Pages

Tuesday, June 7, 2011

Pembangkang Yaman mahu kuasa presiden


SANAA: Pembangkang Yaman menggesa kuasa pemerintahan negara itu dipindahkan kepada mereka sambil berikrar untuk menghalang Presiden Ali Abdullah Saleh kembali dari Arab Saudi.
Ali Abdullah yang cedera akibat terkena serpihan letupan bom ketika bersolat dalam masjid Istana Presiden kini mendapatkan rawatan di Riyadh.

Dia sebelum itu terpaksa menjalani dua pembedahan bagi merawat kesan kecederaan itu.
Parti Ali Abdullah berkata, presiden itu akan kembali ke Yaman apabila keadaan mengizinkan.

Sebuah jawatankuasa pemuda yang berperanan menggerakkan kebangkitan rakyat negara itu berkata, orang ramai perlu memberi lebih tekanan bagi membolehkan peralihan kuasa berlaku.

Kenyataan jawatankuasa itu berkata, semua pihak kini mula membentuk majlis peralihan kuasa peringkat kebangsaan.
“Kami juga menyeru supaya dibentuk sebuah kerajaan teknokrat bagi mengetuai peralihan kuasa ini,” katanya.

Kumpulan sama turut menggalakkan orang ramai keluar ke jalan raya meraikan “penyingkiran Ali Abdullah”.
“Revolusi ini berjaya mencapai matlamat pertamanya, iaitu menyingkirkan presiden.

“Protes ini akan diteruskan sehingga semua sasaran tercapai,” katanya. - AFP
myMetro | Pembangkang Yaman mahu kuasa presiden

Yafran ditawan pemberontak

YAFRAN (Libya): Pemberontak Libya memasuki bandar pergunungan ini semalam, sambil memaksa tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi berundur.
Perkembangan itu membayangkan serangan udara Nato di situ membuahkan hasil.

Yafran dipertahankan tentera rejim Gaddafi selama lebih sebulan dan bekalan makanan, minuman dan perubatan di bandar itu semakin kritikal.
Jurugambar Reuters, Youssef Boudlal, berkata wakil pemberontak kini mendakwa mereka menguasai bandar itu daripada tentera kerajaan. “Tiada sebarang tanda-tanda kehadiran tentera Gaddafi,” katanya.

Yafran terletak kira-kira 100 kilometer tenggara Tripoli dan terletak di kawasan Pergunungan Barat.

Majoriti penduduk di situ adalah daripada etnik Barbar dan kebanyakannya turut bangkit menentang kerajaan Gaddafi yang memerintah Libya sejak 41 tahun lalu.
Selepas menguasai timur Libya, barat Misrata dan sejumlah kawasan pergunungan bersempadan dengan Tunisia, kemaraan pemberontak ke Tripoli tersekat oleh kelengkapan tentera Gaddafi yang lebih baik.

Kata Youssef, dia dapat melihat bendera pemberontak dinaikkan, manakala poster Gaddafi dikoyakkan.
Pada 2 Jun lalu, jet tentera Britain meletupkan masing-masing dua kereta kebal dan kenderaan pengangkut berperisai di Yafran.

Beberapa bandar di sepanjang banjaran itu menjadi sasaran tentera yang setia kepada Gaddafi.

Beberapa orang awam berkata, krisis di situ menyebabkan orang ramai mengalami kesukaran serius.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Britain berkata, serangan udara ke atas kawasan timur Libya masuk hari kedua, semalam.

Katanya, helikopter Apache menembak peluru berpandu bagi memusnahkan sebuah sistem pelancar roket berhampiran bandar Brega.

Ia adalah sebahagian daripada pelan meningkatkan operasi ketenteraan di Libya. - Reuters

Abu Bakar rasa dianiaya



GURU agama terkemuka Indonesia, Abu Bakar Bashir menunggu di sel mahkamah sebelum perbicaraan terakhir bagi tuduhan terbabit dengan aktiviti pengganas. Mahkamah mencadangkan hukuman penjara seumur dijatuhkan terhadapnya. 




JAKARTA: Ulama radikal, Abu Bakar Bashir, semalam menganggap perbicaraan ke atasnya dibuat di luar undang-undang Islam.
Bercakap sebelum hakim menyampaikan keputusan atas tuduhan terbabit dalam aktiviti keganasan, Abu Bakar berkata, kes dikaitkan terhadapnya sengaja direka.

Katanya, saksi yang dikemukakan pendakwa melalui persidangan video memberi keterangan di bawah tekanan pihak keselamatan.
“Justeru, pengakuan mereka tidak boleh dipercayai,” katanya.

Abu Bakar, 72, didakwa membantu menubuhkan dan membiayai kem latihan militan di Aceh sebagai persediaan menyerang warga asing serta pemimpin Islam sederhana.

Dia menafikan tuduhan itu tetapi berulang kali mempertahankan kewujudan kem berkenaan kerana menganggapnya dibenarkan Islam.
Pendakwa cuba mendapatkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Abu Bakar.

Sambil memetik beberapa ayat al-Quran, Abu Bakar berkata, perbicaraan dikenakan ke atasnya itu dilakukan untuk memerangi Islam.
Panel lima hakim yang mendengar perbicaraan itu dijangka membacakan keputusan pada 16 Jun ini. - APmyMetro | Abu Bakar rasa dianiaya

Berlusconi tidak serik


ROME: Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi masih mengadakan parti seks walaupun menghadapi perbicaraan atas tuduhan membayar perkhidmatan pelacur bawah umur.
Berlusconi, 74, dikatakan memindahkan kegiatan seks itu di kediamannya di Arcore dekat Milan ke Villa Gernetto. Rumah itu adalah kediaman rasmi Berlusconi dan digunakan oleh pelawat VIP. Berlusconi dituduh memberi wang tunai dan barang kemas sebagai bayaran khidmat seks dengan wanita pada parti sebelum ini, termasuk Karima El Mahroug yang ketika itu berusia 17 tahun.

Mendapatkan khidmat seks dengan gadis bawah 18 tahun dianggap sebagai kesalahan jenayah di Itali. Beliau juga dituduh menyalah gunakan kuasa apabila cuba membebaskan Karima daripada tuduhan mencuri.
Kes terbaru parti seks di Villa Gernetto itu timbul dalam rakaman telefon yang dilakukan dalam siasatan kes cukai terhadap pemilik pasukan Formula One, Flavio Briatore. Pita yang dihantar kepada pendakwa raya Berlusconi di Milan kemudian didedahkan kepada pihak akhbar. Terdapat perbualan antara Briatore di London dan beberapa rakannya mengenai kegiatan parti seks terbaru Berlusconi itu.

Berlusconi menafikan sebarang salah laku.

Peguamnya Niccolo Ghedini menafikan dakwaan terbaru itu dengan berkata: “Parti tidak pernah diadakan di Villa Gernetto.” - Agensi
myMetro | Berlusconi tidak serik

Gadis sembunyi lepas 1,500 serbu parti hari jadinya


HAMBURG:Seorang gadis remaja, semalam terpaksa melarikan diri dari parti hari jadinya selepas lebih 1,500 tetamu datang untuk menyambutnya, diekori oleh kira-kira 100 anggota polis.
Kejadian berlaku selepas gadis itu yang hanya dikenali sebagai Thessa, terlupa menetapkan parti itu sebagai sambutan ‘Tertutup,’ dalam laman Facebooknya.

Sebelas orang ditahan sementara oleh pegawai dan seorang anggota polis cedera dalam kesesakan di depan rumah gadis berkenaan.
Anggota bomba juga memadamkan dua kebakaran dalam kejadian itu sementara beberapa remaja terpaksa dirawat kerana luka akibat terpijak serpihan kaca.

Thessa sebenarnya hanya mahu mempelawa beberapa rakan ke rumahnya sempena ulang tahun kelahirannya tetapi tersilap dengan meletakkan ia sebagai acara terbuka.

Kira-kira 15,000 pengunjung Facebook mengesahkan mereka akan hadir.
Apabila ia diketahu ibu bapanya, mereka memaklumkannya kepada pihak berkuasa dan mengupah syarikat keselamatan untuk melindungi kediaman mereka.

Menurut akhbar Bild am Sonntag, meskipun pembatalannya diumumkan di seluruh bandar raya itu, 1,500 remaja tetap muncul di depan kediaman keluarga Thessa.
“Seratus anggota saya mengepung rumah itu, termasuk empat anggota berkuda. Tetapi ia gagal menghalang orang ramai daripada meraikan hari jadi itu diluar rumah gadis bernama Thessa,” kata jurucakap polis. - Agensi
myMetro | Gadis sembunyi lepas 1,500 serbu parti hari jadinya

Budak 12 tahun bakal dipenjara seumur hidup


MIAMI: Pendakwa raya mahu supaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipenjarakan seumur hidup - bagi mengelakkannya daripada membunuh lagi.
Cristian Fernandez mungkin menjadi banduan seumur hidup termuda di Amerika selepas dia disyorkan dibicarakan sebagai orang dewasa dalam kes pembunuhan adiknya berusia dua tahun.
Pendakwa raya Angela Corey berkata: “Kami terpaksa melindungi orang awam daripada kanak-kanak ini.” Sekiranya Fernandez didakwa sebagai juvana dan didapati bersalah, dia akan dibebaskan apabila mencecah usia 21 tahun.
Fernandez didakwa membelasah adiknya David Galarriago hingga mati di kediaman mereka di Jacksonville, Florida, Mac lalu.
David mati akibat keretakan di kepala yang menyebabkan pendarahan pada otaknya.

