Pages

Saturday, April 5, 2014

Wanita Indonesia terlepas hukuman pancung


Kakak ipar Satinah Jumadi Ahmad menunjukkan gambar Satinah yang berdepan hukuman pancung setelah didapati bersalah membunuh isteri majikannya di Arab Saudi. - AGENSI
JAKARTA 4 April - Kerajaan Indonesia menyumbang sebanyak Riyal 3 juta daripada keseluruhan Riyal 7 juta (RM6 juta) sebagai wang diyat (pengganti darah) untuk menyelamatkan nyawa seorang rakyatnya, Satinah Jumadi Ahmad yang berdepan hukuman pancung di Arab Saudi atas kesalahan membunuh isteri majikannya dan mencuri wang majikannya.
Satinah yang bekerja sebagai pembantu rumah, sebelum ini dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Arab Saudi selepas didapati salah membunuh isteri majikannya.
Wang diyat itu dituntut oleh keluarga majikannya sebagai syarat untuk membebaskan Satinah daripada hukuman pancung selepas dia didapati bersalah membunuh dan mencuri sejumlah Riyal 37,970 (RM34,000) daripada majikannya pada Julai 2007.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam yang merupakan tarikh akhir pembayaran diyat itu, wakil kerajaan Indonesia masih belum tiba di Gaseem, Arab Saudi untuk membuat pembayaran.
“Diharapkan tidak ada perubahan pada terma-terma tuntutan," kata Menteri Koordinasi Politik, Hukum dan Keselamatan, Djoko Suyanto seperti dilaporkan media tempatan hari ini.
Daripada jumlah Riyal 7 juta itu, Djoko berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar menyumbang sebanyak Riyal 3 juta (RM2.6 juta) sementara baki Riyal 4 juta (RM3.4 juta) diperoleh daripada sumbangan pelbagai pihak.
Menurut Djoko, wakil kerajaan Arab Saudi telah menghulurkan bantuan selepas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menulis surat kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah memohon bantuan supaya membebaskan Satinah.
Pada awalnya, wang diyat yang dituntut daripada Satinah ialah sebanyak Riyal 15 juta (RM13 juta) iaitu pada 2011, namun jumlah itu dikurangkan kepada Riyal 10 juta (RM8.7 juta) pada tahun berikutnya, sebelum akhirnya ditetapkan kepada Riyal 7 juta.
Perbicaraan kes Satinah ditangguhkan sebanyak tiga kali sebelum mahkamah tinggi Arab Saudi pada Ogis 2011 menjatuhkan hukuman mati ke atas pembantu rumah berusia 41 tahun itu, yang berasal dari Semarang, Jawa Tengah.
Kes yang dihadapi Satinah merupakan kes terbaru melibatkan pekerja Indonesia yang berhadapan hukuman mati di Arab Saudi. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_02/Wanita-Indonesia-terlepas-hukuman-pancung#ixzz2xxgQihfl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: