Pages

Thursday, March 28, 2013

Bekas ketua CIA minta maaf

Bekas ketua CIA minta maaf
Los Angeles: Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus meminta maaf atas kesilapannya menjalin hubungan sulit hingga membawa kepada peletakan jawatannya tahun lalu.

Beliau menyuarakannya buat kali pertama dalam satu ucapan awam di Universiti Southern California (USC), semalam.
Jeneral empat bintang itu mengakui kesal kerana ada pihak menanggung derita atas hubungan sulitnya dengan penulis buku kisah riwayat hidupnya, Paula Broadwell.


Petraeus juga berikrar menebus kesilapannya kepada semua pihak yang menanggung kesan perbuatannya.

Sedar kesilapan diri

“Saya berada di sini dan sedar diri saya dipandang secara berbeza berbanding setahun lalu,” katanya kepada lebih 600 veteran dan pelajar Unit Latihan Pegawai Simpanan di USC.

“Saya juga sedar apa yang berlaku adalah kesilapan sendiri.
“Jadi, izinkan saya memulakan ucapan dengan menekankan yang saya amat kesal dan meminta maaf kepada ahli keluarga, rakan dan penyokong atas sebab-sebab, yang membawa kepada peletakan jawatan dalam CIA,” katanya.

Petraeus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui ada hubungan intim dengan Broadwell, yang juga pakar kempen anti keganasan berpangkat leftenan kolonel.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terjumpa bukti hubungan itu selepas wanita dari Florida, Jill Kelley, rakan keluarga Petraeus meminta penyiasat meneliti emel bernada ancaman dari Broadwell.

Siasatan itu mendedahkan kemungkinan hubungan intim Petraeus turut membabitkan emel tidak wajar antara Kelley dan panglima perang Amerika di Afghanistan, Jeneral John Allen, sebelum ia didapati tidak benar.

Hanya berdiam diri

Sejak skandal itu dibongkar, Petraeus berdiam diri sejak lima bulan lalu.
Pada masa sama, beliau turut ditawarkan bertugas dalam sektor kewangan, memberi ucapan berbayar, menjadi perunding syarikat besar dan meneliti peluang di bidang akademik, lapor akhbar The New York Times.

AFP

No comments: