Pages

Monday, April 28, 2014

Saintis cipta telefon mampu kesan barah


LONDON 27 April - Pasukan saintis dari sebuah firma Britain mendakwa mereka bakal mencipta sebuah telefon bimbit yang mampu mengesan kewujudan penyakit barah pada individu dalam tempoh dua tahun lagi.
Menurut firma Owlstone, anak syarikat Universiti Cambridge, mereka berjaya menghasilkan sebuah komputer ‘yang mengukur paras penyakit itu menerusi kaedah pernafasan' yang terbukti berjaya.
Mereka sedang mengembangkan teknologi itu bagi mencipta sebuah peranti kecil yang hanya perlu diletakkan pada tapak telefon bimbit, kata firma itu.
"Untuk menjadikan peranti itu berdiri sendiri atau sebuah modul yang dilekatkan pada tele­fon bimbit, ia akan mengambil tempoh selama dua tahun. Kini, kita hanya menunggu untuk mendapatkan pelaburan sahaja,'' kata Pengasas bersama Owlstone, Billy Boyle sebagaimana dilapor Mail Online.
Britain merekodkan sebanyak 40,000 penyakit barah setiap tahun dengan kadar kelangsungan hidup dapat ditentukan menerusi kemampuan pesakit mengesan penyakit mereka pada tahap awal dan bagaimana diagnosis itu dilakukan.
Sementara itu, teknologi yang dihasilkan syarikat Owlstone itu mempunyai mikrocip yang bersaiz kuku manusia yang diprogramkan untuk ‘menghidu' pelbagai jenis bahan kimia yang ditetapkan.
Malah, teknologi itu boleh mengesan bahan kimia pada tahap rendah, pada bahagian yang memerlukan konstrasi paling banyak, sekali gus menjadi peranti yang paling ideal bagi mengesan ‘cap jari kimia’ tentang sesuatu penyakit.
Sejak beberapa tahun lalu, komputer Owlstone yang dipanggil peranti ‘Lonestar' yang kelihatan seperti tablet dengan dilengkapi tiub pernafasan telah diuji ke atas beberapa penanda yang berbeza atau penyakit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140428/lu_06/Saintis-cipta-telefon-mampu-kesan-barah#ixzz3083bUoLA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: