Pages

Saturday, March 17, 2012

Palestin desak Israel henti ambil DNA tahanan

Berita Harian Online | Palestin desak Israel henti ambil DNA tahanan:RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) meminta mahkamah tertinggi Israel berhenti mengambil sampel DNA daripada tahanan Palestin tanpa kerelaan mereka, kata seorang menteri PA kelmarin. 

“Kami mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Tinggi Israel semalam menentang layanan memalukan terhadap tahanan kami,” kata Menteri Hal Ehwal Tahanan Issa Qaraqaa kepada sidang media di sini.

Katanya, di penjara Shita di utara Israel, yang menahan kebanyakannya tahanan keselamatan Palestin, banduan diikat dengan paksa sambil sampel rambut diambil dan mulut mereka dicalit.

“Tindakan ini tidak sah dan bertentangan dengan semua standard antarabangsa, termasuk etika perubatan dan melanggar hak peribadi tahanan,” katanya. “Kami meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan satu kenyataan mengutuk tindakan itu.” 

Jurucakap polis Israel Micky Rosenfeld berkata satu kempen sedang dijalankan untuk mengumpul sampel daripada semua tahanan disabitkan di penjara Israel, kedua-dua bangsa Yahudi dan Arab, tidak kira apa juga kesalahan. 

“Bagi mengembangkan pangkalan data DNA dan forensik di ibu pejabat polis nasional Israel, buat masa ini kami dalam proses mengambil DNA daripada tahanan, mereka yang sudah disabitkan atas kesalahan jenayah dan sedang menjalani hukuman penjara,” katanya kepada AFP. 

“Ia adalah satu dasar baru yang dilaksanakan sepanjang 2012. Ia permulaan untuk dilaksanakan sekarang ke atas semua yang disabitkan. 
“Proses itu dilakukan di kalangan tahanan berbeza tidak kira kesalahan apa yang disabitkan.” 

Katanya antara mereka yang mana sampel diambil adalah bekas presiden Israel, Moshe Katsav, menjalani hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan merogol, yang enggan memberi sampel secara sukarela. – AFP
'via Blog this'

Korea Utara lancar roket April

Berita Harian Online | Korea Utara lancar roket April:GAMBAR yang diambil  daripada rakaman video, menunjukkan  sebuah roket sedang berlepas dari  tapak pelancaran di Musudan-ri, Korea Utara,  pada April 2009.
GAMBAR yang diambil daripada rakaman video, menunjukkan sebuah roket sedang berlepas dari tapak pelancaran di Musudan-ri, Korea Utara, pada April 2009.
Tindakan mengejut Pyongyang selepas setuju henti ujian peluru berpandu

PYONGYANG: Korea Utara semalam mengumumkan rancangannya melancarkan roket jarak jauh yang dipasang pada satelit April ini, langkah mengejut yang dibuat beberapa minggu selepas ia bersetuju bertolak ansur dalam isu nuklear termasuk menghentikan sementara ujian peluru berpandu jarak jauh.

Pelancaran itu akan dilaksanakan tepat tiga tahun selepas pelancaran serupa diadakan pada April 2009 yang mencetus kutukan dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan beberapa negara lain, selain ujian teknologi peluru berpandu jarak jauh Korea Utara.

“Pelepasan dijadual diadakan antara 12 dan 16 April dari tapak pelancaran wilayah utara,” kata jurucakap Jawatankuasa Teknologi Angkasa Lepas Korea dalam satu kenyataan kepada media. 

Korea Utara berkata pihaknya akan melancarkan satelit ‘bekerja’ itu bersempena ulang tahun ke-100 kelahiran pengasasnya, Kim Il Sung pada 15 April. Ketika ini, cucu Kim, Kim Jong Un memimpin negara yang dihuni 24 juta penduduk sejak kematian bapanya, Kim Jong Il pada Disember.

Pengumuman dibuat selepas pada bulan lalu Korea Utara bersetuju menggantung kerja pengkayaan uranium, menghentikan sementara ujian peluru berpandu jarak jauh dan nuklear dan membenarkan pemeriksa senjata Amerika kembali dalam pertukaran dengan bahan yang paling dikehendaki iaitu bantuan makanan. 

Pengkayaan uranium adalah satu cara untuk membantu membuat bom atom. Sebelum ini, Korea Utara sudah mempunyai senjata plutonium untuk peralatan nuklear. 
Korea Utara menyifatkan pelancaran pada April 2009 sebagai ujian bagi teknologi satelitnya, tetapi Barat secara meluasnya melihat ia sebagai pencabulan kepada resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara daripada terbabit dalam aktiviti peluru berpandu balistik dan nuklear.

Kenyataan daripada jurucakap jawatankuasa angkasa lepas Korea Utara berkata satelit Kwangmyongsong-3 direka untuk mengelilingi bumi akan dipasang pada roket Unha-3 dari stesen Sohae di daerah Cholsan. 

Beliau berkata Korea Utara akan mematuhi peraturan antarabangsa mengawal pelancaran satelit untuk tujuan keamanan saintifik. 

Korea Utara menguji peralatan nuklear pada 2006 dan 2009 dan dipercayai mempunyai senjata plutonium untuk empat hingga lapan bom atom primitif, kata saintis Pusat Keselamatan Keselamatan dan Kerjasama Antarabangsa di Universiti Stanford, Siegfried Hecker.

Pada 2009, Korea Utara mendakwa pihaknya memulakan pengkayaan uranium, cara kedua membuat bom atom dan mendedah prasarananya kepada Hecker dan pakar Korea Utara, Robert Carlin dalam satu lawatan pada November 2010.

Hecker berkata Korea Utara tidak mengeluarkan plutonium buat masa ini, tetapi terlalu sedikit maklumat mengenai sama ada mereka sudah meningkatkan pengkayaan uranium atau cuba membuat bom menggunakannya. 

Di Seoul, Kementerian Perpaduan berkata pihaknya tiada sebarang komen. Korea Utara dijangka menjadi tuan rumah Persidangan Keselamatan Nuklear di Seoul dua minggu lagi dan program nuklear Korea Utara dijangka dibincangkan ketika perhimpunan pemimpin dunia. – AP/Reuters
'via Blog this'

Bapa Dirang diusir ke Filipina

Kosmo! Online - Negara:


HENRY akan diusir ke Filipina kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.


JOHOR BAHRU - Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan polis supaya membebaskan bapa mangsa pembunuhan kejam, Nurul Nadirah Abdullah untuk diusir ke negara asalnya, Filipina, atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya akan merujuk lelaki yang ditahan di Bandar Seri Alam pada 8 Mac lalu itu kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.
"Dia diusir kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

'via Blog this'

Jangan ambil amah Indonesia

Kosmo! Online - Negara:
KERENAH birokrasi pemerintah Indonesia dalam urusan penghantaran pembantu rumah mendorong ada pihak menyarankan pengambilan amah dari negara lain. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) rela menarik balik pengambilan amah dari Indonesia jika pemerintah republik itu bertegas mengenakan syarat baharu yang membebankan majikan-majikan di Malaysia.
Pemangku Presidennya, Jeffrey Foo berkata, tindakan Indonesia yang menetapkan amah dari negara itu hanya menjalankan satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700 dianggap tidak masuk akal.
"Jika keputusan itu benar-benar hendak diambil, kami tidak bersetuju kerana terang-terang ia tidak relevan... takkan majikan perlu menggajikan hingga empat orang amah bagi empat tugasan yang berlainan," katanya di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.
Kalau diambil untuk menjadi tukang masak, pembantu rumah tidak dibenarkan menjadi pengasuh bayi.

'via Blog this'

Kereta pelajar terkandas di laut

Kosmo! Online - Dunia:


SEBUAH feri melintasi sebuah kereta yang terkandas di laut di Oyster Point, Brisbane semalam.


BRISBANE, Australia – Sebuah kereta sewa yang dinaiki tiga pelancong Jepun terkandas di laut di Oyster Point, di sini semalam.
Menurut laporan akhbar The Redland Times, tiga pelancong itu terpedaya dengan maklumat daripada sistem penentu kedudukan global (GPS).
Mereka percaya kereta tersebut dapat melalui laluan berlumpur sepanjang 15 kilometer ke Pulau Stradbroke Utara berdasarkan maklumat GPS.
Namun, kereta itu yang dinaiki pelajar dari Tokyo, Jepun terkandas dalam lumpur.
Ketiga-tiga pelajar tersebut terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan kereta berkenaan kerana air laut mula pasang. – Agensi

'via Blog this'

Ratu cantik botakkan kepala

Kosmo! Online - Dunia:


DEBBE EBBEN memakai tiara kemenangan beberapa hari selepas dia membotakkan kepalanya.


ANCHORAGE, Amerika Syarikat (AS) – Ratu Cantik Chugiak-Eagle, Debbe Ebben telah membotakkan kepalanya bagi memperoleh sumbangan untuk digunakan dalam penyelidikan penyakit kanser.
Dia setakat ini berjaya memperoleh sumbangan lebih AS$4,000 (RM12,235) selepas membotakkan kepalanya pada minggu lalu.
Ebben yang berusia 23 tahun melakukan perbuatan itu bagi membantu penyelidikan penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Menurutnya, dia berasa gembira kerana membotakkan kepala itu untuk tujuan kebajikan.
Ebben berkata, peluangnya untuk memenangi pertandingan Ratu Cantik Alaska pada Jun depan tidak terjejas walaupun dia tidak mempunyai rambut.
Para peserta pertandingan itu dikehendaki melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat menyebabkan dia memilih untuk membotakkan kepala untuk tujuan amal. – AGENSI

'via Blog this'

Portugal, Sepanyol alami kemarau

Kosmo! Online - Dunia:
SEBUAH kolam kering akibat kemarau di Kampung Robres, Huesca, Sepanyol pada Selasa lalu.


LISBON - Sepanyol dan Portugal kini berdepan musim sejuk paling kering dalam tempoh lebih 70 tahun yang menyebabkan hasil pertanian negara berkenaan teruk terjejas manakala nasib ribuan pekerja turut terancam.
Pemandangan di utara Sepanyol kini umpama tanah yang tiada tumbuh-tumbuhan kerana hujan tidak turun.
Di Galicia, kawasan di timur laut Sepanyol yang pada kebiasaan hujan kini tiada lagi rumput ekoran kemarau.
Menurut seorang jurucakap persatuan petani, Gregorio Juarez, para petani di kawasan itu dan di wilayah lain terpaksa mengimport barang makanan yang melibatkan kos sebanyak AS$2.6 juta (RM7.95 juta) sehari.
Jurucakap Gabungan Ladang Nasional di Portugal, Joao Dinis berkata, kemarau kali ini meningkatkan kesengsaraan rakyat akibat krisis hutang yang menyebabkan negara itu memohon pelan penyelamatan ekonomi berjumlah 78 bilion euro (RM311.8 bilion) tahun lalu.
"Petani negara ini berdepan masa yang amat sukar dengan tanaman bijirin terjejas teruk manakala tanah ragut pula semakin berkurangan," kata Dinis.
"Ini ialah kemarau terburuk sepanjang hidup saya," tambahnya.
Beliau memberitahu, petani di Portugal kini memerlukan dana kecemasan sebanyak 25 juta euro (RM99.9 juta) bagi membantu meringankan bebanan mereka.
Setakat ini, Kementerian Perladangan Portugal masih mengira jumlah kerosakan akibat bencana tersebut.
Pihak pemerintah Portugal juga sedang berunding dengan Kesatuan Eropah bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk disalurkan kepada para petani yang terjejas. - AGENSI

'via Blog this'

iPad 3 jadi rebutan

Kosmo! Online - Dunia:



SEJUMLAH orang berbaris semasa menunggu untuk membeli iPad di Sydney, Australia semalam.



LONDON - Peminat kembali membanjiri kedai-kedai komputer Apple di Asia dan Eropah semalam bagi mendapatkan versi terbaharu komputer tablet syarikat berkenaan, iPad 3.
Peminat gajet berbaris panjang bagi mendapatkan komputer tablet terbaharu itu di Britain, Perancis, Jepun, Hong Kong dan Singapura,.
Di Tokyo, sekitar 450 orang beratur di luar sebuah kedai Apple.
Sebahagian mereka sanggup bermalam di luar premis berkenaan kerana mahu menjadi antara kumpulan pertama yang memiliki iPad 3.
"Saya mahu menunjukkan komputer ini kepada rakan-rakan," kata seorang perunding komputer berusia 33 tahun, Norio Nakayama di luar kedai tersebut.
"Saya akan memberikan iPad lama saya kepada isteri saya," tambahnya.
Di Hong Kong pula, hari pertama jualan iPad 3 menyaksikan komputer itu bertukar tangan apabila ia dijual beberapa ratus dolar Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi berbanding harga jualan.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, seorang peniaga membeli dua iPad 3 versi 32 gigabit pada harga bersamaan AS$1,700 (RM5,201) daripada seorang pelanggan yang membayar AS$1,200 (RM3,670) untuk dua gajet berkenaan.
Versi ketiga iPad itu turut dijual di Australia, Jerman dan Switzerland semalam serta boleh dibeli di AS dan Kanada bermula pukul 8 pagi waktu tempatan manakala 25 negara lain akan mula menerima komputer tersebut seminggu kemudian.
Model iPad 3 dilengkapi pemprosesan lebih pantas dan skrin lebih jelas.
Ia juga didatangkan dengan kamera lebih bermutu seperti yang terdapat pada iPhone terbaharu.
Walaupun gajet itu berdepan saingan sengit daripada komputer tablet murah seperti Kindle Fire, iPad kekal sebagai komputer tablet paling popular.
Apple menjual lebih 55 juta komputer iPad sejak ia mula memasuki pasaran pada 2010 termasuk 40 juta unit pada tahun lalu. - Agensi

