New York: Sikap bermurah hati seorang pelancong berkongsi piza dengan seorang lelaki gelandangan memberi pengalaman mengejutkan apabila akhirnya dia mendapati peminta sedekah berkenaan bukan orang sembarangan.
Pelancong dari Paris, Karine Gombeau berkata dia melihat seorang lelaki selekeh di luar Stesen Grand Central kira-kira jam 5.45 petang baru-baru ini.
Media semalam melaporkan, ketika itu Karine dan keluarganya baru meninggalkan restoran Little Italy dan ternampak seorang lelaki mencari makanan di dalam tong sampah sambil minum bir yang dibungkus dalam beg kertas.
Karine kemudian menyerahkan lebihan pizanya kepada lelaki terbabit.
“Saya meminta maaf kerana piza itu sudah sejuk tetapi dia mengucapkan terima kasih dengan bersungguh-sungguh dan mendoakan saya sekeluarga dirahmati,” katanya.
Karine kemudian berlalu dari situ tanpa memikirkan langsung apa yang berlaku. Namun dua hari kemudian Karine tenampak gambarnya dalam akhbar memberikan piza kepada peminta sedekah yang rupa-rupanya ialah pelakon popular Hollywood, Richard Gere. Kata Karine, dia sentiasa mudah tersentuh apabila melihat seseorang mencari makanan di dalam tong sampah. “Ia terlalu menyedihkan kerana kita sering membazir makanan sedangkan ada orang yang langsung tiada apa-apa,” katanya.
Gere, 64, yang terkenal dalam filem Pretty Woman dan An Officer and a Gentleman ketika itu sedang merakamkan filem terbarunya Time Out of Mind yang turut dibintangi Jena Malone dan Kyra Sedgwick. Gere dan Kyra masing-masing memainkan watak gelandangan dan dilihat di sekitar bandar Manhattan melakonkan watak itu.
Malah ramai yang tertipu termasuk jurujual Mizan Rahman yang mengakui dia benar-benar menyangka Gere lelaki gelandangan kerana tidak nampak seperti berlakon. Ini ditambah pula dengan teknik rakaman dari jarak jauh membolehkan Gere bergerak di sekeliling Stesen Grand Central tanpa orang ramai menyedari filem sedang dirakam. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29
No comments:
Post a Comment