Agensi Angkasa Eropah jangka Lunarville siap 2024
09 Jun 2015 12:22 AM
Gambaran menunjukkan lakaran asas stesen angkasa lepas baharu di bulan yang dijangka siap dibina pada tahun 2024. AGENSI
LONDON 8 Jun - Agensi Angkasa Eropah (ESA) merancang pembinaan sebuah perkampungan angkasa di bulan yang menyerupai rumah kediaman watak rancangan kanak-kanak terkenal ‘Teletubbies’, bagi menggantikan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Portal berita Daily Mail melaporkan, penyelidik ESA, Profesor Jan Woerner berkata, pembinaan kampung digelar ‘Lunarville’ itu dijangka siap pada 2024 dan akan mencetuskan satu inovasi yang terhebat.
“Kerja-kerja pembinaan stesen di bulan itu akan mencetuskan satu lonjakan besar dalam teknologi inovasi di Bumi.
“Bahagian belakang bulan, yang tidak dapat dilihat dari Bumi, akan menyediakan keadaan terbaik untuk penyelidikan apabila beberapa buah teleskop akan diletakkan bagi menyediakan pandangan yang tidak terganggu ke dalam ruang angkasa,” kata Woerner.
Tambahnya lagi, untuk permulaan, bahan pembinaan dan makanan akan menjadi keutamaan.
Air pula katanya akan dihasilkan daripada gas Hidrogen, sementara tanaman mungkin boleh ditanam di rumah hijau.
“Para penyelidik akan kekal berada di angkasa untuk beberapa bulan dalam satu-satu masa. Sebuah perkhidmatan pengangkutan ulang-alik secara tetap perlu diwujudkan dalam kes kecemasan perubatan,” ujarnya.
Namun, kos untuk membinanya terbukti menjadi halangan terbesar berbanding keadaan persekitaran yang tidak dijangka di angkasa.
Lebih 75 bilion pound (RM429 bilion) diperlukan untuk membina ISS sebelum ini, dan kos pembinaan sebuah perkampungan di bulan mungkin menelan belanja lebih dari itu.
Bagaimanapun, Woerner berasa sangat yakin bahawa beberapa negara akan saling membantu untuk membinanya dan Universiti Teknikal Darmstadt di Jerman sedang mereka bentuk kediaman untuk dibina di sana.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bina-kampung-di-bulan-1.100616#sthash.NlHn5OwI.dpuf
No comments:
Post a Comment