berita Daily Mail melaporkan, penyelidik ESA, Profesor Jan Woerner berkata, pem­binaan kampung digelar ‘Lunarville’ itu dijangka siap pada 2024 dan akan mencetuskan satu inovasi yang terhebat.
“Kerja-kerja pembinaan ste­sen di bulan itu akan mencetuskan satu lonjakan besar dalam teknologi inovasi di Bumi.
“Bahagian belakang bulan, yang tidak dapat dilihat dari Bumi, akan menyediakan kea­daan terbaik untuk penyelidikan apabila beberapa buah teleskop akan diletakkan bagi menyediakan pandangan yang tidak terganggu ke dalam ruang angkasa,” kata Woerner.
Tambahnya lagi, untuk permulaan, bahan pembinaan dan makanan akan menjadi ke­utamaan.
Air pula katanya akan dihasilkan daripada gas Hidrogen, sementara tanaman mungkin boleh ditanam di rumah hijau.
“Para penyelidik akan kekal berada di angkasa untuk beberapa bulan dalam satu-satu masa. Sebuah perkhidmatan pengangkutan ulang-alik secara tetap perlu diwujudkan dalam kes kecemasan perubatan,” ujarnya.
Namun, kos untuk membinanya terbukti menjadi halangan terbesar berbanding kea­daan persekitaran yang tidak dijangka di angkasa.
Lebih 75 bilion pound (RM429 bilion) diperlukan untuk membina ISS sebelum ini, dan kos pembinaan sebuah perkampungan di bulan mungkin menelan belanja lebih dari itu.
Bagaimanapun, Woerner berasa sangat yakin bahawa beberapa negara akan saling membantu untuk membinanya dan Universiti Teknikal Darmstadt di Jerman sedang mereka bentuk kediaman untuk dibina di sana.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bina-kampung-di-bulan-1.100616#sthash.NlHn5OwI.dpuf

Monday, June 8, 2015

Rangka manusia lebih 20 tahun ditemui atas gunung

rangka manusia
Rangka manusia yang ditemui. - Foto EPA

MEXICO CITY - MEXICO. Rangka manusia yang dipercayai milik seorang lelaki tertanam lebih 20 tahun lalu dijumpai oleh sekumpulan pendaki di gunung Pico de Orizaba.

Rangka manusia tersebut dipercayai lelaki berusia 25 tahun dan merupakan mayat beku ketiga yang dijumpai di atas gunung berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, mayat yang masih belum dikenalpasti identitinya ditemui memakai baju putih, seluar dan berbaju warna kelabu.

Memetik laporan BBC, lelaki tersebut dipercayai adalah penumpang kapal terbang yang terhempas di kawasan pergunungan pada tahun 1990-an.

Jurucakap Chalchicomula de Sesma mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan mayat itu telah dibawah turun  pada Khamis.

Dua lagi mayat ditemui di beberapa lokasi berbeza di pergunungan tersebut tiga bulan lalu dan dipercayai pendaki yang maut dalam runtuhan pada tahun 1959.

Belut jatuh dari langit

Fairbanks (Amerika Syarikat): Penduduk di bandar ini gempar selepas beberapa ekor belut penghisap darah dijumpai jatuh dari langit pada minggu lalu.
Beberapa penduduk melaporkan penemuan belut yang masih hidup di tempat letak kereta sebuah pasar raya dan laman rumah mereka.
Penduduk percaya belut yang mempunyai gigi yang tajam itu jatuh dari langit kerana lokasi itu terletak jauh dari tasik atau sungai.
Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Alaska memberitahu, belut itu adalah dari spesies lamprey dan ia tidak bahaya kepada manusia.
Jabatan itu percaya belut jatuh dari mulut burung yang terbang selepas menangkap ikan di kawasan sungai berhampiran bandar itu.
Lamprey sejenis haiwan parasit yang menggunakan giginya yang tajam untuk melekat pada insang atau badan ikan.
Belut itu melukakan badan ikan untuk menghisap darah yang dijadikan sumber makanan utamanya.
Walaupun dilihat menggerunkan, tetapi Lamprey sejenis makanan yang popular di Alaska kerana rasanya yang enak dan tidak bertulang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:11 AM


BELUT lamprey yang dijumpai di Fairbanks, Alaska pada minggu lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56380#sthash.ZL8ZNv2X.dpuf

Sunday, June 7, 2015

Nenek paling muda di Britain berusia 33 tahun


ROWLAND (kiri) merupakan nenek paling muda di Britain selepas anaknya, Bethany (kanan) melahirkan seorang bayi lelaki minggu lalu. - AGENSI


YORKSHIRE, Britain – Seorang wanita berusia 33 tahun di sini menjadi nenek paling muda di Bri­tain selepas anak tunggalnya, Bethany, 17, melahirkan seorang bayi lelaki, Elijah seberat 2.3 kilogram Rabu lalu.
Wanita itu, Corrie Rowland berkata, dia telah hamil ketika berusia 15 tahun kerana terlanjur de­ngan kekasihnya.
Pada masa itu, dia masih menuntut di sekolah menengah menyebabkan kedua ibu bapanya mahu dia menggugurkan kan­dungan itu.
“Namun, tindakan meng­gugurkan bayi bukan pilihan, malah kekasih yang bimbang untuk menjadi bapa pada usia remaja turut mendesak supaya saya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Anak perempuan kami, Bethany kemudian selamat dilahirkan pada 26 Mac 1998 di Hospital Diraja Doncaster,” kata­nya.
Menurut Rowland, dia­ ­berhadapan dengan cabaran besar sepanjang membesarkan Bethany selepas berpindah dari rumah kedua ibu ba­panya.
“Ketika Bethany berusia dua bulan, saya telah berpisah dengan bapanya menyebabkan kami terpaksa meneruskan kehidupan dengan bantuan kewa­ngan daripada kerajaan.
“Namun, saya berjaya membesarkan Bethany dengan baik walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran,” ujarnya yang tidak menyangka Bethany turut mengikut jejak langkahnya apabila melahirkan anak pada usia 17 tahun. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3cMjZN1IE 
Hakcipta terpelihara 

Janggut punya pasal

Stockholm: Seorang lelaki hampir ditahan polis kerana disangka penculik selepas membawa anak lelakinya dalam beg beli-belah, hanya disebabkan dia tidak dikenali jirannya akibat menyimpan jambang.
Torkel Kristoffers, 39, memilih berjambang selepas mengambil cuti untuk menjaga anaknya, Axel, dua tahun.
Namun, tanpa disangka dia hampir mengundang masalah selepas Axel meminta dibawa ke rumah rakan di dalam beg beli-belah selepas mereka membeli barang dapur.
Seorang jiran yang melihat dua beranak itu tidak mengenali Kristoffers menyebabkannya pantas menelefon polis untuk melaporkan Axel diculik.
Kristoffers terkejut selepas polis menyerbu kediamannya, namun tiada tindakan diambil selepas kekeliruan itu diperjelaskan.
Kristoffers bagaimanapun, tidak mengambil hati malah, memuat naik gambarnya yang berjambang ke Facebook.
“Memang tiba masa untuk mencukur jambang ini apabila dua kereta peronda polis datang mengambil tindakan!” katanya.
Jurucakap polis, Eva Nilsson mengesahkan perkara itu.
“Buat masa ini, bukanlah satu kesalahan untuk membawa kanak-kanak di dalam beg beli-belah,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:14 AM


AXEL dibawa dalam beg beli-belah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56233#sthash.zu1upliV.dpuf

Saturday, June 6, 2015

Mangkuk tandas bernilai RM351,255

Mangkuk tandas bernilai RM351,255
Mangkuk tandas bernilai RM351,255

SHANGHAI - CHINA. Mangkuk tandas ini mungkin mangkuk tandas yang paling mahal di dunia kerana disaluti 72,000 biji berlian Swarovski yang berharga £84,000 (RM351,255).

Mangkuk tandas yang direka oleh seorang pereka Jepun, Ginza Tanaka ini mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Kecantikan dan gemerlapan mangkuk tandas ini mendapat perhatian pengunjung ketika dipamerkan di China International Kitchen & Bathroom Expo 2015 di Shanghai pada Rabu.

Ini bukan sesuatu yang pelik kerana tahun lepas sebuah bilik mandi yang dilengkapi tandas, sinki dan tab mandi yang disaluti oleh coklat direka oleh sebuah syarikat dan dianggarkan berharga £80,000 (RM334,528).

Wanita diraba monyet lapor polis

monyet
- Gambar hiasan

GIBRALTAR - BRITAIN . Seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekumpulan monyet merabanya bertindak membuat laporan polis untuk mendakwa haiwan berkenaan.
 
Mellissa Hart, 23, diserang secara seksual oleh sekumpulan monyet ketika sedang bercuti di sebuah tempat peranginan di Gibraltar.
 
Menurut Mellisa, dia sangat teruja untuk melihat sekumpulan haiwan itu sehinggalah dua ekor monyet berkenaan bertindak meraba dan salah seekor daripadanya menarik pakaian mandinya.
 
Pelancong yang menyaksikan kejadian berkenaan hanya melihat dan mentertawakannya.
 
Bercakap kepada Olive Press, Melissa berkata,  saya berasa tidak berdaya untuk melawan dan hanya mampu menjerit ketika monyet - monyet terbabit menarik dan merabanya.
 
"Saya diserang secara seksual oleh haiwan berkenaan dan orang di sekeliling hanya fikir ini adalah jenaka," katanya.
 
Namun kerana berang dengan insiden tersebut, Mellisa mengambil keputusan untuk mendakwa monyet berkenaan dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
 
Walaubagaimanapun, pihak polis berkata, tiada tindakan yang boleh dilakukan untuk mendakwa haiwan liar tersebut.

Doktor buang ulat dalam mata guna daun selasih

 Doktor buang ulat dalam mata guna daun selasih
Ulat (gambar kecil ) yang berjaya dikeluarkan dalam mata remaja

LIMA - PERU. Seorang remaja terpaksa berdepan detik mengerikan apabila seekor ulat terperangkap dalam matanya selama sebulan.
 
Remaja berusia 17 tahun dari Puzozo, Peru tiba di Hospital Kanak-kanak di sini untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu matanya bengkak.
 
Pada mulanya, sekumpulan doktor menyangka ia hanyalah jangkitan biasa namun hasil imbasan MRI menunjukkan terdapat seekor ulat bersaiz 3 sentimeter terperangkap di dalam mata remaja itu.
 
Pakar mata, Carolone Marchena berkata, cacing itu berada di bahagian bawah mata dan hal ini meningkatkan risiko tisu di sekitar mata semakin membengkak.
 
"Pihaknya tidak melakukan pembedahan untuk mengeluarkan ulat tersebut sebaliknya menggunakan daun selasih dan penyepit,"
 
"Bau daun selasih membuatkan ulat tersebut keluar dari mata dan kemudian penyepit digunakan untuk mengeluarkan ulat tersebut," katanya dipetik DailyMail.

Kereta peronda RM12.9 juta

Abu Dhabi: Jabatan polis di sini semalam menambah sebuah lagi ‘supercar’ dalam kumpulan kereta perondanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, kereta kuasa tinggi terbaru itu ialah Lykan Hypersport, kereta yang dibuat di Lubnan berharga Dh12.8 juta (RM12.9 juta) dan satu daripada hanya tujuh yang terdapat di dunia ketika ini.
Ketua Bahagian Keselamatan Trafik Kapten Ahmad Abdullah Al Muhairi berkata, kereta berkenaan akan dipamerkan di beberapa lokasi pelancong dan pusat beli-belah di bandar raya berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya melanggar undang-undang jalan raya dan menggalakkan mereka bekerjasama dengan polis bagi mengelak kemalangan.
Lykan adalah kereta paling mahal pernah digunakan dalam filem Fast and Furious. Furious 7 dirakam di beberapa kawasan di Abu Dhabi.
Polis Abu Dhabi sebelum ini memiliki sebuah Rolls Royce, dua Chevrolet Camaros, satu GTS- R selain motosikal Harley-Davidson Polaris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 6:04 AM

LYKAN Hypersport.

AS lakukan transplan tengkorak, kulit kepala pertama di dunia



AP - BOYSEN dan teman wanitanya, Kay Mouser berbual di katilnya di Hospital Methodist Houston di Texas pada Rabu lepas.


WASHINGTON – Doktor-doktor Amerika Syarikat (AS) memuji satu pembedahan sukar sebagai yang pertama di dunia selepas melakukan pemindahan tengkorak dan kulit kepala ke atas seorang pesakit kanser yang turut menerima ginjal dan pankreas baharu semasa prosedur tersebut.
Seorang pembina perisian berusia 55 tahun, James Boysen (gambar kecil) menjalani pembedahan selama 15 jam itu yang dibantu oleh 50 profesional perubatan, menurut Pusat Kanser MD Anderson di Houston kelmarin.
Menurutnya, pembedahan bersejarah itu menjadikan Bosyen sebagai pesakit pertama menerima transplan tisu tengkorak dan kulit kepala bersama pemindahan organ pe­pejal.
Pembedahan itu yang dilakukan di Hospital Methodist Houston dicadangkan hampir empat tahun lalu tetapi hanya dilakukan pada 22 Mei lepas, sekitar 20 jam selepas doktor-doktor diberitahu bahawa organ yang diperlukan sudah tersedia.
“Pembedahan ini amat kompleks kerana kami terpaksa memindahkan tisu manusia menggunakan teknik pembedahan mikro,” kata ketua pasukan bedah plastik Hospital Methodist Houston, Michael Klebuc.
“Kami menghubungkan salur darah bersaiz 1.5 milimeter di bawah mikroskop menggunakan benang halus berukuran separuh diameter rambut manusia dengan perkakasan yang digunakan untuk membuat jam ta­ngan Swiss terbaik,” tambahnya.
Boysen yang merupakan penduduk Austin menghidap leiomyosarcoma, sejenis kanser yang menyerang otot manusia di kulit kepalanya pada 2006.
Barah itu berjaya dirawat tetapi menyebabkan luka besar pada kulit kepala dan tengkorak pesakit.
Dia juga pernah menjalani pemindahan pankreas dan ginjal pada 1992 tetapi organ tersebut perlu ditukar sekali lagi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3cEC0k7eK 
Hakcipta terpelihara 

Kahwin lebih seorang demi air



06 Jun 2015 12:27 AM

Demi mendapatkan bekalan air yang mencukupi, golongan suami di sebuah perkampungan kawasan Barat India sanggup berkahwin lebih dari seorang isteri dan memaksa mereka mengangkut air dari sungai. -Agensi

MAHARASHTRA 5 Jun – Demi mendapatkan bekalan air yang mencukupi, golongan suami di sebuah perkampungan di barat India sanggup mengahwini lebih seorang wanita bagi memaksa mereka mengangkut air dari perigi.
Daily Mail melaporkan, sejak kebelakangan ini, penduduk Kampung Denganmal terpaksa bergantung kepada perigi sebagai punca air berikutan masalah kemarau.
Seorang penduduk, Sakharam Bhagat, 66, berkata, golongan isteri di perkampungan tersebut digelar sebagai ‘isteri air’ kerana mereka dipaksa berkahwin hanya semata-mata untuk mengangkut air.
“Saya sendiri mempunyai tiga isteri. Jika isteri pertama sibuk melakukan kerja rumah, isteri kedua sakit, yang ketiga akan angkut air di perigi. Kerja mengangkut air mengambil masa berjam-jam kerana penduduk kampung bergantung dengan perigi tersebut.
“Berkahwin lebih dari seorang demi untuk kerja ini adalah normal di kampung ini kerana negeri kami sering dilanda musim kemarau yang teruk setiap tahun,” katanya.
Bagaimanapun menurut Bhagat, golongan wanita di kampung itu gembira dengan perkahwinan sebegitu kerana dapat tolong menolong antara satu sama lain ketika menghadapi kesusahan.
Semua isteri Bhagat tinggal serumah, namun dia menyediakan bilik dan dapur berlainan bagi mereka selain tugasan mengangkut air dilakukan secara bergilir-gilir.
Poligami adalah salah di sisi undang-undang India, namun beristeri lebih dari seorang adalah perkara biasa di sesetengah tempat seperti Kampung Denganmal.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kahwin-lebih-seorang-demi-air-1.99486#sthash.Ef22rkcd.dpuf

Rasai pengalaman kapal karam

Syarikat China bina replika Titanic

Bahagian dalam replika kapal Titanic, bakal memberi peluang kepada

Bahagian dalam replika kapal Titanic, bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berada di dalam kapal pelayaran mewah. AGENSI
BEIJING 5 Jun - Sebuah replika kapal Titanic yang akan dibina di China, bukan sahaja membolehkan pengunjung menikmati ruang dalamannya yang mewah, namun juga boleh merasai pengalaman pe­ngangkutan tersebut karam.
Menurut portal Mail Online, replika tersebut yang dibina oleh syarikat tenaga di wilayah Sichuan itu akan menjadi tarikan baharu pelancong ke negara ini dan dijangka dibuka secara rasmi pada Oktober 2017.
Pelawat juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman ketika kapal mewah tersebut berlanggar dengan bongkah ais gergasi melalui simulasi berteknologi tinggi yang melibatkan cahaya dan juga kesan bunyi.
Kumpulan Pelaburan Qixing ­Ener­­gy mendedahkan, sebanyak satu juta yuan (RM600,000) dilaburkan untuk membina replika kapal mewah itu sejak 1 Januari tahun lalu.
Baru-baru ini, syarikat yang beribu pejabat di bandar Lishui, timur negara ini itu, mengumumkan hanya 5,000 tiket akan dijual secara rasmi di laman web mulai 15 Jun ini.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Pelaburan Qixing Energy, Su Shaojun berkata, kapal Titanic adalah sebuah kapal yang besar dan pihaknya akan memberi pe­ngalaman indah kepada pengunjung untuk merasai pelayaran kapal mewah selain merasai detik-detik cemas ketika kapal tersebut karam.
“Pembinaan replika ini membolehkan pengunjung merasai pe­ngalaman sebenar berada di dalam kapal pelayaran mewah,” ujarnya.
Replika kapal itu dijangka menerima kira-kira 1,500 pengunjung sehari apabila dibuka kepada umum dan kutipan tersebut akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Titanic, sebuah badan amal yang ditubuhkan bagi membantu misi menyelamat tragedi maritim di seluruh dunia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rasai-pengalaman-kapal-karam-1.99482#sthash.N9iAroub.dpuf

Friday, June 5, 2015

Restoran ‘Saya Tak Tahu’

Rochester (New York): Sebuah restoran baru yang menyediakan masakan Cina dibuka di sini baru-baru ini.
Namanya ‘I Don't Know’ (Saya Tidak Tahu).
Pemiliknya Jessie Dong memberitahu akhbar Chronicle of Rochester, dia mendapat ilham mengguna nama pelik itu daripada sikap anaknya yang sentiasa memberi jawapan ‘Saya tidak tahu’ apabila ditanya mengenai masakan yang hendak disediakannya.
Katanya, apabila tiba masa untuk menamakan restoran itu, keluarganya juga memberi jawapan ‘Saya tidak tahu.’
“Kerana itu saya memberi nama ‘I Don’t Know,’” kata Dong yang berasal dari Guangdong, China. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:58 AM


RESTORAN Saya Tidak Tahu yang baru dibuka di New York.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55788#sthash.THa7uPZU.dpuf

Mahu tayang karikatur Rasulullah di televisyen

The Hague: Ahli politik anti-Islam Belanda Geert Wilders (gambar) berikrar untuk menyiarkan karikatur kononnya menggambarkan Nabi Muhammad SAW di televisyen pada slot yang diperuntukkan kepada parti politik.
Wilders berkata, dia akan berbuat demikian untuk mempertahankan hak kebebasan bersuara selepas dua militan ditembak mati ketika menyerang pertandingan melukis karikatur untuk menghina Rasulullah SAW di Garland, Texas, bulan lalu.
Menurutnya, ia cara untuk menunjukkan kepada masyarakat Islam bahawa dia dan kumpulan anti-Islam lain tidak akan tunduk dengan ancaman dan cubaan untuk menghalang mereka menghina Nabi Muhammad SAW.
Wilders yang berucap mencaci Islam di acara di Texas itu sejurus sebelum serangan berkenaan, cuba mendapatkan kebenaran Parlimen Belanda untuk mengadakan pameran karikatur Rasulullah SAW.
“Saya akan menayangkan sebahagian kartun di televisyen pada slot yang dibenarkan untuk parti saya,” kata Wilders dalam ucapannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:52 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55782#sthash.X8nmzGWb.dpuf

Nak sewa keluarga

Colorado: Seorang pelajar di sini yang membesar di pusat penjagaan akan memperoleh apa yang diinginkan - keluarga untuk menyambut hari jadinya.
Natalie Carson, 19, menjadi tumpuan di Amerika Syarikat selepas mengiklankan dalam Craigslist.com dengan berkata, dia tidak pernah gembira pada setiap hari jadinya dan mahu menyewa keluarga untuk meraikan acara itu bulan ini.
Semalam, stesen KMGH-TV melaporkan, sudah ada keluarga yang sedia memenuhi impian Natalie.
Menurut iklan yang disiarkan bulan lalu, Natalie berkata, dia diambil daripada ibu bapanya yang bermasalah ketika masih kanak-kanak dan membesar di sebuah pusat penjagaan itu. Dia tidak pernah diambil sebagai anak angkat sehingga hari ini.
Menurut Natalie, dia bersedia membayar keluarga itu AS$8 (RM30) sejam untuk meraikan hari jadinya bersama-samanya.
“Saya hanya mahu sehari untuk merasa diri saya penting dan istimewa, walaupun hakikatnya tidak begitu. Saya tidak pernah rasa gembira pada hari jadi saya sebelum ini. Tetapi, tahun ini, saya mahu sesuatu yang dapat membahagiakan saya,” katanya.
Natalie berkata, dia menerima banyak tawaran, termasuk daripada keluarga di negeri lain yang sanggup membiayai kos penerbangannya untuk hari itu.
Katanya, dia memilih satu keluarga dari Colorado untuk meraikan hari jadinya dan meminta ia diadakan secara tertutup.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:04 AM


NATALIE
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55798#sthash.aKGMSNTr.dpuf

Petik gitar ketika otak dibedah

Rio de Janeiro: Seorang lelaki Brazil mengejutkan doktor dengan menyanyi lagu The Beatles ‘Yesterday,’ sambil memetik gitarnya ketika menjalani pembedahan otak.
Anthony Kulkamp Dias, 33, sedar sepanjang pembedahan membuang ketumbuhan di otaknya dan menyanyi untuk pasukan perubatan yang membedahnya.
Tindakannya membolehkan doktor mengelak daripada menyentuh saraf otak yang mengawal deria, pergerakan dan percakapan.
Kulkamp, pekerja bank, bermula dengan menyanyi lagu Emanuel yang dicipta untuk anaknya yang baru lahir sebelum meneruskan dengan lagu hit Beatles itu.
Kulkamp pemain gitar profesional sejak 20 tahun lalu, disahkan menghidap ketumbuhan berkenaan 15 hari selepas anaknya dilahirkan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:05 AM


KULKAMP memetik gitar ketika doktor membedah otaknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55800#sthash.XYsTpJU9.dpuf