KETIKA kebanyakan kapal air digerakkan mengguna kuasa enjin diesel, namun kapal yang bergerak menggunakan layar dan petrol juga masih popular pada masa ini. Bagaimanapun ramai yang mungkin tidak menyedari bot atau kapal yang bergerak menggunakan kuasa elektrik telah mula digunakan sejak 120 tahun lalu.
Bot berkuasa elektrik mula popular sekitar 1880-an sehingga 1920-an, apabila enjin pembakar dalaman mula menguasai pasaran.
Sejak krisis tenaga berlaku pada 1970-an, minat kepada enjin yang senyap dan menggunakan sumber tenaga marin yang boleh diperbaharui semakin meningkat secara berterusan. Keadaan ini berlaku terutama apabila tenaga solar semakin mudah diperolehi.
Malah bot menggunakan solar secara praktikalnya telah dibina pada 1975 di Britain.
Bot elektrik pertama dibangunkan oleh Moritz von Jacobi pada 1839 di St. Petersburg, Rusia. Bot itu sepanjang 7.3 meter dan mampu membawa 14 penumpang dalam satu-satu masa dengan kelajuan 4.8 kilometer sejam. Ciptaan itu telah berjaya diuji dan dihadiahkan kepada Maharaja Rusia, Nicholas I dan belayar buat pertama kali di Sungai Neva.
Ia mengambil masa lebih 30 tahun untuk membina bateri dan motornya sebelum bot itu mula digunakan secara meluas. Pada 1886 sebuah bot elektrik dibangunkan oleh Anthony Reckenzaun dengan melakukan pelayaran menyeberangi Selat Inggeris pergi dan balik yang mengambil masa selama 8 jam.
Pada 1889, Magnus Volk membantu menubuhkan syarikat Immisch & Co dengan membangunkan armada pertama yang memiliki 6 bot menggunakan tenaga elektrik, selain bersedia untuk melakukan pelayaran di Sungai Thames.
Kebanyakan bot elektrik yang dihasilkan pada era itu berbentuk bot penumpang bersaiz kecil yang hanya mampu bergerak di atas air tenang.
Sebuah bot elektrik terbesar dihasilkan di Britain oleh Mary Gordon pada 1898. Bot itu dibina di atas Sungai Thames untuk Majlis Bandaraya Leeds bagi digunakan di Tasik Roundhay Park. Bot itu berukuran 16 meter panjang dan mampu membawa 75 penumpang. Kini bot tersebut sedang dibaik pulih.
Namun, teknologi pembuatan bot telah menunjukkan kemajuan yang dahsyat menggabungkan enjin yang menggunakan minyak dan tenaga elektrik yang semakin hari menampakkan kemajuannya dari tahun ke tahun. Antara contoh kapal moden jenis itu ialah Queen Mary 2 yang menggunakan enjin elektrik, diesel dan enjin gas turbin.
Kelebihan bot atau kapal jenis ini ialah kemampuannya untuk bergerak menggunakan enjin minyak pada satu kelajuan optimum sepanjang masa dan penggunaan motor elektrik ini pula boleh berpusing 360 darjah sebagai kendalian tambahan.
Penggunaan tenaga elektrik bagi menggerakkan bot menjadi semakin tidak berkembang sehingga syarikat Duffy Electric di California menghasilkan komponen elektrik bersaiz kecil pada 1968. Duffy Boats telah mengeluarkan lebih 10,000 bot berkuasa elektrik dan mampu mengeluarkan lebih 300 bot setahun. Menjelang 1980, Persatuan Bot Elektrik mula ditubuhkan dan bot berkuasa solar pula menjelma.
Pada 2004, seorang lelaki warga Swizerland, Raphaël Domjan memikirkan satu idea gila mahu belayar ke seluruh dunia menggunakan bot yang dijana kuasa solar. Impian itu menjadi realiti pada 2008.
Seorang usahawan di Jerman, Domjan met Immo Stroeher menyokong penggunaan teknologi solar dan berganding bersama dua orang lelaki untuk menjadikan idea itu sebagai satu kenyataan.
Pembinaan bot itu bermula pada akhir 2008 di Kiel, Jerman. Ia mengambil masa hampir 18 bulan sebelum bot solar terbesar di dunia itu yang diberi nama MS Tûranor PlanetSolar bersedia untuk berlayar di laut.
Pada 27 September 2010, bot berkuasa solar itu memulakan pelayarannya mengelilingi dunia berlepas dari pelabuhan Monaco dan kembali semula di pelabuhan itu selepas 584 hari belayar, pada 4 Mei 2012. Bot itu singgah di 52 pelabuhan untuk mempromosi penggunaan tenaga solar.
Kejayaan pengembaraan mengelilingi dunia menggunakan tenaga solar itu membuktikan teknologi photovoltaic telah matang dan semakin cekap.
Kapal layar Turanor PlanetSolar berukuran 35 meter panjang dan 26 metre lebar itu digerkkan menggunakan kuasa solar yang dijana oleh 537 meter persegi panel solar. Pada 4 Mei 2012 bot solar itu melengkapkan kembaranya sejauh 60,023 kilometer dan melawat 28 negara tanpa menggunakan tenaga bahan bakar fosil.
Panel bot solar tersebut boleh dibuka dan ditutup seperti sayap burung. Ia ditutup semasa Turanor memasuki pelabuhan dan dibuka apabila bot itu belayar di lautan. Dengan berat 90 tan, bot layar itu bergerak pada kelajuan purata 10 kilometer sejam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140428/lu_07/Evolusi-teknologi-enjin-bot#ixzz3083nXXsA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment