Lakhdar Brahimi
Lakhdar Brahimi
NEW YORK - Sambil menyifatkan kemusnahan disaksikan di Syria sekarang sebagai "satu bencana”, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab yang baru ke negara itu menegaskan, angka kematian sangat “mengejutkan.”
Menyampaikan ucapan sulung di Perhimpunan Agung PBB selaku duta baru, Lakhdar Brahimi berkata, beliau akan ke Syria dalam beberapa hari lagi.
Selain meminta sokongan PBB, kata beliau, Syria memerlukan perpaduan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan lebih 18 bulan.
Beliau yang dilantik ke jawatan itu bulan lalu bagi menggantikan Kofi Annan berkata, keadaan di Syria semakin teruk dan oleh itu, penderitaan dialami oleh rakyat negara itu tidak dapat dielakkan.
Annan memutuskan untuk tidak mahu khidmatnya dilanjutkan.
Sehubungan itu katanya, Syria akan dibina semula oleh rakyatnya sendiri, bukan orang lain.
"Sokongan komuniti antarabangsa tidak dapat dielakkan dan sangat terdesak. Ia hanya akan berkesan jika semua pihak bertindak ke arah yang sama," katanya bekas diplomat berusia 78 tahun.
Beliau pernah bertindak sebagai duta Liga Arab ketika perang saudara Lubnan pada 1989 dan membawa kepada penyelesaian konflik di rantau itu.