Dia meninggal dua hari selepas dimasukkan ke hospital.
Laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan dialaminya disebabkan oleh pukulan benda tumpul di kepalanya.

Fernandez sebelum itu pernah menyerang adiknya dan mematahkan kakinya.


Angela berkata, dia mahu budak itu dibicarakan sebagai orang dewasa selepas mengkaji semula sejarah keganasan.


- Agensi

myMetro | Budak 12 tahun bakal dipenjara seumur hidup

120 askar Syria terbunuh

BEIRUT: Pasukan keselamatan Syria bertempur dengan kumpulan bersenjata yang menyebabkan 120 anggota terbunuh, menurut laporan televisyen negara itu.

Ia adalah pertempuran bersenjata paling sengit dalam penentangan terhadap Presiden Bashar al-Assad.

Laporan televisyen itu menyatakan kumpulan bersenjata membakar bangunan kerajaan di bandar Jisr al-Shughour, mencuri lima tan dinamit dan menembak serta membedil orang awam dan anggota keselamatan.
"Pasukan keselamatan berjaya membebaskan satu kawasan kejiranan yang ditawan kumpulan bersenjata itu dan kini bertempur bagi membebaskan kawasan lain," menurut laporan itu.

Aktivis pembangkang menyatakan operasi keselamatan dilakukan di bandar terbabit sejak Sabtu lalu dan sekurang-kurangnya 37 penduduk dan 10 anggota polis terbunuh. - Reuters
Berita Harian Online | 120 askar Syria terbunuh

2 remaja maut motosikal rempuh kereta

KUANTAN: Dua sahabat yang juga pelajar sekolah menengah di Maran maut selepas motosikal dinaiki bertembung sebuah kereta ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan mereka di Kilometer 19 Jalan Maran - Bandar Jengka, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Aznil Junid, 14, yang menunggang motosikal dari Kampung Sungai Ling Luar, Chenor, Maran, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran, manakala pemboncengnya, Mohd Khairuzzaman Abdul Rahman, 15, dari Kampung Buria, Maran, pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Najid Jusoh, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menuju ke Maran sebelum cuba memotong kenderaan di hadapan mereka.
Beliau berkata, tindakan mangsa memotong di laluan berselekoh tajam itu menyebabkan motosikal dinaiki memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki menuju ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bandar Jengka.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya dan pada masa sama, sebuah motosikal lain jenis Yamaha dinaiki dua lelaki dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala. Pembonceng sebuah lagi motosikal turut cedera parah apabila patah kaki, manakala penunggang dan pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Berita Harian Online | 2 remaja maut motosikal rempuh kereta

'Tak sempat agih air zam-zam'


ANGGOTA Penyelamat  Bomba Segamat mengeluarkan mangsa terbabit dengan kemalangan maut di KM60 Jalan Muar, Segamat, semalam.
ANGGOTA Penyelamat Bomba Segamat mengeluarkan mangsa terbabit dengan kemalangan maut di KM60 Jalan Muar, Segamat, semalam.

Pasangan suami isteri maut kereta terbabas jatuh gaung

SEGAMAT: Hasrat sepasang suami isteri yang baru pulang mengerjakan umrah kelmarin, untuk mengagihkan air zam-zam dibawa dari Makkah sebagai oleh-oleh kepada keluarga di kampung tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di sini, petang semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 60, Jalan Muar-Segamat dekat Kampung Batu 10, kira-kira jam 3.30 petang itu, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mazlan Dollah, 52, dan isterinya Hasnah Ahmad, 48, mati di tempat kejadian.
Kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton, yang dipandu Mazlan hilang kawalan sebelum terbabas dan menjunam serta terbalik dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.
Tiga anak pasangan itu – Nor Faizah, 24; Nor Amirah, 14; dan Mohd Arif, 12; serta menantu mereka, Shahrul Aidil, 24; serta anak saudara, Nor Shila, tiga tahun, cedera dan dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Segamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan M Anuar Ismail, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan dinaiki keluarga terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung bersebelahan jalan.

“Difahamkan, ketika itu, keluarga terbabit dalam perjalanan ke rumah keluarga di FELDA Sri Ledang dekat sini.

“Sepasukan anggota polis dan tiga jentera Bomba dan Penyelamat Segamat dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan yang tercampak ke dasar gaung terbabit,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris mereka.

Anak mangsa, Mohd Arif berkata, sejurus kemalangan berlaku, dia yang terselamat merangkak memanjat gaung terbabit sebelum dibantu seorang penunggang motosikal yang berhenti di situ untuk mendapatkan bantuan.

“Kami tinggal di Sepang, pagi tadi saya ikut ibu dan ayah yang baru balik dari umrah semalam (kelmarin), untuk menyampaikan oleh-oleh kepada saudara di Serting,” katanya. Berita Harian Online | 'Tak sempat agih air zam-zam'

3 maut nahas balik cuti


JENAZAH Zaimudin (gambar kecil, kiri) dan Nur Dahyah (kanan) diuruskan untuk dibawa pulang ke Parit Sikom, Pontian, semalam manakala (gambar kecil) tengah, Rokiah Kamiran.
JENAZAH Zaimudin (gambar kecil, kiri) dan Nur Dahyah (kanan) diuruskan untuk dibawa pulang ke Parit Sikom, Pontian, semalam manakala (gambar kecil) tengah, Rokiah Kamiran.

Jalan licin punca kereta dipandu anak hilang kawalan

KOTA TINGGI: Perjalanan pulang sembilan beranak daripada percutian bertukar tragedi, apabila sepasang warga tua bersama cucu berusia 11 bulan terbunuh akibat kemalangan di sini, petang kelmarin.

Kemalangan jam 3 petang di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, itu meragut nyawa mangsa Zaimudin Yasir, 67, dan isterinya, Rokiah Kamiran, 58, serta cucu mereka, Nur Dahyah Fauzi, 11 bulan.
Ketika kejadian, pasangan itu menyertai percutian keluarga menantu, Fauzi Ibrahim, 45, dan isterinya, Zubaidah Zaimudin, 36, serta lima cucu mereka terdiri Muhammad Afik, 10; Muhammad Zahin, 9; Hanizah, 6; Muhammad Sakimi, 3, dan Nur Dahyah.
Keluarga terbabit menempuh malang apabila kenderaan Toyota Avanza yang dipandu Fauzi ketika dalam perjalanan pulang ke Parit Sikom, Pontian itu, hilang kawalan dipercayai akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.

Akibat kemalangan itu, Nur Dahyah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan leher, Zaimudin yang cedera di kepala meninggal dunia jam 5 petang, disusuli Rokiah setengah jam kemudian.

Zubaidah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Muhammad Afik dan adiknya, Hanizah, dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), sementara Fauzi bersama dua anaknya, Zahin dan Sakimi di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Waris mangsa, Zaitun Zaimudin, 43, berkata ibu bapanya tinggal di Parit Sikom, dijemput Fauzi dan adiknya, Zubaidah yang tinggal di Taman Bukit Mewah, Kulai, untuk bercuti di Mersing sempena cuti sekolah.
“Ketika kemalangan, mereka dalam perjalanan pulang selepas berkunjung ke Mersing,” katanya.

Ketua Polis Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dialami.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan tetapi pemandunya belum membuat laporan kerana masih dirawat di HKT,” katanya.

Jenazah Zaimudin dan Rokiah serta cucu mereka, Nur Dahyah, dihantar pulang ke Parit Sikom, selepas selesai urusan bedah siasat jam 1.30 pagi semalam. Berita Harian Online | 3 maut nahas balik cuti

Amah mati dipercayai didera majikan

PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga asing, mati dengan kesan luka dan lebam di seluruh badan dipercayai menjadi mangsa dera majikannya di Sea Park, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dikatakan dibawa majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata pihaknya mengarahkan hospital membuat bedah siasat terhadap mangsa sebaik dimaklumkan kematian itu.
Katanya, laporan awal bedah siasat mendapati, terdapat kesan luka dan lebam di seluruh badan mangsa dan cakar di belakang badan, tetapi punca kematian belum dikenal pasti.

“Susulan kejadian itu, polis menahan pasangan suami isteri iaitu majikan mangsa berusia lingkungan 50-an pada jam 3 petang pada hari sama, dipercayai mampu membantu siasatan polis berhubung kejadian itu,” katanya.
Berita Harian Online | Amah mati dipercayai didera majikan

Murid Tahun Dua kena rogol dalam tandas

PETALING JAYA: Kegembiraan seorang murid Tahun Dua yang mengikuti kakak dan abang iparnya ke sebuah majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila menjadi mangsa rogol ketika berada dalam tandas, di Sekinchan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berada di dalam dewan majlis berkenaan, dikatakan meminta abang iparnya menemaninya ke tandas yang tidak jauh dari lokasi terbabit.

Abang ipar mangsa berusia 20-an yang menunggunya di luar tandas memanggil mangsa selepas hampir 15 minit belum keluar, tetapi mangsa menjawab urusannya belum siap menyebabkan lelaki berkenaan beredar dan menunggu di sebuah kantin tidak jauh dari lokasi itu.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, abang ipar mangsa mendengar jeritan budak dipercayai adik iparnya sebelum melihat seorang lelaki berlari keluar dari tandas berkenaan dalam keadaan bogel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata abang ipar mangsa yang melihat adiknya meraung kesakitan itu bergegas mendapatkan pertolongan orang ramai menangkap suspek sebelum ditahan hampir 20 minit kemudian.
Berita Harian Online | Murid Tahun Dua kena rogol dalam tandas

Budak lemas dalam besen


BEE TIN tidak dapat menahan sedih ketika membawa mayat anaknya, Xing Rou, ke Hospital Pulau Pinang, semalam.
BEE TIN tidak dapat menahan sedih ketika membawa mayat anaknya, Xing Rou, ke Hospital Pulau Pinang, semalam.

Mangsa dipercayai main sendirian tanpa disedari petugas pusat jagaan

GEORGETOWN: Remuk hati seorang ibu sebaik mengetahui anak perempuannya yang berusia dua tahun ditemui mati, dipercayai akibat lemas dalam besen di bilik air sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Jalan Paya Terubong, di sini, semalam.

Heng Bee Tin, 38, jelas tidak dapat menahan kesedihan sebaik saja melihat mayat anaknya, Stella Chew Xing Rou, terbujur kaku di sebuah klinik di Bandar Baru, Farlim.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 tengahari itu, Xing Rou ditemui mati di dalam besen air dipercayai akibat mati lemas dan ketika kejadian itu, mangsa dipercayai bermain seorang diri di bilik air tanpa disedari penjaga pusat jagaan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superitenden Abdul Halim Bulat, berkata ketika kejadian, semua kanak-kanak dan penjaga yang berada di pusat jagaan terbabit sedang menonton televisyen.

"Hasil siasatan awal mendapati, penjaga di pusat jagaan itu dikatakan tidak menyedari kehilangan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, selepas menyedari kehilangan kanak-kanak terbabit, penjaga berkenaan bertindak mencari dan terkejut apabila menemui kanak-kanak terbabit di bilik air.

Mereka terus membawa Xing Rou untuk mendapat rawatan di klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia. Berita Harian Online | Budak lemas dalam besen

William, Kate berpindah ke Istana Kensington


PUTERA William dan isterinya, Catherine akan terus menginap di kediaman utama mereka di Anglesey.
PUTERA William dan isterinya, Catherine akan terus menginap di kediaman utama mereka di Anglesey.

LONDON: Putera William dan isterinya, Catherine akan berpindah ke Istana Kensington, kediaman yang pernah dihuni pewaris takhta Britain itu bersama mendiang ibunya, Puteri Diana dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan Duke of Cambridge dan adiknya, Putera Harry tinggal di istana itu selepas Diana dan Putera Charles bercerai pada 1996, tetapi pasangan pengantin baru itu akan berpindah di lokasi berbeza di kawasan sama.
Jurucakap Istana St James berkata: “Kita mengesahkan yang kediaman rasmi Duke dan Duchess of Cambridge di London adalah bangunan di Istana Kensington.
“Pelbagai pilihan kediaman jangka panjang masih dipertimbangkan.
“Pasangan itu akan terus menginap di kediaman utama mereka di Anglesey dan pejabat istana masih ditempatkan di Istana St James,” tambahnya.

Pasangan diraja itu kini tinggal di pulau utara Wales di Anglesey dit tempat putera itu berkhidmat sebagai juruterbang mencari dan menyelamat pasukan Tentera Udara British (RAF).

Dalam perkembangan lain, sumber memberitahu New York Post pertemuan pasangan diraja dengan Arnold Schwarzenegger ketika lawatan rasmi ke California tidak akan berlaku.
“Ia tidak akan diteruskan,” kata sumber itu merujuk kepada pertemuan dengan bekas gabenor California yang dilanda skandal anak luar nikah dan perpisahan dengan isterinya Maria Shriver.

William dan Catherine yang terbang ke Los Angeles pada 8 Julai, sebelum ini menimbangkan untuk bertemu Schwarzenegger.

“Penganjur lawatan diraja juga membincangkan pertemuan peribadi pasangan diraja itu dengan Schwarzenegger di kediaman Konsul Jeneral Britain di Los Angeles. Tetapi kini rancangan itu sudah diketepikan,” tambah sumber berkenaan.

Wakil Schwarzenegger menegaskan pertemuan dengan pasangan diraja itu tidak pernah dimasukkan dalam jadual.

“Tiada rancangan menemukan mereka. Memang ada khabar angin dalam internet dan saya tidak tahu dari mana ia datang,” katanya. – Agensi Berita Harian Online | William, Kate berpindah ke Istana Kensington

Bundchen supermodel terkaya



Gisele Bundchen
Gisele Bundchen

Pintar urus kewangan, miliki jenama sendiri

LONDON: Model jelita Brazil, Gisele Bundchen menjadi supermodel bilionair pertama dunia, kata majalah perniagaan Forbes.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan wanita berusia 31 tahun itu menerima bayaran supermodel tertinggi sejak 2004 dan seorang yang amat pintar menguruskan sumber kewangannya.
Beliau juga diramal bakal menjadi bilionair sebaik mencecah usia 32, tahun depan.
Majalah itu menganggarkan pendapatan tahunannya berjumlah AS$45 juta (RM135 juta).

“Bundchen sering tampil dalam kempen jenama fesyen berprofil tinggi seperti Versace dan Dior, tetapi turut menjana pendapatan menerusi jenama sendiri,” kata laporan itu.

Editor Forbes menyenaraikan kontraknya yang menguntungkan dengan Versace dan Dior, kejayaannya dalam bidang barang perhiasan dan pakaian sukan dan pegangan hartanah di Brazil, Costa Rica dan Brentwood, California antara asetnya.
Bundchen melesenkan namanya dalam beberapa produk termasuk perhiasan dan kosmetik mesra alam serta capal yang dikenali sebagai Grendene.
Akhbar Korean Herald melaporkan Mei lalu, Bundchen melancarkan syarikat pakaian dalam dengan rakan kongsi Hope (Victoria Secret versi Brazil) dengan beliau sudah menjadi jurucakap, jelas Forbes.

Selain melesenkan namanya kepada syarikat itu, seperti selebriti lain, beliau juga mencipta jenamanya sendiri, Gisele Bundchen Brazilian Intimates. Tidak seperti kelaziman, beliau turut memegang saham dalam syarikat.

Wanita itu berjaya menambah lagi pendapatannya sebagai pengarah kreatif bagi rangkaian fesyen Himpunan C&A Bundchen dan bercadang menjual pegangan sahamnya dalam syarikat penjagaan kecantikannya yang diasaskannya tahun lalu, Sejaa Pure Skincare.

Laporan majalah itu menyebut Bundchen tidak hanya menjadi supermodel bilionair pertama tetapi juga wanita Brazil pertama yang menjadi jutawan dengan usaha sendiri. – Agensi. Berita Harian Online | Bundchen supermodel terkaya

Pesara tawar bersih loji Fukushima

Kerajaan Jepun belum putuskan terima cadangan ‘misi bunuh diri’

TOKYO: Pada umur 72 tahun, Yasuteru Yamada percaya beliau masih mempunyai masa depan yang baik dalam beberapa tahun mendatang.

Malah dengan usianya sekarang, beliau tidak bimbang risiko yang mungkin dihadapi dengan bekerja membersihkan loji nuklear Fukushima yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami.
“Saya akan mati dulu sebelum barah menyerang saya,” kata Yamada yang mengumpulkan lebih 270 pesara dan pekerja tua yang tidak sabar untuk berkhidmat di kawasan yang paling teruk terjejas akibat kerosakan loji nuklear di dunia sejak Chernobyl.
Yamada yang pernah berkhidmat selama 28 tahun di Sumitomo Metal Industries, berkata kerja membersihkan Fukushima masih terlalu kelam kabut, sukar amat wajar diserahkan kepada pengendalinya Tokyo Electric Power.

Beliau mahu melihat kerajaan Jepun mengambil alih tugas di Fukushima dengan kumpulannya yang dipenuhi sukarela dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan am dan pembinaan, sedia berkhidmat tanpa bayaran seperti Palang Merah.

Pegawai kerajaan Jepun secara asasnya masih membisu mengenai cadangan yang dikemukakan.

Pembantu Perdana Menteri Naoto Kan, Goshi Hosono tidak menerima kumpulan sukarela Yamada sebagai kumpulan bunuh diri.
Bagaimanapun dalam mesyuarat akhir Mei di ibu pejabat TEPCO, Hosono nampaknya lebih bersedia menerima cadangan di tengah kebimbangan mengenai risiko kesihatan pekerja muda yang sudah berada di Fukushima.

Tiga pekerja yang tidak dikenali rebah di Fukushima berikutan kepanasan melampau hujung minggu lalu di loji itu. dua pekerja loji itu sudah melepasi paras yang ditetapkan kerajaan untuk pendedahan radiasi, meletakkan mereka berisiko tinggi dijangkiti barah.

“Masalahnya ialah kumpulan pertama pekerja datang kerana wang dan mereka tidak mampu membantah sebarang syarat,” kata Yamada yang mengendalikan projeknya dari pejabat kecil di atas kedai pendandan yang hanya terletak jarak berjalan kaki ke ibu pejabat TEPCO. – Reuters
Berita Harian Online | Pesara tawar bersih loji Fukushima

Strauss-Kahn tidak mengaku salah kes serangan seksual pekerja hotel

NEW YORK: Bekas ketua pengarah Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn, 62, semalam mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja sebuah hotel di New York, dalam satu kes yang menyebabkan beliau hilang jawatan dan peluang bertanding calon Presiden Perancis.

Beliau yang memakai sut berwarna gelap, tiba di kamar mahkamah bersama isterinya wartawan televisyen Perancis, Anne Sinclair yang berjalan sambil memaut lengannya.
Mereka diiringi dua pengawal persendirian yang dibayar bagi menghalang Strauss-Kahn lari daripada ikat jamin.
Pasangan itu berjalan di hadapan sekumpulan anggota media dan pekerja hotel yang datang untuk menyokong rakan mereka yang mendakwa diserang Strauss-Kahn, sambil melaungkan kata-kata ‘kamu sungguh memalukan’.

Strauss-Kahn berdepan hukuman penjara hingga 25 tahun jika sabit kesalahan atas dakwaan cuba merogol, melakukan penderaan seksual, jenayah seksual, mengurung secara salah dan mencabul kehormatan.

Hakim Mahkamah Agung New York, Michael Obus menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

“Apabila semua bukti dikemukakan, jelas bahawa tiada tindakan paksaan,” kata peguam bela Strauss-Kahn, Benjamin Brafman kepada wartawan selepas perbicaraan. – REUTERS
Berita Harian Online | Strauss-Kahn tidak mengaku salah kes serangan seksual pekerja hotel

Rakyat Yaman desak segerakan peralihan



PEMBANGKANG mengawal jalan berhampiran rumah Sheikh Sadiq al-Ahmar di Sanaa, semalam. - Foto REUTERS
PEMBANGKANG mengawal jalan berhampiran rumah Sheikh Sadiq al-Ahmar di Sanaa, semalam. - Foto REUTERS

Pembangkang sekat Saleh daripada pulang ke tanah air

SANAA: Rakyat Yaman yang berpecah semalam meminta supaya peralihan kuasa segera dijalankan ketika pihak pembangkang berikrar akan menghalang Presiden Ali Abdullah Saleh daripada pulang ke tanah air selepas menjalani pembedahan di Arab Saudi.

Saleh yang cedera akibat letupan ketika solat di masjid di pekarangan kediaman presiden kini berehat selepas menjalani dua pembedahan di Riyadh Ahad, ketika beribu-ribu orang meraikan pemergiannya di jalan raya di Sanaa.
Jawatankuasa belia yang menjadi perancang utama di belakang kebangkitan menentang Saleh yang memegang kuasa autokratik hampir 33 tahun meminta langkah segera bagi memastikan peralihan kuasa.
Ia menyeru semua pihak dan pertubuhan politik agar menubuhkan majlis presiden sementara dan mewujudkan majlis peralihan kebangsaan.

Jawatankuasa itu juga meminta untuk penubuhan kerajaan teknokrat untuk mengetuai peralihan.

Kumpulan belia, penganjur anti rejim mengadakan demonstrasi di Sanaa dan menyeru orang ramai meraikan apa yang dikatakan sebagai penggulingan Saleh.

“Revolusi sudah mencapai objektif pertama, penggulingan Saleh,” kata seorang daripada anggota kumpulan itu yang menambah rakyat akan terus menunjuk perasaan sehingga semua matlamat dipenuhi.
Puluhan ribu penduduk membanjiri ibu negara Yaman kelmarin untuk meraikan apa yang dianggap sebagai hari berakhirnya rejim Saleh.

Ratusan turut meraikannya di bandar kedua terbesar Taez.

Kumpulan pembangkang di Parlimen Yaman berikrar untuk menghalang kepulangan Saleh ke negara itu.

“Kami akan berusaha keras menghalang kepulangannya. Kami lihat ini sebagai permulaan kepada pengakhiran regim kuku besi dan rasuah,” kata jurucakap pembangkang, Mohammed Qahtan.

Bagaimanapun jurucakap pemerintah Kongres Rakyat Umum (GPC) memberitahu stesen berita al Arabiya, bahawa ‘Presiden Saleh akan kembali ke Yaman dalam tempoh beberapa hari’.

Seorang pegawai Arab Saudi berkata Saleh dibedah dua kali kelmarin.

“Presiden Saleh menjalani dua pembedahan yang berjaya. Pembedahan pertama untuk membuang serpihan peluru di dada dan pembedahan saraf untuk lehernya.

“Prosedur seterusnya bertujuan membaiki anggota tubuh yang cedera. Selepas berehat selama dua minggu beliau akan kembali ke Sanaa,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Presiden yang diperangi rakyatnya itu terbang ke Riyadh menggunakan pesawat perubatan Arab Saudi lewat Sabtu sementara pesawat kedua membawa anggota keluarganya.

Kerajaannya menyalahkan pemimpin puak berpengaruh, Sheikh Sadiq al-Ahmar berikutan tindakan menyerang pasukan kerajaan di Sanaa sejak rancangan peralihan kuasa gagal bulan lalu.

Pejabat Sheikh Sadiq berkata pihaknya setuju untuk gencatan senjata bersyarat dan menarik pasukannya daripada bangunan awam, selepas diminta Naib Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi.

Anak sulong Saleh, Ahmed yang juga komander Pengawal Republikan yang masih berada di Yaman, bersedia mengambil alih kuasa daripada bapanya sebelum kebangkitan rakyat, kata pembangkang. – AFP Berita Harian Online | Rakyat Yaman desak segerakan peralihan

Adik Ryan Giggs berpisah dengan isteri curang



NATASHA GIGGS


LONDON - Adik bintang kelab bola sepak Manchester United, Ryan Giggs berpisah dengan isterinya, Natasha yang telah dikahwininya selama lapan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Perpisahan itu berlaku selepas timbul laporan bahawa Natasha mempunyai hubungan sulit dengan abangnya itu. Akhbar News of the World kelmarin melaporkan Giggs meniduri Natasha yang merupakan isteri adiknya, Rhodri semasa hubungan sulit berlangsung selama lapan tahun.

Natasha dikatakan mempunyai hubungan dengan Giggs sebelum dia mengahwini Rhodri.

Giggs tetap menjalin hubungan sulit itu walaupun dia sudah berkahwin dengan Stacey dan mempunyai dua anak.

Rhodri yang berusia 34 tahun dilihat sangat sedih dan tidak lagi memakai cincin perkahwinannya semalam.

Satu sumber memberitahu: "Dia sangat sedih dan tidak percaya bagaimana dia boleh dimalukan isteri dan abangnya itu.

"Walaupun Rhodri ada mengesyaki sesuatu yang tidak kena di antara Natasha dan Ryan, tetapi dia tidak sangka ia sampai ke tahap itu."

Hubungan sulit itu terbongkar selepas skandal Giggs dengan model terkenal, Imogen Thomas turut didedahkan media pada bulan lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Remaja hidap penyakit tidur


CHADWELL HEATH, Britain - Seorang remaja berusia 19 tahun, Kelly Sears menghidap penyakit ganjil apabila dia terlena semasa berjalan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelly kerap terjatuh semasa sedang berjalan apabila dia tertidur dengan tiba-tiba menyebabkannya mengalami luka.

Ekoran itu, remaja tersebut diberikan seekor anjing yang terlatih oleh sebuah pertubuhan kebajikan yang diajar untuk menjilat leher dan muka Kelly apabila dia tidur dengan tiba-tiba untuk menyedarkannya daripada tidur.

Anjing berusia dua tahun itu menjadi teman baharu remaja berkenaan sejak dua bulan lalu.

Kelly mula menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit tidur itu yang dikenali sebagai Narcolepsy semasa berumur 15 tahun apabila dia tertidur di dalam kelas di sekolahnya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia