Oleh Azrul Hakimie Anuer
Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global. - AGENSI
KAPAL udara pernah dianggap sebagai pengangkutan masa depan dan ia digunakan secara meluas pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Namun setelah berlaku tragedi kebakaran kapal udara LZ-129 Hindenburg yang dibangunkan oleh Luftschiffbau Zeppelin pada 1935 dengan kos 500.000 pound (RM 2.71 juta) pada 6 Mei 1937 di Lakehurst, New Jersey Amerika Syarikat (AS), sehingga mengorbankan 35 nyawa, kepercayaan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan udara itu terus merudum dan ia menjadi detik kepada berakhirnya era kapal udara.
Hindenburg yang mempunyai ukuran panjang 245 meter dan lebar 41 meter adalah kapal udara terbesar pada waktu itu dan merupakan penerbangan pertama yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan berjadual antara Eropah dan utara AS.
Ia juga merupakan cara paling cepat dan selesa untuk menyeberangi Lautan Atlantik pada ketika itu.
Sebelum kejadian, kapal udara keluaran syarikat Zeppelin telah digunakan secara meluas selama 30 tahun dan sudah melakukan lebih 2,000 penerbangan tanpa mengalami sebarang kecelakaan udara.
Seramai 62 orang terselamat dalam tragedi di Lakehurst itu, manakala 35 lagi terdiri daripada 13 penumpang dan 22 orang anak kapal terkorban.
Sehingga kini, punca kebakaran itu masih tidak diketahui dan terus menjadi misteri.
Menurut sumber, kebakaran mungkin disebabkan percikan listrik statis yang terkumpul hasil daripada geseran badan kapal udara dengan udara di atmosfera.
Ini mungkin menyebabkan lapisan aluminium yang digunakan untuk menampung gas hidrogen terbakar dan menyebabkan gas yang mudah terbakar itu dilepaskan ke udara.
Namun, hidrogen yang terbakar tidak akan mengeluarkan sebarang warna dan ada yang beranggapan api marak yang berlaku ketika kapal udara itu terbakar bukan disebabkan oleh gas hidrogen.
Selain itu, gas hidrogen di dalam Hindenburg telah dicampurkan dengan bau bawang putih supaya mudah untuk menggesan sebarang kebocoran.
Namun, tiada seorang pun daripada mangsa yang terselamat dalam tragedi itu terhidu bau bawang putih sebelum kemalangan itu berlaku.
Kejadian yang menggemparkan dunia itu berjaya dirakamkan secara tidak sengaja dan ia menjadi bahan berita utama di seluruh dunia sehingga mempengaruhi keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu.
Kini selepas hampir 77 tahun kejadian itu berlaku, firma perintis penerbangan, Worldwide Aeros Corp. (Aeros) berharap untuk memperkenalkan kembali kapal udara itu dalam usaha merevolusikan sistem kargo atau pengangkutan barangan pasaran global.
Kapal udara digelar Aeroscraft tersebut akan dibina menggunakan teknologi inovatif supaya ia boleh terbang lebih baik, bagi mengelakkan masalah yang dialami oleh generasi pertama Zeppelin, berulang.
Ia hanya memerlukan satu pertiga bahan api untuk mengangkut muatan dan boleh mendarat di mana-mana sahaja, walaupun tanpa landasan kapal terbang termasuk di atas air, sekali gus menjadikannya amat sesuai untuk digunakan di zon perang dan kawasan bencana.
Aeroscraft telah dibina hasil sumbangan sebanyak AS$3 juta (RM9.82 juta) daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan bersedia untuk melakukan penerbangan ujian pertamanya tidak lama lagi, menurut Business Insider.
Aeros meramalkan kenderaan udara tersebut akan mengubah cara bagaimana kargo bergerak di seluruh dunia dengan menyediakan satu cara pengangkutan yang lebih murah daripada kapal terbang, tetapi lebih cepat daripada kapal.
Teknologi tersebut dicetuskan oleh pengasas firma, Igor Pasternak yang menemui cara untuk memampatkan helium yang membolehkan kapal udara itu mengawal beratnya.
Menurut Aeros, pihaknya menjangka Aeroscraft boleh digunakan pada pertengahan 2015.