ISLAMABAD: Orang yang bertanggungjawab menjadikan Pakistan negara kuasa nuklear dan kemudian mengaku membocorkan rahsia atom kepada Iran, Korea Utara dan Libya, mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam politik.
Keputusan Abdul Qadeer Khan itu akan mencetuskan rasa kurang senang di Amerika Syarikat, tempat beliau dilihat sebagai pariah.
Bagaimanapun, di negaranya sendiri, Abdul Qadeer dianggap wira kebangsaan kerana peranan pentingnya membangunkan senjata nuklear dan disanjung oleh masyarakat Islam kerana menjadikan Pakistan satu-satunya negara Islam berkuasa nuklear.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada sanjungan orang awam terhadapnya dapat diterjemahkan kepada sokongan politik.
Matlamat utama pergerakan baru yang dipimpin Abdul Qadeer - Tehreek-e-Tahaffuz Pakistan atau Pergerakan Untuk Melindungi Pakistan - bukan untuk meletakkan calon tetapi menggalakkan golongan muda negara itu menyertai pilihan raya Pakistan akan datang dan menolak ‘ahli politik yang tidak cekap, kata Abdul Qadeer kepada AFP.
“Pemimpin kebanyakan parti politik besar adalah perompak dan rasuah,” katanya ketika mengumumkan pergerakan barunya itu semalam. - AFP
No comments:
Post a Comment