Pages

Sunday, March 31, 2013

Keluarga Rapunzel




30 Mac 2013
Keluarga Rapunzel
Russel dan anak-anaknya menunjukkan rambut mereka yang hampir mencecah lantai serta menjadi perhatian penduduk setempat di Illinois, Amerika Syarikat
ILLINOIS - Seorang ibu bersama tiga anak perempuannya dikurniakan genetik rambut panjang hingga digelar Rapunzel oleh penduduk setempat.

Terelynn Russel, 43, berasal dari luar Chicago berkata, rambutnya kini berukuran 1.8 meter panjang, melebihi ketinggiannya.

"Ketiga-tiga anak saya juga dikurniakan rambut panjang hampir mencecah lantai," katanya dalam laporan MailOnline.

Russel menjelaskan, untuk menjaga kebersihan dan 'keselamatan' mereka sekeluarga, beliau membuat peraturan di rumahnya.

"Mereka perlu sentiasa mengikat rambut apabila berada di dapur," katanya.

Menurutnya, peraturan itu terpaksa dibuat selepas beliau secara tidak sengaja terpijak rambutnya sendiri ketika sedang menukar lampin anak bongsunya.

Selain itu, wanita tersebut turut menetapkan jumlah pengambilan syampu dan langkah penjagaan rambut.

Sejak tahun lalu, Russel dan anak-anaknya telah mendermakan sekurang-kurangnya 20 inci rambut mereka kepada badan amal Locks of Love.

Arca 4,000 gula-gula getah




30 Mac 2013
Arca 4,000 gula-gula getah
Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan teliti bagi mendapatkan bentuk geometri bangunan.
Arca 4,000 gula-gula getah
Sebanyak 4,000 keping gula-gula getah disusun rapi.
Paris - Seorang guru sanggup meluangkan masa tiga bulan untuk menyiapkan struktur bangunan geometri dengan menggunakan 4,000 keping gula-gula getah.

Jeremy Laffon, 34, dari Marseilles, Perancis membina struktur kompleks geometri berukuran dua meter lebar dan hampir tiga meter panjang sebelum diruntuhkan secara perlahan.

“Gula-gula getah ini disusun dan dipasang dengan penuh teliti. Saya menggunakan air liur dan gam sebagai pelekat untuk mencantumkan kepingan gula-gula getah ini,” katanya menurut laporan DailyMail

Menurutnya, ia merupakan arca simbol kekecewaan yang mana pembinaannya dilakukan bertujuan untuk melihat arca tersebut runtuh dengan perlahan dan penuh berseni.

“Ilham untuk membuat arca ini tercetus selepas saya dijemput untuk mengajar di sebuah sekolah seni yang penuh dengan pelajar. Saya mencari alternatif untuk memuatkan kesemua pelajar tersebut ke dalam satu kelas dan dari situ timbul idea tentang formula ruang dan kepadatan,” katanya.

Menurutnya, beliau terpesona dengan pembinaan sebuah rumah kad dan memutuskan untuk mewujudkan arca yang sama dengan menggunakan bahan yang belum pernah digunakan sebelum ini.

“Gula-gula getah adalah tidak stabil dan satu usaha sukar untuk membuat struktur binaan ini,” katanya.

Beliau berkata, kepuasan hanya dapat dicapai tatkala melihat keseluruhan struktur binaan itu runtuh secara perlahan.

Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300




30 Mac 2013
Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300
Virginia Helena Soares de Souza
Doktor Brazil dituduh bunuh 7 pesakit, angka sebenar mungkin 300
Hospital Evangelico di mana Virginia Soares de Souza berkhidmat. - Foto ihsan Yahoo/Reuters
CURITIBA, Brazil - Seorang doktor Brazil didakwa membunuh sekurang-kurangnya tujuh pesakit dalam usaha mengosongkan katil sebuah hospital di Curitiba, tenggara Brazil, semalam.

Virginia Helena Soares de Souza mengambil sekumpulan doktor untuk membantunya melakukan pembunuhan itu di Hospital Evangelico.

Dia didakwa memberi arahan memasukkan bahan-bahan sedatif dan ubat tahan sakit selain mengawal tahap oksigen dan penggunaan ubat-ubat lain, lapor CNN.

Tujuh pegawai penjagaan kesihatan turut didakwa bersama de Souza.

De Souza tidak mengaku salah.

Laporan Reuters pula menyebut angka kematian pesakit disebabkan tindakan doktor itu kemungkinan mencecah 300 orang.

Pendakwa raya mendakwa de Souza mencabut palam, tindakan yang bertentangan dengan hasrat seseorang pesakit dan keluarga mereka dan ia juga bercanggah dengan peruntukan undang-undang Brazil.

Polis pula berkata, doktor itu bertindak demikian bagi mengosongkan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan membebaskan 'suasana tidak menyenangkan', yang diakibatkan oleh pesakit.

De Souza yang ditahan bulan lalu dikatakan memberi arahan kepada kumpulan doktor terbabit antara 2006 dan 2013.

Dalam temu bual dengan rakan media CNN, TV Globo, doktor yang menyiasat kes itu, Mario Lobato berkata, jumlah kematian akibat tindakan de Souza kemungkinan lebih banyak.

Kata Lobato, pasukannya sedang menganalisis carta perubatan membabitkan lebih 1,700 pesakit dan menemu bual lebih ramai doktor.

Sepanjang tujuh tahun lalu, de Souza sendiri tidak menyenaraikan ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit terbabit tetapi ada mengarahkan doktor-doktor yang membantunya agar menukar peralatan pernafasan mekanikal.

Malah, de Souza juga membebarkan doktor terbabit melihat rekod-rekod perubatan untuk menyenaraikan ubat-ubat yang perlu atas namanya.

Peguam de Souza, Elias Mattar Assad berkata, beliau akan membuktikan arahan anak guamnya bersandarkan keperluan perubatan.

Implan gigi dari sel tikus dicipta




31 Mac 2013
Implan gigi dari sel tikus dicipta
Binaan gigi dari sel tikus ini mengandungi dentin dan enamel yang amat kuat.
SEKUMPULAN saintis Barat sekali lagi mengorak langkah apabila berjaya mencipta implan gigi manusia daripada sel tikus.

Ketua penyelidikan, Profesor Paul Sharpe berkata, pihaknya berharap ujian berkenaan mampu menggantikan gigi palsu yang bersifat sementara.

"Gigi yang dihasilkan melalui gumpalan embrio tikus ini mampu menjadi gigi kekal dengan cara benihnya ditanam di dalam geraham pesakit," katanya dipetik dari MailOnline.

Hasil kajian awal menunjukkan struktur binaan gigi buatan kekal ini mengandungi dentin dan enamel yang amat kuat," katanya dalam Jurnal Kajian Pergigian Antarabangsa.

Tambah beliau, hasil kajian awal juga mendapati gabungan sel tikus yang membentuk gigi dalam geraham manusia adalah selamat untuk diguna pakai. 

Peranti navigasi kucing




31 Mac 2013
Peranti navigasi kucing
Pemilik kini boleh menjejaki haiwan peliharaan mereka dengan menggunakan peta Google.
KESELAMATAN kucing atau anjing kesayangan kini lebih terjamin dengan ciptaan peranti navigasi yang boleh dipasang pada leher haiwan itu.

Pencipta peranti Dave Evans, 41, dari Marlborough, Wiltshire berkata, alat navigasi itu mampu menjejaki setiap langkah haiwan menggunakan peta Google.
“Idea ini timbul selepas kucing peliharaan saya kerap hilang,” katanya dipetik dari laporan MailOnline.

Menurutnya, maklumat navigasi haiwan kalis air itu boleh diakses melalui komputer dengan menggunakan pemacu memori.

Beliau berkata lagi, kini pemilik anjing atau kucing  tidak perlu lagi mengupah pembantu untuk membawa haiwan kesayangan itu bersiar.

Virus baru lebih bahaya dari SARS




31 Mac 2013
Virus baru lebih bahaya dari SARS
Pesakit yang dijangkiti koronovirus ini akan mengalami simptom seperti kesukaran bernafas, demam, batuk dan radang paru-paru dalam tempoh 48 jam
LONDON - Virus baru yang yang menyebabkan kematian kedua di Britain, minggu lalu didakwa lebih berbahaya dari SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk).

Koronovirus misteri yang menyerang sistem pernafasan dan dipercayai berasal dari Timur Tengah itu mula dikenal pasti awal tahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan angka kematian kini mencecah 11 orang dan dua daripadanya ialah warga Britain.

Ahli mikrobiologi, Yuen Kwok-yung berkata, jika virus tersebut mengalami mutasi ia mungkin akan menjadi wabak pembawa maut.

"Virus baru ini boleh menyerang banyak organ dan membunuh sel dengan cepat berbanding SARS," katanya menurut laporan MailOnline.

Sebanyak 17 kes dilaporkan sejak WHO mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada September lalu. 
    
Pembawa koronovirus itu juga masih tidak dapat dikenal pasti, namun saintis Netherlands mendakwa hasil penyelidikan ke atas sampel darah pesakit menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh spesies kelawar Asia. 

Saturday, March 30, 2013

Nyalaan matahari dirakamkan NASA



AFP
GAMBAR menunjukkan percikan api dari permukaan matahari pada 16 Mac lalu.


FLORIDA - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat semalam mendedahkan gambar nyalaan api di permukaan matahari.
Gambar itu dirakamkan pada 16 Mac lalu.
Ia menunjukkan terdapat percikan api yang terkeluar dari permukaan matahari. - AFP

Friday, March 29, 2013

Remaja Pakistan ditembak Taliban tulis buku



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Malala Yousafzai
Malala Yousafzai keluar hospital semalam. - Foto ihsan CNN
BIRMINGHAM - Aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai yang terselamat selepas ditembak oleh Taliban Oktober lalu telah menandatangani perjanjian untuk menerbitkan sebuah buku yang nilainya dijangka mencecah AS$3 juta ( RM9.3 juta).

Malala, 15, yang memperjuangkan hak pendidikan kanak-kanak perempuan akan menceritakan sendiri pengalamannya yang telah dinafikan untuk ke sekolah.

Beliau juga akan menceritakan pengalamannya terselamat dari cubaan bunuh oleh Taliban.

Dia dan keluarganya kini tinggal di Birmingham.

Buku bertajuk, “I am Malala” bakal diterbitkan pada musim luruh ini.

“Saya berharap buku ini boleh didapati di seluruh dunia. Jadi, mereka dapat tahu betapa sukarnya bagi kanak-kanak di kampung halaman saya mendapat kemudahan pendidikan.

“Saya ingin menceritakan pengalaman saya sendiri dan kawan-kawan yang lain mengenai kesukaran kami berjuang untuk mendapatkan ilmu.

“Saya mahu buku ini menjadi sebahagian dari kempen kepada setiap kanak-kanak di seluruh dunia yang hak belajar ialah mnerupakan hak asasi bagi kanak-kanak,” katanya dipetik laporan BBC.

Penerbit Weidenfeld dan Nicolson berkata, Malala sendiri akan bercerita mengenai kisah hidupnya, pengalaman ditembak dan semangat juangnya yang tidak pernah takut kepada puak pelampau.

Korea Utara isytihar perang bila-bila masa




28 Mac 2013
Korea Utara isytihar perang bila-bila masa
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un melihat persiapan ketenteraan di pangkalan tentera Baengnyeong Island.
SEOUL - Korea Utara memberi petunjuk terakhir akan menyerang Korea Selatan selepas bertindak memutuskan talian komunikasi dengan negara itu, semalam.

Agensi berita KCNA memetik jurucakap tentera sebagai berkata, Korea Utara menghentikan respons talian hotline ketenteraan di perindustrian di Zon Bebas Tentera (DMZ) dan Palang Merah yang digunakan oleh kedua-dua negara sebelum ini.

“Peperangan boleh meletus bila-bila masa, tiada keperluan menjaga talian itu,” katanya dalam laporan Reuters.

Menurutnya, tidak wujud lagi sebarang saluran dialog atau komunikasi kedua-dua negara termasuk Amerika Syarikat.

Talian hotline itu penting bagi kedua-dua negara kerana ia digunakan sebagai alat komunikasi oleh lebih 900 pekerja yang berulang-alik ke ke kompleks perindustrian Kaesong.

Kedua-dua negara itu kini, bersiap siaga untuk melancarkan serangan nuklear dengan peluru berpandu dan pesawat tempur.

Ibu syuhada Palestin meninggal




28 Mac 2013
Ibu syuhada Palestin meninggal
Mohammed terbunuh dalam serangan di Gaza. (Gambar kecil) Mariam Farhat.
GAZA - Seorang Ahli Parlimen Palestin yang digelar 'ibu syuhada' meninggal dunia pada usia 64 tahun di hospital Gaza akibat komplikasi penyakit paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Mariam Farhat mendapat perhatian dunia apabila rakaman videonya di muat naik ke laman You Tube  selepas menyokong jihad anaknya, Mohammed, 19, untuk menentang Israel pada 2005.

“Saya berdoa untuk mempunyai 100 anak seperti Mohammed. Saya akan korbankan mereka demi ALLAH,” katanya dalam laporan AP.

Paparan video itu menunjukkan, Mohammed berpegangan tangan dengan ibunya, yang berdoa untuk beliau menjadi syahid di penempatan Yahudi di Semenanjung Gaza.

Selepas Israel berundur dari Gaza pada 2005, keluarga Mariam kembali ke penempatan Yahudi di mana Mohammed melakukan serangan militan sebelum terkorban.

Mariam mempunyai dua orang anak yang telah dibunuh oleh tentera Israel manakala seorang lagi berada di dalam penjara Israel.

Pada 2006, beliau terpilih menganggotai Parlimen Palestin sebagai penggubal undang-undang Hamas.

Kira-kira 4,000 rakyat Palestin menghadiri pengebumian beliau, termasuk Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.

1,000 bangkai itik terapung di sungai




27 Mac 2013
SICHUAN - Sekurang-kurangnya 1,000 bangkai itik ditemui terapung di Sungai Nanhe, wilayah barat daya Sichuan, menurut media tempatan, kelmarin.

Dipetik AFP, insiden terbaru itu dilaporkan berlaku seminggu selepas lebih 16,000 bangkai khinzir dibuang di Sungai Huangpu yang membekalkan 22 peratus air kepada penduduk di Shanghai.

Agensi berita Xinhua melaporkan kejadian tersebut telah meningkatkan lagi kebimbangan penduduk berhubung tahap kebersihan sumber air minuman di negara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kesemua bangkai itu sudah reput dan ia pasti menyukarkan mereka untuk mengenal pasti punca kematian misteri haiwan tersebut.

AS hantar pesawat pengebom




29 Mac 2013
AS hantar pesawat pengebom
Pesawat B-2 juga melakukan latihan menjatuhkan bom palsu di lokasi strategik di Korea Selatan.
AS hantar pesawat pengebom
Korea Utara melakukan latihan serangan bagi menguji kecekapan senjata nuklear
SEOUL - Sekutu kuat Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) menghantar dua pesawat pengebom B-2 ke negara itu dalam usaha meningkatkan ketegangan yang dicetuskan oleh Korea Utara sejak kelmarin.

Jurucakap tentera AS dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pesawat, itu diterbangkan dari pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri sejauh 21,000 kilometer.

“Kami juga membuat beberapa siri latihan udara seperti menjatuhkan bom palsu ke pelbagai sasaran di Korea Selatan yang digazet sebagai lokasi latihan,” katanya dalam laporan AFP

Menurutnya, latihan ini menyaksikan keupayaan senjata nuklear AS dalam melakukan serangan jarak jauh, tepat dan cekap,” katanya.
Terdahulu, dua pesawat pengebom AS tiba di Korea Selatan untuk melakukan latihan ketenteraan, namun tindakan itu menimbulkan kemarahan Pyongyang kerana disifatkan sebagai provokasi ke arah serangan nuklear.

Lelaki Sikh pakai serban gergasi




SEORANG anggota Tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas Amritsar semalam.


AMRITSAR - Seorang anggota tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas di sini semalam.
Panjang kain serban itu lebih 325 meter.
Dia memakai serban itu sempena sambutan Hola Mohalla yang berlangsung selama tiga hari.Festival itu diadakan bagi menunjukkan kekuatan tentera Sikh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2Ow0SeF24 
Hakcipta terpelihara 

Ikan paus diburu untuk ditembak dengan alat pengesan



GAMBAR fail seekor ikan paus biru.


SYDNEY - Sekumpulan saintis Australia menaiki bot untuk memburu beberapa ekor ikan paus biru di Lautan Selatan, Antartika selama tujuh minggu.
Saintis-saintis dari Divisyen Antartika Australia memburu ikan paus itu dengan tujuan untuk menembaknya supaya sebuah alat pengesan kecil satelit tertanam pada badan haiwan tersebut.
Alat pengesan itu akan membolehkan para saintis mengetahui pergerakan haiwan mamalia tersebut.
Ikan paus itu yang merupakan haiwan yang paling besar di dunia telah dikategorikan sebagai spesies terancam.
Menteri Alam Sekitar Australia, Tony Burke berkata, ikan paus itu boleh membesar sehingga lebih 30 meter dan mencecah berat 180 tan.
Menurutnya, lidah mamalia itu lebih berat daripada seekor gajah manakala hati ikan tersebut sebesar sebuah kereta yang kecil.
Setakat ini, para saintis tidak banyak mengetahui tentang kehidupan ikan paus itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Ow0JtXuL 
Hakcipta terpelihara 

AS hantar pesawat kalis radar



GAMBAR menunjukkan pesawat B-2 Stealth terbang di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pyeongtaek, selatan Seoul semalam.


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan, sebanyak dua buah pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth terbang di ruang udara Korea Selatan semalam.
Penghantaran pesawat itu adalah bagi memberi mesej kepada Korea Utara bahawa AS komited untuk mempertahankan Korea Selatan daripada sebarang serangan.
Pesawat-pesawat yang tidak boleh dikesan dengan radar itu dibuat selepas Korea Utara memutuskan talian komunikasinya dengan Korea Selatan.
Roket-roket milik Korea Utara juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyerang pangkalan-pangkalan AS di rantau Pasifik.
Tindakan Korea Utara itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barang mewah ke negara itu selepas rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.
Pesawat-pesawat B-2 Stealth itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri.
Ia terbang sejauh 20,800 kilometer ke Korea Selatan.
Menurut Tentera AS dalam satu kenyataan, sebutir bom palsu digugurkan dari pesawat itu di sebuah lokasi di selatan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan.
Kedua-dua pesawat itu menyertai latihan ketenteraan dengan tentera Korea Selatan yang telah mencetuskan kemarahan Korea Utara.
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu mengancam untuk melancarkan Perang Korea Kedua dan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan AS. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Ow0FV4PZ 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, March 28, 2013

Dua beradik pecah rekod dunia letak kereta di ruang sempit


LONDON 27 Mac - Bagi kebanyakan pemandu berpengalaman, meletakkan kereta secara selari bukan perkara yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi jika perbuatan kita sedang diperhatikan oleh pemandu lain yang boleh menganggu cara pemanduan kita.
Namun, dua beradik dari Britain berjaya melakukannya, walaupun di ruang letak kereta paling sempit dan dengan cara pemanduan yang laju dan hanya menggunakan brek tangan serta teknik pusingan tayar.
Atas kemahiran mereka, Alastair dan John Moffatt, berjaya memecah rekod dunia meletakkan kereta di ruang paling sempit, dengan hanya meninggalkan ruang sekecil 13.1 sentimeter antara kereta depan dan kereta belakang.
Dua beradik dari Gloucester itu mempamerkan kemahiran pemanduan dan ketepatan mereka untuk mengenepikan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Ronny Wechselberger, dengan jarak yang tinggal sekecil 14 sentimeter.
Dalam cabaran terbaharu tersebut, Alastair dan Moffatt perlu menggelincirkan kereta ke dalam ruang letak kereta yang sempit tanpa menyentuh kereta lain atau terkeluar daripada garisan putih yang ditetapkan.
Mereka menggunakan kereta Mini Mayfairs untuk melengkapkan misi mereka itu, sambil diperhatikan oleh para juri dan beberapa kamera.
Moffatt, 31, yang merupakan orang pertama memecahkan rekod tersebut berkata, dia terkejut dengan pencapaiannya memecah rekod sebelum disusuli oleh adiknya.
Alastair, 29, pula berkata, dia berasa sangat lega selepas melakar kejayaan tersebut.
"Saya hanya mempunyai satu atau dua percubaan untuk menyahut cabaran itu, menyebabkan tekanan semakin meningkat.
"Kejayaan kami memegang rekod dunia ini secara bersama merupakan pencapaian yang hebat dan kami akan bersaing sesama sendiri untuk mencipta rekod baharu," katanya.
Cabaran mereka itu dirakam pada Disember lalu untuk rancangan Officially Amazing yang memaparkan kisah-kisah lucu, pelik, mengarut, menakutkan dan percubaan memecahkan rekod dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130328/lu_08/Dua-beradik-pecah-rekod-dunia-letak-kereta-di-ruang-sempit#ixzz2OofRtoIK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Budak 12 tahun diharam guna FB



Manitoba (Kanada): Seorang hakim di Kanada mengharamkan seorang murid sekolah berusia 12 tahun daripada menggunakan Facebook selama setahun.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dibuat selepas dia mengancam dua remaja menerusi rangkaian sosial berkenaan .


Menurut stesen radio CJOB, tertuduh memuatnaikkan ancaman dengan berkata dia mahu mencekik hingga mati dua bekas rakannya kerana berebutkan seorang budak lelaki.

Murid itu mengaku bersalah membuat ancaman itu dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun di samping 50 jam kerja kebajikan. Selain itu, hakim juga mengarahnya memadamkan akaun Facebooknya.


Ibu murid itu menyokong keputusan mahkamah tetapi peguamnya membantah dengan alasan Facebook adalah kehidupan sosial remaja masa kini. - AFP

Upah untuk menangis di majlis pengebumian



London: Keluarga yang dilanda kesedihan ketika kematian orang tersayang dan merasakan tidak ramai yang meratapinya ketika upacara pengebumian kini boleh mendapatkan khidmat profesional untuk berbuat demikian.

Semakin ramai mendapatkan khidmat mereka dengan bayaran 45 pound (RM210) untuk upacara pengebumian selama dua jam. Mereka akan menangis selain turut berbicara dengan rakan si mati. Amalan itu bermula di Asia Barat dan China, tetapi ia kini kian popular di Britain.


Kumpulan ini yang dikenal sebagai ahli moirologi adalah pelakon terlatih yang mahir untuk tampil sedih di khalayak ramai.

Sebelum upacara pengebumian, mereka diberi taklimat ringkas mengenai kehidupan si mati agar mereka dapat berbicara mengenainya dengan orang yang menghadiri upacara itu seolah-olah mereka kenal rapat dengan si mati.


Pekerjaan itu sangat popular hinggakan sebuah firma di Essex kini mempunyai 20 kakitangan yang boleh melakukan tugas itu. Pengasas Rent a Mourner di Braintree, Ian Robertson mengakui idea itu mungkin jarang berlaku di kalangan masyarakat Britain, tetapi meramalkan ia akan mendapat sambutan ramai kelak. “Kami sebenarnya mendapat ilham daripada perkembangan perniagaan di China.


“Cara masyarakat Asia Barat ialah menyediakan kumpulan yang meratapi wanita menangis ia menyerlahkan lagi kaedah yang kami gunakan,” katanya.

“Ia kini semakin berkembang di Britain tempahan kami mencecah 50 peratus setiap tahun.


“Kakitangan kami akan bertemu dengan pelanggan terlebih dulu untuk membolehkan kakitangan kami mengenali si mati secara profesional atau secara sosial. Mereka akan dimaklumkan mengenai latar belakang, pencapaian, kegagalan dan lain-lain mengenai si mati agar mereka dapat berbicara dengan hadirin lain yang datang dengan yakin. Syarikat itu mengiklankan di laman webnya: “Kami terdorong untuk membantu meramaikan upacara pengebumian yang mungkin kurang dihadiri. Ia mungkin perkhidmatan yang baru di kawasan atau di negara ini.” - Agensi

Bekas ketua CIA minta maaf

Bekas ketua CIA minta maaf
Los Angeles: Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus meminta maaf atas kesilapannya menjalin hubungan sulit hingga membawa kepada peletakan jawatannya tahun lalu.

Beliau menyuarakannya buat kali pertama dalam satu ucapan awam di Universiti Southern California (USC), semalam.
Jeneral empat bintang itu mengakui kesal kerana ada pihak menanggung derita atas hubungan sulitnya dengan penulis buku kisah riwayat hidupnya, Paula Broadwell.


Petraeus juga berikrar menebus kesilapannya kepada semua pihak yang menanggung kesan perbuatannya.

Sedar kesilapan diri

“Saya berada di sini dan sedar diri saya dipandang secara berbeza berbanding setahun lalu,” katanya kepada lebih 600 veteran dan pelajar Unit Latihan Pegawai Simpanan di USC.

“Saya juga sedar apa yang berlaku adalah kesilapan sendiri.
“Jadi, izinkan saya memulakan ucapan dengan menekankan yang saya amat kesal dan meminta maaf kepada ahli keluarga, rakan dan penyokong atas sebab-sebab, yang membawa kepada peletakan jawatan dalam CIA,” katanya.

Petraeus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui ada hubungan intim dengan Broadwell, yang juga pakar kempen anti keganasan berpangkat leftenan kolonel.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terjumpa bukti hubungan itu selepas wanita dari Florida, Jill Kelley, rakan keluarga Petraeus meminta penyiasat meneliti emel bernada ancaman dari Broadwell.

Siasatan itu mendedahkan kemungkinan hubungan intim Petraeus turut membabitkan emel tidak wajar antara Kelley dan panglima perang Amerika di Afghanistan, Jeneral John Allen, sebelum ia didapati tidak benar.

Hanya berdiam diri

Sejak skandal itu dibongkar, Petraeus berdiam diri sejak lima bulan lalu.
Pada masa sama, beliau turut ditawarkan bertugas dalam sektor kewangan, memberi ucapan berbayar, menjadi perunding syarikat besar dan meneliti peluang di bidang akademik, lapor akhbar The New York Times.

AFP

Gempa bumi kuat di Taiwan



REKAHAN juga terdapat di dalam sebuah bangunan di daerah Dali, Taichung selepas gempa bumi berlaku.- REUTERS


TAIPEI - Satu gempa bumi kuat melanda sebuah kawasan di luar bandar Taiwan menyebabkan beberapa buah bangunan mengalami rekahan dan bergoyang semalam, kata beberapa pegawai.
Menurut mereka, gempa bumi itu menyebabkan kanak-kanak sekolah mencari tempat berlindung dan mencederakan seorang pekerja pejabat.
Biro Pusat Kaji Cuaca berkata, gempa bumi yang berukuran 6.1 magnitud itu dapat dirasai di keseluruhan kepulauan Taiwan.
Pusat gempa bumi itu terletak pada kedalaman 15 kilometer (km) dan 48km ke timur Nantou.
Ia turut menggegarkan bangunan-bangunan di Taipei.
Nantou terletak 250 kilometer ke selatan Taipei.
Seorang wanita berusia 72 tahun mati dekat pusat bandar apabila sebuah dinding runtuh menghempapnya.
Menurut Agensi Bomba Kebangsaan, gempa bumi itu turut menyebabkan 19 orang cedera.
Beberapa pegawai berkata, beberapa landasan kereta api berkelajuan tinggi akan diperiksa selepas perkhidmatan pengangkutan itu dihentikan buat sementara.
Menurut mereka, satu bahagian siling sebuah pejabat pentadbiran di Nantou County terjatuh dan menyebabkan seorang pekerja di pejabat itu tercedera.
Gempa bumi itu juga menyebabkan kebakaran berlaku di sebuah rumah di Nantou yang menyebabkan seorang penduduk mati tetapi api berjaya dipadamkan.
Seramai lima orang terperangkap di dalam lif semasa gempa bumi itu berlaku.
Bagaimanapun, mereka kemudian dapat diselamatkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2OmiLEQLt 
Hakcipta terpelihara 

Kapal tentera AS dipotong di Laut Sulu



BAHAGIAN depan kapal itu diangkat dengan menggunakan sebuah kren selepas ia dipotong di Terumbu Tubbataha, Laut Sulu kelmarin.- AP


MANILA - Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.
Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.
Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin.
Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.
Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu.
Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain.
Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2OmhKyzlc 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, March 27, 2013

“Taburkanlah gandum di puncak gunung supaya tidak ada yang mengatakan burung telah kelaparan di negara orang islam”

Ini adalah gambar di Turki. Masyarakat islam di sana masih lagi mengamalkan budaya tradisi menabur gandum di puncak gunung bagi sesiapa yang naik ke gunung supaya burung-burung yang kesejukan tidak mati kelaparan dalam tempoh musim salji di kawasan puncak gunung.

Orang pertama yang menuntut penduduk kawasan puncak gunung melakukan seperti ini adalah Khalifah Umar Abdul Aziz

Kata Umar Abdul Aziz:

“Taburkanlah gandum di puncak gunung supaya tidak ada yang mengatakan burung telah kelaparan di negara orang islam”

Lihatlah bagaimana hebatnya pemimpin islam dahulu. Bukan sahaja manusia yang dijaganya dengan baik, malah pada haiwan juga.

Masih adakah lagi pemimpin sepertinya sekarang?

Gempa bumi sederhana landa Taiwan




27 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter melanda Taiwan pada 10.03 pagi ini.

Menurut laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat 52km di tenggara Fengshan dan 1,937km timur laut Kudat, Sabah.

Penilaian awal jabatan itu mendapati gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Hasil cukai Palestin akan dipindahkan



Hasil cukai Palestin akan dipindahkan
Penduduk Palestin, kelmarin menyertai protes menuntut keadaan hidup lebih baik di Jabalya, utara Genting Gaza.
TEL AVIV - Israel bersetuju untuk melepaskan hasil cukai yang dikutip bagi pihak Palestin yang dibekukan pada tahun lalu, menurut kenyataan pejabat perdana menteri, kelmarin.

MEnurut AFP, keputusan itu diambil selepas berunding dengan Presiden Amerika Syarikat(AS), Barack Obama yang berkunjung ke Israel dan Tebing Barat, minggu lalu.

Jurucakap Benjamin Netanyahu berkata, langkah memindahkan hasil cukai tersebut akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad berharap keputusan tersebut bukan hanya janji kosong Israel kerana ia dilihat dapat membantu untuk memulihkan krisis kewangan di negara terbabit

Disember lalu, Israel mengumumkan bahawa mereka tidak akan memindahkan wang milik Palestin itu yang didakwa kononnya sebagai 'hukuman' di atas kejayaan mereka menaik taraf status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB).

Dua gempa bumi sederhana melanda selatan Mexico


 MEXICO CITY 27 Mac - Dua gempa bumi sederhana melanda selatan Mexico semalam, mengakibatkan pengosongan beberapa buah bangunan di ibu negara ini.
Namun, tiada kecederaan dan kematian dilaporkan dalam gempa bumi berukuran 5.5 dan gempa susulan berukuran 5.1 pada skala Richter kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan di negeri Oaxaca itu.
"Buat masa ini keadaan agak tenang ekoran gempa bumi itu. Tiada kecederaan dan amaran (pindah) telah diaktifkan manakala perkhidmatan kereta api dihentikan sebelum ia disambung semula," kata Datuk Bandar Mexico City, Miguel Angel Mancera kepada rangkaian televisyen Televisa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130327/lu_02/Dua-gempa-bumi-sederhana-melanda-selatan-Mexico#ixzz2Ohg9XOy4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cari jalan jual ginjal



Riyadh: Seorang kanak-kanak perempuan Saudi merayu bantuan untuk mendapatkan cara menjual buah pinggangnya bagi membantu bapanya yang sakit mata dan memerlukan pemindahan kornea.

Kanak-kanak itu merayu demikian menerusi laman Twitternya.


Menurut kanak-kanak itu, dia mengambil keputusan menjual pinggangnya untuk mendapatkan wang bagi membolehkan bapanya menjalani rawatan dan pembedahan kerana keluarganya miskin.



“Kanak-kanak itu berkata, bapanya perlu dibedah segera dan dia mahu membantunya. Dia merayu semua pengguna laman sosial membantunya mencari pembeli buah pinggangnya,” lapor akhbar Arar tanpa menyebut nama atau tempat tinggal kanak-kanak itu. - Agensi

Kemeja-T berharga RM274,500



Kemeja-T yang paling mahal di bandar raya New York dan mungkin di dunia ini boleh didapati di Hermes dengan harga kira-kira AS$91,500 (RM274,500).

Baju itu dibuat daripada kulit buaya dan pernah diperagakan di Paris sebahagian daripada koleksi sebagai pakaian lelaki Hermés.


Hermés enggan mendedahkan harga sebenar kemeja-T itu. Bagaimanapun, seorang pegawainya berkata, ia kurang daripada AS$100,000 (RM300,000).


Ini bukan kali pertama produk syarikat itu mencetuskan kejutan.


Tahun lalu, ia meletakkan sebuah beg tangan Birkin yang kelihatan dibuat daripada kulit buaya pada harga AS$1.98 juta (RM5.94 juta).

Doktor bunuh 300 pesakit



Sao Paulo: Seorang doktor yang dituduh membunuh pesakitnya bagi mengosongkan katil hospital mungkin boleh dipersalahkan atas lebih 300 kematian.

Virginia Soares de Souza dipercayai bertindak “seperti Tuhan” dengan memberikan ubat penenang otot berlebihan atau mematikan mesin sokongan hayat pesakit tertentu.


Jika dibuktikan, polis berkata, Virginia kemungkinan besar bertanggungjawab atas kematian lebih ramai pesakit berbanding pembunuh bersiri Britain, Harold Shipman, yang membunuh sekurang-kurangnya 215 orang sebelum dia menggantung dirinya pada 2004. Virginia - bekerja di Hospital Evangelico di Curitiba, selatan Brazil, sebelum ini dituduh menyebabkan kematian tujuh pesakit. Namun, jumlah itu meningkat ketika polis menjalankan siasatan terhadap pesakit yang diletakkan di bawah pengawasannya sejak tujuh tahun lalu. Jurucakap polis berkata, mereka mungkin mengesan hampir 300 kes membabitkan Virginia. Sementara itu, peguam Virginia, Elias Mattar Assad berkata, dia akan membuktikan bahawa tertuduh tidak bersalah di mahkamah. - Agensi

Nak bunuh ular terbakar rumah



Austin (Texas): Seorang wanita membakar hangus rumahnya selepas cuba membunuh seekor ular dengan menghidupkan api.

Jurucakap bomba bandar Liberty Elau berkata, wanita terbabit mencurah minyak tanah ke atas ular berkenaan dan mencucuh api selepas melihat reptilia itu di lamannya. “Disebabkan tindakan wanita terbabit, ular itu melarikan diri melalui longgokan sampah dan api menyambar sebelum merebak ke rumah berkenaan,” katanya. Api marak dengan pantas dan memusnahkan rumah berkenaan.


Rakaman panggilan kecemasan wanita terbabit ketika menghubungi bomba menunjukkan dia benar-benar cemas akibat kebakaran itu.


Melalui rakaman itu, wanita terbabit didengar berkata: “Kami cuba membunuh seekor ular dengan api, tapi api menyambar rumah. Boleh tolong datang segera?” Sebuah rumah berhampiran turut rosak dalam kebakaran yang berlaku Ahad lalu itu. - AFP

Pelacur mati hidup semula



Bulawayo (Zimbabwe): Seorang pelacur yang mati ketika mengadakan seks bangkit dan menjerit ketika dia hendak dibawa keluar dalam keranda dari sebuah hotel.

Kejadian berlaku di Hotel Manor di Bulawayo apabila wanita berkenaan, MaNadlo yang melacur di hotel itu pengsan dan dikatakan mati ketika mengadakan seks dengan seorang pelanggan.


Bagaimanapun, ketika mayatnya diletakkan di dalam keranda, dia tiba-tiba terjaga dan menjerit: “Kamu hendak membunuh saya?” Orang ramai yang berkerumun untuk melihat mayat wanita itu diusung keluar bertempiaran lari apabila dia bangkit.

“Ia seperti dalam filem. Orang ramai berlari kerana ketakutan. Ia kejadian yang menakutkan kerana kami yakin dia mati memandangkan tubuhnya kaku macam mayat. Sungguh ajaib,” kata seorang saksi.


Menurutnya polis berjaya mententeramkan wanita berkenaan. - Agensi

Pelajar 17 tahun jadi jutawan



D’ALOISIO menunjukkan aplikasi Summly di London semalam. -REUTERS


LONDON – Seorang pelajar sekolah di sini, Nick D’Aloisio yang berusia 17 tahun menjual satu aplikasi bagi membolehkan teks berita dapat dibaca menerusi telefon bimbit kepada syarikat Yahoo! dalam urus niaga yang dianggarkan sebuah akhbar bernilai sehingga AS$60 juta (RM184.1 juta).
Aplikasi itu akan membolehkan D’Aloisio menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia.
Ia dicipta pada November 2012.
Syarikat Yahoo! tidak mendedahkan perjanjian urus niaga itu tetapi akhbar London Evening Standard menyatakan Yahoo! akan membayar antara AS$30 juta (RM92.05) hingga AS$60 juta (RM184.1 juta).
Menurut syarikat itu menerusi satu kenyataan bahawa ia teruja untuk memiliki Summly yang memudahkan maklumat diperoleh dengan pantas, mudah dan ringkas.
Ketika berusia 15 tahun, D’Aloisio mencipta aplikasi Summly di rumahnya di sini.
Syarikat Yahoo! menyatakan, D’Aloisio dan pasukan Summly akan menyertai syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.
D’Aloisio membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan: “@Summly telah menandatangani satu perjanjian untuk dimiliki Yahoo!
“Teruja untuk memulakan babak baharu Summly!
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya.”
Akhbar London Evening Standard menyatakan, D’Aloisio pada mulanya mencipta aplikasi itu sebagai hobi.
“Saya tidak menyedari ia boleh menghasilkan wang,” kata D’Aloisio.
Ketika ditanya tentang pendapatannya yang besar ekoran pembelian syarikatnya, D’Aloisio berkata” “Saya suka kasut. Saya akan membeli sepasang kasut Nike dan saya mungkin memperoleh sebuah komputer baharu.
“Namun, buat masa kini, saya hanya mahu menyimpan wang itu di bank.
“Saya tidak perlu untuk banyak berbelanja.”
D’Aloisio belajar kod komputer semasa berumur 12 tahun selepas Stor Aplikasi Apple dilancarkan.
Dia kemudian mencipta beberapa aplikasi termasuk Facemood yang merupakan perkhidmatan yang menganalisis sentimen bagi menentukan mood para pengguna Facebook.
Pelajar itu juga pernah mencipta aplikasi perkhidmatan mencari muzik, SongStumblr.
D’Aloisio turut memberikan nasihat kepada beberapa remaja iaitu: “Jika anda mempunyai idea yang baik atau anda terdapat satu ruang kosong di dalam pasaran, terokailah dan lancarkannya kerana terdapat beberapa pelabur di seluruh dunia kini yang mencari syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan.” – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Ogthhaug 
Hakcipta terpelihara 

Tanam sayur-sayuran di kawasan bersalji




ERNST melihat rumah hijau yang mengandungi pelbagai jenis tanaman di Kangerlussaq pada 5 Mac lalu.- Reuters


KANGERLUSSAQ, Greenland – Ketua tukang masak di restoran Roklubben di sini, Kim Ernst menanam sayur-sayuran di dalam rumah hijau di kawasan yang sejuk.
Kangerlussaq merupakan sebuah kawasan yang diselaputi salji kerana ia terletak antara kawasan Artik dan Lautan Atlantik.
Ernst telah menanam pelbagai jenis sayur-sayuran dan herba seperti ubi kentang, lada Benggala serta tomato.
Ekoran perubahan cuaca, penduduk tempatan menyatakan bahawa semasa musim panas, pelbagai tanaman boleh ditanam yang sebelum ini tidak pernah terfikir akan diusahakan di kawasan bersalji. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2OgsPRAql 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, March 26, 2013

Budak 12 Tahun Meninggal Selepas Malam Pertama

Seorang budak perempuan meninggal dunia tiga hari selepas dinikahkan dengan lelaki berusia 20-an, kata sumber perubatan dan aktivis hak asasi manusia, semalam


Elham Mahdi Shuee, 12, menghembus nafas terakhir di hospital Hajja selepas dimasukkan ke situ kerana mengalami pendarahan akibat persetubuhan.

Jurucakap Sisters Forum for Human Rights, Majed Al Mathhaji, berkata Elham disahkan mengalami masalah rahim koyak. Katanya, Elham dikahwinkan melalui ‘pernikahan tukar’.

“Melalui amalan itu, keluarga suami Elham tidak membayar mas kahwin, sebaliknya menikahkan anak perempuan mereka yang sama usia dengan abang Elham,” katanya.

Selepas Elham meninggal dunia, keluarga suaminya membawa pulang anak perempuan mereka dari rumah abang Elham. Masalah buta huruf dan kemiskinan menyebabkan amalan mengahwinkan kanak-kanak sesuatu yang lazim di Yaman.

-Agensi

Ketinggian ilmu ulama Syria Sheikh Said Ramadhan



TUTUR kata dan keperibadian Sheikh Said Ramadhan dikagumi ramai ulama.


"TIDAK tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."
Itu pesanan terakhir Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al-Bouti, 84, kepada ulama terkenal Yemen, Habib Ali al-Jufri yang menghubungi beliau melalui telefon kira-kira dua minggu sebelum kematiannya akibat serangan nekad pengebom berani mati.
Kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya di Masjid Eman yang terletak di Damsyik, Syria pada 22 Mac lalu. Serangan tersebut mengakibatkan 42 jemaah terbunuh termasuk beliau.
Ternyata benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah."
Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Sheikh Said Ramadhan sudah mengetahui ajalnya akan tiba yang semua itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba pilihan-Nya.
Apa yang pasti, pemergian Syeikh Said Ramadhan pada malam Jumaat yang mulia dalam keadaan al-Quran didakap di dadanya, ditangisi jutaan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Reda terima berita
Bagi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 44, anak murid kepada Sheikh Said Ramadhan ketika menuntut di Universiti Ulum Islamiyyah di Syria sekitar tahun 1994 hingga 1997, walaupun sedih namun beliau menerima takdir itu dengan reda.
"Secara peribadi saya terkejut mendengar berita pemergian guru kami dalam tragedi tersebut. Tetapi, saya reda. Sheikh meninggal dalam keadaan sangat mulia kerana menegakkan agama Allah iaitu ketika mengajar di masjid.
"Antara keistimewaan Sheikh Said Ramadhan ialah beliau seorang mufaqih Islam. Setiap tutur kata dan pengaruhnya dikagumi dan diambil prihatin oleh ramai ulama dunia Islam. Beliau juga merupakan syeikh mazhab Syafie terkemuka pada tahun 1960-an hingga 1970-an," ujar Zulkifli yang merupakan seorang pendakwah bebas di Malaysia ketika dihubungi Kosmo!.

KETINGGIAN ilmunya membuatkan Sheikh Said Ramadhan sering diundang untuk menyampaikan syarahan di seluruh dunia.


Tambah Zulkifli, beliau pernah bertanya pada anak Sheikh Said Ramadhan, Dr. Tawfik Ramadhan berkenaan ayahnya. Ia lantas dibalas dengan kata-kata: "Di rumah kami ada sebuah bilik khas yang aku tidak pernah melihat ayahku kecuali dalam tiga keadaan iaitu membaca, menulis dan bersolat (berzikir)."
Ketika di Syria, Zulkifli turut berkesempatan berguru dengan beberapa ulama selain Sheikh Said Ramadhan iaitu Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli, Sheikh Abdul Latif Marfour dan Sheikh Abdul Rahman Habbannakah. Menurut beliau, guru-gurunya di Syria terbahagi kepada beberapa kelompok.
"Ada antara mereka bersama kerajaan, menentang kerajaan atau memilih untuk berdiam diri. Bagi saya, pendirian Sheikh Said Ramadhan terhadap isu di Syria wajar dihormati kerana beliau lebih memahami keadaan semasa di sana.
"Ia berbeza dengan Mesir. Apa pun, Sheikh Said Ramadhan di akhir hayatnya bersama dengan perjuangan rakyat," tegas Zulkifli sambil berharap umat Islam akan berpegang teguh pada pesanan terakhir Sheikh yang meminta mereka bersatu atas kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Gelaran profesor
Dilahirkan pada tahun 1929 di sebuah perkampungan Ayn Dewar di utara Syria, Sheikh Said Ramadhan merupakan ulama Ahlus Sunah Wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab Syafie terkemuka di negara tersebut.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1955. Sekitar tahun 1960-an, Sheikh Said Ramadhan pernah menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik sebagai Dekan di Fakulti Syariah, Universiti Damascus, Syria.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Islam juga di Universiti Al-Azhar.
Semasa hayatnya, beliau masih bergelar profesor di Universiti Damascus dan bergiat aktif dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menulis tidak kurang daripada 40 buah buku dalam pelbagai bidang termasuk kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan.
Ketinggian ilmunya terserlah dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan penyelidik di Royal Society of the Islamic Civilisation yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah kitab Fiqh Sirah yang menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, Haniff Abu Talib, 24, turut melahirkan rasa sedih di atas pemergian Syeikh Said Ramadhan.
"Kita membesar dengan kitab Fiqh Sirahnya. Takziah kepada seluruh umat Islam kerana kehilangan sebuah permata ummah. Beliau merupakan ulama yang telah mengarang banyak kitab dan kebanyakannya menjadi rujukan utama umat Islam," ungkap Haniff yang turut dipaparkan pada laman sosial Facebook miliknya.
Menurut Haniff, ulama bukanlah maksum dan mereka mempunyai ijtihad sendiri. Tetapi, inilah yang menyebabkan fitnah ke atas Sheikh Said Ramadhan apabila beliau membela rejim Bashar al-Assad.

SALAH satu program wacana ilmiah yang dihadiri Sheikh Said Ramadhan bertempat di Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sewaktu berkunjung ke Malaysia tiga tahun lalu.


Kunjungan ke Malaysia
"Ia berlaku lantaran kejahilan golongan awam terhadap ijtihad seseorang ulama. Apa pun, ingatlah jasa beliau yang telah meninggalkan banyak ilmunya pada kita," luah anak muda kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.
Pada tahun 2010, Sheikh Said Ramadhan pernah berkunjung ke Malaysia melalui inisiatif yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sepanjang berada di Malaysia, beliau sempat menghadiri pelbagai majlis ilmu dan memberi ceramah yang diterjemahkan oleh Zulkifli.
Ini termasuklah mengadakan syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Wacana Ilmiah: Islamic & Extremism di Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuliah di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan program Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Dalam pada itu, salah seorang ulama Syria, Sheikh Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi berkata, Allah telah mengurniakan pengakhiran hayatnya dengan kebaikan dan kemuliaan syahid.
"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam seluruhnya. Beliau merupakan seorang mujaddid dalam pemikiran dan akidah. Beliau adalah seorang alim rabbani yang berjuang membela Islam dan ASWJ berdekad lamanya di mimbar Damsyik dan kuliah syariah," jelas Sheikh Muhammad Abul Huda.
Beberapa hari sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi, Sheikh Said Ramadhan juga pernah berkata: "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada ganjaran ijtihad (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)."
Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan pengikutnya dan dikebumikan di sebelah makam Salahuddin al-Ayubi yang terletak berdekatan dengan Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2OeTtLjyX 
Hakcipta terpelihara