Malala Yousafzai
Malala Yousafzai keluar hospital semalam. - Foto ihsan CNN
BIRMINGHAM - Aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai yang terselamat selepas ditembak oleh Taliban Oktober lalu telah menandatangani perjanjian untuk menerbitkan sebuah buku yang nilainya dijangka mencecah AS$3 juta ( RM9.3 juta).

Malala, 15, yang memperjuangkan hak pendidikan kanak-kanak perempuan akan menceritakan sendiri pengalamannya yang telah dinafikan untuk ke sekolah.

Beliau juga akan menceritakan pengalamannya terselamat dari cubaan bunuh oleh Taliban.

Dia dan keluarganya kini tinggal di Birmingham.

Buku bertajuk, “I am Malala” bakal diterbitkan pada musim luruh ini.

“Saya berharap buku ini boleh didapati di seluruh dunia. Jadi, mereka dapat tahu betapa sukarnya bagi kanak-kanak di kampung halaman saya mendapat kemudahan pendidikan.

“Saya ingin menceritakan pengalaman saya sendiri dan kawan-kawan yang lain mengenai kesukaran kami berjuang untuk mendapatkan ilmu.

“Saya mahu buku ini menjadi sebahagian dari kempen kepada setiap kanak-kanak di seluruh dunia yang hak belajar ialah mnerupakan hak asasi bagi kanak-kanak,” katanya dipetik laporan BBC.

Penerbit Weidenfeld dan Nicolson berkata, Malala sendiri akan bercerita mengenai kisah hidupnya, pengalaman ditembak dan semangat juangnya yang tidak pernah takut kepada puak pelampau.