'via Blog this'

Friday, March 16, 2012

Gaji penjawat awam di Gorontalo mula dibayar ke akaun bank isteri




         
JAKARTA: Sebagai menepati janji, mulai 1 Mac lalu gaji Gabenor Gorontalo, Rusli Habibie dan semua penjawat awam di bawah pentadbiran Pejabat Gabenor Gorontalo, di Sulawesi yang sudah berkahwin, dibayar ke akaun bank isteri masing-masing.

Langkah ini menarik perhatian ramai kerana alasan gabenor membuat keputusan itu ialah supaya gaji mereka benar-benar dapat dimanfaatkan keluarga.
Sementara belum kedengaran rungutan di pihak penjawat awam terbabit, ada pemerhati sosial mengkritik tindakan itu dengan mendakwa ia bersifat diskriminatif terhadap gender selain menunjukkan sikap tidak percaya kerajaan negeri terhadap institusi keluarga.

Pegawai Perhubungan Awam Kerajaan Gorontalo, Muchlis Huntua berkata pembayaran gaji para penjawat awam ke akaun bank isteri mereka merupakan pelaksanaan dasar Gabenor Rusli Habibie.



Muchlis berkata, sehingga kini belum ada daripada sejumlah 3,206 penjawat awam yang bertugas di bawah Pejabat Gabenor Gorontalo mengeluh mengenai keputusan itu. - Bernama

1,000 pelarian Syria lari ke Turki

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

ANKARA 15 Mac - Kira-kira 1,000 pelarian Syria, termasuk jeneral tentera yang belot, dilapor melarikan diri ke Turki dalam tempoh 24 jam lalu, lapor Kementerian Luar Turki, hari ini.

Jurucakap Kementerian Luar Turki, Selçuk Unal berkata, jumlah pelarian Syria yang berada di negara ini telah meningkat kepada 14,700 orang, termasuk tujuh pegawai tentera berpangkat jeneral.

Pegawai Turki yang berpangkalan di sempadan memindahkan kira-kira 1,000 pelarian ke kawasan berdekatan Gaziantep dan Kilis, yang menempatkan kem tambahan kepada beribu-ribu pelarian Syria sepanjang bulan lalu. - AFP"

'via Blog this'

WAJIB dibunuh PRESIDEN SYRIA...


Ulama Al-Azhar Fatwakan Presiden Syiria Bashar Al-Assad Wajib Dibunuh

Ulama di Al-Azhar, lembaga tertinggi di dunia Muslim Sunni, telah mengeluarkan fatwa yang menyeru pembunuhan terhadap Presiden Syria Bashar Al-Assad atas kematian ribuan orang awam dalam penumpasan mematikan terhadap aksi protes anti-rejim.

"Bashar Al-Assad sang pembunuh harus dibunuh," kata Nasr Farid Washil, bekas Mufti Mesir, di surat khabar milik Parti Kebebasan dan Keadilan pada hari Rabu lalu, 14 Mac.

"Dia (Assad) yang melepaskan peluru melawan rakyatnya sendiri harus dikutuk dan seorang penjahat perang yang wajib dihukum."

Lebih dari 8.000 rakyat Syria telah tewas dalam aksi protes menuntut diakhirinya 11-tahun pemerintahan Assad oleh tindakan keras mematikan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Assad.

Para ulama Al-Azhar sepakat menyeru pembunuhan Assad berkaitan atas pertumpahan darah warga awam yang terjadi setiap hari di Syria.

"Membunuh Bashar Al-Assad adalah suatu kemestian setelah ia menumpahkan darah rakyatnya dan memperkosa para wanita mereka sendiri," kata Dr Hasyim Islam, seorang ahli jawatankuasa Fatwa Al-Azhar.

Dia menekankan bahawa Islam melarang pembunuhan manusia tanpa alasan yang syar'i.

"Kejahatan yang dilakukan oleh Bashar Al-Assad sang pembunuh dilarang oleh Islam dan tindakannya itu tidak akan mewujudkan keselamatan," tegasnya.

Syaikh Abdul-Munim Al-Bari, bekas pimpinan front ulama Al-Azhar juga setuju dengan fatwa Assad wajib dibunuh.

"Presiden Syria Bashar Al-Assad harus dibunuh kerana membantu pembunuhan brutal yang dilakukan terhadap orang awam di Syria," ujarnya.

Al-Bari, yang juga bekas ahli jawatankuasa Fatwa Al-Azhar, mengatakan bahawa kejahatan Assad melanggar semua norma agama dan manusia.

"Dia layak mendapat hukuman dengan cepat." (Fq / oi)

15/03/2012

Berita Isu Semasa

Sokongan besar-besaran buat Bashar Al-Assad



SEJUMLAH besar penduduk berhimpun untuk menunjukkan sokongan ke atas Presiden Bashar Al-Assad di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Orang ramai berhimpun di bandar-bandar di seluruh Syria semalam untuk menyatakan sokongan terhadap Presiden Bashar Al-Assad supaya dunia mendengar suara rakyat Syria di sini.
Televisyen rasmi negara berkenaan menunjukkan puluhan ribu orang melambaikan bendera Syria dan potret Bashar di beberapa dataran di sini, bandar Aleppo di utara Syria, Latakia di pesisiran Mediterranean, Suweida di selatan dan Hasaka di timur laut Syria.
"Kami tidak takut untuk mati. Kami bersedia untuk berkorban demi tanah air, Syria," kata para penunjuk perasaan tersebut.
"Hidup pihak tentera," jerit mereka.
Semua bandar itu tidak terjejas dalam operasi tentera Bashar untuk memerangi penentangan yang tercetus pada 15 Mac tahun lalu.
Penentangan tersebut meragut 8,500 nyawa rakyat negara itu setakat ini.
"Selepas setahun Syria berdepan tekanan, kami mahu dunia mendengar suara kami: Jangan ganggu keamanan di Syria," kata seorang wanita pada perhimpunan tersebut.
Menurut agensi berita rasmi SANA, berjuta-juta orang berhimpun untuk memberitahu dunia bahawa rakyat Syria memilih kestabilan dan penyatuan nasional serta bebas daripada gangguan dan arahan asing.
Pihak berkuasa yang menyalahkan kumpulan-kumpulan pengganas mendalangi penentangan tersebut mengumumkan satu perarakan global demi Syria diadakan bagi membalas demonstrasi anti-Bashar yang dianjurkan oleh pihak penentang di seluruh dunia. - AFP

Israel lancar dua serangan di Gaza



GAZA CITY 15 Mac - Israel melancarkan dua serangan udara ke atas Genting Gaza selepas pejuang Palestin dilaporkan melepaskan peluru berpandu ke bandar di selatan Israel, lapor kedua-dua pihak, hari ini.
Serangan udara Israel itu dilancarkan ke atas kawasan ladang di tenggara Gaza City dan di timur Khan Younis, sejurus sebelum tengah malam tadi.
Kedua-dua lokasi serangan itu adalah kawasan yang berhampiran dengan sempada Gaza-Israel.
Sebuah kedai dilaporkan musnah akibat serangan udara itu, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Menurut satu kenyataan tentera Israel, sasaran mereka adalah tapak pelancaran peluru berpandu pejuang Palestin di bahagian utara serta terowong bawah tanah di bahagian selatan.
Sistem pertahanan antipeluru berpandu Israel sebelum itu menembak jatuh satu peluru berpandu pejuang Palestin di ruang udara Beersheba, bandar di Negev, selatan Israel.
Kelmarin, gencatan senjata tidak rasmi dikuatkuasakan antara Israel dan dua kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam dan Jawatankuasa Perjuangan Popular (PRC).
Dua kumpulan pejuang Palestin itu telah melepaskan lebih 200 roket ke arah selatan Israel sejak Jumaat lalu bagi membalas dendam atas pembunuhan Setiausaha Agung PRC, Zohair al-Qaisi oleh tentera Israel. - dpa

Presiden Perancis lawat masjid




Nicolas Sarkozy (kiri) meletakkan kalungan bunga bagi memberi penghormatan kepada veteran perang Islam yang mempertahankan Perancis di pusara di Masjid Besar di Paris, kelmarin. - AFP


PARIS 15 Mac - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat masjid utama di Paris, semalam, seminggu selepas pertikaian berhubung daging halal yang menyebabkan penganut Islam dan Yahudi di negara ini mendakwa mereka dijadikan alat politik dalam kempen pilihan raya Presiden negara ini.
Sarkozy menemui imam masjid itu dan pemimpin-pemimpin Majlis Islam Perancis sambil memberitahu mereka, 'beliau tidak mahu beberapa komuniti di negara ini terguris akibat kontroversi yang tidak sepatutnya wujud di negara ini sepanjang kempen pilihan raya'.
"Apa yang saya mahu katakan, komuniti Islam di negara ini mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan mereka seperti komuniti lain," katanya kepada wartawan.
Beliau turut merasmikan majlis peringatan terhadap tentera Islam yang terbunuh dalam mempertahankan negara ini yang diadakan di masjid itu.
Minggu lalu, isu mengenai imigran Islam dan amalan pemakanan Islam serta Yahudi mendapat perhatian dalam debat pilihan raya, sekali gus mengecewakan pemimpin-pemimpin agama.
Sarkozy dituduh bersikap lebih konservatif menjelang pusingan pertama pilihan raya Presiden pada 22 April ini bagi menarik pengundi yang tertarik dengan manifesto calon antiimigran, Marine Le Pen.
Penganut Islam dan Yahudi bersama-sama mengemukakan aduan bahawa mereka telah dijadikan alat politik dalam pilihan raya Presiden, selepas Le Pe, Sarkozy dan Perdana Menteri Francois Fillon mengkritik pengeluaran daging halal.
Perancis memiliki penganut Islam terbesar di selatan Eropah yang dianggarkan empat juta orang, manakala penganut Yahudi pula kira-kira 700,000 orang. - AFP

Konflik Syria genap setahun



DAMSYIK 15 Mac - Pemberontakan berdarah di Syria memasuki tahun kedua hari ini, dengan rejim Presiden Bashar al-Assad terus membedil kubu-kubu pemberontak, manakala utusan damai, Kofi Annan masih menantikan jawapan daripada Damsyik sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambung semula usaha untuk mencari penyelesaian.
Penyokong dan penentang Assad masing-masing mengatur demonstrasi besar-besaran bagi memperingati hari ini, selepas tentera rejim semalam membunuh 20 orang di Daraa, tempat bermulanya konflik paling lama dalam kebangkitan dunia Arab, kata pemantau.
Sementara itu, Annan yang merupakan utusan damai PBB-Liga Arab menggesa Assad mempercepatkan usaha untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.
Bekas Setiausaha Agung PBB itu sudah menerima jawapan daripada Assad terhadap 'cadangan-cadangan konkrit' yang dikemukakannya kepada Presiden Syria itu di Damsyik pada hujung minggu lepas tetapi kini 'mencari jawapan kepada beberapa soalan tambahan'.
Di Damsyik, seorang jurucakap Kementerian Luar Syria berkata, hanya pihak berkuasa yang komited untuk memberi kerjasama secara positif dengan misi Annan selagi terdapat semangat muhibah untuk membantu Syria'.
Annan dijadual memberi taklimat mengenai misinya kepada Majlis Keselamatan PBB menerusi persidangan video dari Geneva, esok, kata diplomat di New York.
Washington dalam pada itu berkata, Rusia dan China yang telah menggunakan kuasa veto untuk menyekat dua draf resolusi terhadap Syria sejak Oktober lalu atas alasan kedua-duanya berat sebelah, kini melangkah semakin hampir kepada pendirian yang diambil oleh masyarakat antarabangsa.
"Kini kita mendengar kenyataan terbuka yang jelas daripada Rusia dan China bahawa mereka tidak berminat untuk melindungi Assad, mereka tidak berminat dengan apa-apa langkah melainkan sesuatu yang dapat menamatkan keganasan," kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.
Di medan konflik di Syria, pasukan keselamatan semalam membunuh 13 penduduk awam dan tujuh askar yang belot di bandar Daraa, selatan negara ini, tempat pemberontakan menentang Assad mula meletus pada 15 Mac 2011, menurut pertubuhan antirejim, Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia. - AFP

Susulan sekatan EU, Swift henti transaksi kewangan Iran



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012
Iran
BRUSSELS - Swift, badan pengendali transaksi perbankan dunia, memutuskan untuk menghentikan hubungan kewangan dengan Iran mulai esok, sebahagian daripada tindakan menguatkuasakan sekatan yang diluluskan Kesatuan Eropah (EU) awal tahun ini.

Langkah itu akan menyisihkan Iran dengan menghalang ia daripada akses kepada aliran wang yang menggunakan saluran-saluran perbankan rasmi.

Laporan media asing menyebut langkah itu akan menjejaskan teruk industri minyak, selain mengakibatkan impak besar ke atas rakyat Iran yang berada di luar negara khususnya para pelajarnya.

Langkah itu menghalang alirang wang masuk dan keluar.

Perkembangan tu menyusul sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Iran oleh EU berhubung isu program nuklear.

Swift atau nama penuhnya Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication sangat penting bagi perdagangan minyak Iran dan aktiviti ekonomi yang lain.

Keputusan Majlis EU melarang syarikat-syarikat kewangan seperti Swift daripada terus menyediakan perkhidmatan maklumat kewangan yang khusus kepada bank-bank Iran yang tertakluk di bawah penguatkuasaan sekatan.

Keputusan Swift akan berkuat kuasa mulai 4 petang waktu London (12 tengah malam waktu Malaysia).

"(Tindakan) memutuskan hubungan dengan bank-bank adalah satu langkah luar biasa dan tidak pernah dilakukan oleh Swift.

"Ia adalah kesan langsung tindakan antarabangsa dan multilateral untuk meningkatkan sekatan kewangan ke atas Iran," kata satu kenyataan Swift.


WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012
Gaza
GENTING GAZA - Usaha Mesir sebagai pengantara untuk mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan ketegangan selama empat hari yang berlaku antara Israel dan Palestin sejak minggu lalu sehingga mengorbankan puluhan orang dilihat gagal.
Ini kerana, pasukan tentera rejim Zionis dan kumpulan militan di Gaza didakwa masih berbalas serangan sehingga kelmarin.

Pegawai keselamatan Palestin menyatakan tentera Israel telah melancarkan serangan di sebuah ladang berhampiran Bandar Gaza dan kawasan tidak berpenghuni di selatan Khan Yunis.

Tentera rejim sekali lagi menegaskan kononnya serangan balas dilancarkan selepas bandar Beersheva di selatan negara itu dibedil roket dari Genting Gaza.

“Serangan pada kali ini menyasarkan tapak melancarkan roket dan terowong di selatan Genting Gaza,” menurut kenyataan tentera Israel.

Selasa lalu, kumpulan Jihad Islam dan Israel mencapai persetujuan menyeluruh disertakan jaminan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata berikutan perjanjian sebelum ini yang sering sahaja bermula dengan goyah.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, keganasan yang tercetus sejak Jumaat lalu telah meragut 26 nyawa termasuk beberapa kanak-kanak di Gaza.

Dalam satu kenyataan lain, perdana menteri Benjamin Netanyahu telah menuduh Iran sebagai pihak bertanggung jawab membiayai dan membekalkan senjata kepada Palestin untuk melancarkan serangan ke atas Israel.

Akhbar Britain miliki ribuan emel peribadi Assad



WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012
Presiden Bashar al-Assad
LONDON - Akhbar The Guardian, kelmarin mendakwa mereka memiliki ribuan emel peribadi yang didakwa milik Presiden Syria, Bashar al-Assad dan isterinya.
Jurucakap akhbar beroperasi di Britain itu mendedahkan, mereka memperoleh kesemua emel bertarikh antara Jun dan awal bulan lalu daripada seorang ahli pembangkang di Syria yang identitinya tidak didedahkan.

Dalam kandungan emel tersebut, Assad didakwa turut meminta nasihat daripada Iran berhubung cara menangani konflik yang semakin meruncing di negara itu dan aktiviti Asma, isteri beliau yang suka membeli barangan mewah secara dalam talian juga terbongkar.

Akhbar The Guardian percaya emel diperoleh tersebut adalah asli kerana ia mengandungi maklumat terperinci termasuk rakaman video dan gambar keluarga pemimpin itu.