Bahagian dalam replika kapal Titanic, bakal memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berada di dalam kapal pelayaran mewah. AGENSI
BEIJING 5 Jun - Sebuah replika kapal Titanic yang akan dibina di China, bukan sahaja membolehkan pengunjung menikmati ruang dalamannya yang mewah, namun juga boleh merasai pengalaman pengangkutan tersebut karam.
Menurut portal Mail Online, replika tersebut yang dibina oleh syarikat tenaga di wilayah Sichuan itu akan menjadi tarikan baharu pelancong ke negara ini dan dijangka dibuka secara rasmi pada Oktober 2017.
Pelawat juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman ketika kapal mewah tersebut berlanggar dengan bongkah ais gergasi melalui simulasi berteknologi tinggi yang melibatkan cahaya dan juga kesan bunyi.
Kumpulan Pelaburan Qixing Energy mendedahkan, sebanyak satu juta yuan (RM600,000) dilaburkan untuk membina replika kapal mewah itu sejak 1 Januari tahun lalu.
Baru-baru ini, syarikat yang beribu pejabat di bandar Lishui, timur negara ini itu, mengumumkan hanya 5,000 tiket akan dijual secara rasmi di laman web mulai 15 Jun ini.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Pelaburan Qixing Energy, Su Shaojun berkata, kapal Titanic adalah sebuah kapal yang besar dan pihaknya akan memberi pengalaman indah kepada pengunjung untuk merasai pelayaran kapal mewah selain merasai detik-detik cemas ketika kapal tersebut karam.
“Pembinaan replika ini membolehkan pengunjung merasai pengalaman sebenar berada di dalam kapal pelayaran mewah,” ujarnya.
Replika kapal itu dijangka menerima kira-kira 1,500 pengunjung sehari apabila dibuka kepada umum dan kutipan tersebut akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Titanic, sebuah badan amal yang ditubuhkan bagi membantu misi menyelamat tragedi maritim di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment