Pages

Friday, August 31, 2012

Bashar wajar diganti

Morsi dipaparkan pada skrin di ruang dewan media ketika pelancaran sidang NAM di Tehran, Iran, semalam.
Morsi dipaparkan pada skrin di ruang dewan media
 ketika pelancaran sidang NAM di Tehran, Iran, semalam.
 

Tehran: Pemberontakan di Syria bertujuan menentang penindasan rejim pemerintah dan menyambung bantahan penduduk seperti yang berlaku di beberapa negara Arab sebelum ini, kata Presiden Mesir, Mohamed Morsi, memalukan Iran yang menyokong kuat pemerintahan Damsyik di sidang Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di sini, semalam.

“Revolusi di Mesir berpunca daripada bantahan dunia Arab, yang bermula beberapa hari selepas Tunisia mendapat pemimpin baru diikuti Libya dan Yaman. Sekarang kebangkitan meletus di Syria bertujuan menentang rejim penindas.

Mesir sedia bekerjasama

“Rakyat Palestin dan Syria mahukan kebebasan, maruah dan keadilan. Mesir bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menghentikan pertumpahan darah,” katanya kepada perhimpunan yang mengumpulkan pemimpin negara berkecuali termasuk pemimpin agung dan presiden Iran.

“Pertumpahan darah di Syria adalah tanggungjawab kita semua dan kita tahu ia tidak akan berhenti selagi tiada campur tangan aktif. Krisis Syria menyebabkan kita risau,” katanya lagi.


Wakil Syria tinggalkan sidang

Ucapan itu menyebabkan wakil Syria di sidang NAM itu bertindak meninggalkan sidang, lapor media Mesir. “Delegasi Syria keluar ketika Presiden Morsi mula membincangkan soal negara mereka,” lapor agensi berita MENA.

Morsi berada di Tehran untuk menyerahkan giliran kepemimpinan pergerakan itu kepada Iran. Beliau adalah pemimpin Mesir pertama menjejakkan kaki ke Iran sejak revolusi Islam pada tahun 1979.

Gambaran Morsi mengenai konflik di Syria sebagai revolusi menentang penindasan bertentangan dengan pendapat Tehran dan Damsyik yang menyatakan kebangkitan itu berbeza dengan bantahan di negara Arab sebelum ini kerana membabitkan pengganas didalangi negara asing abertindak bagi pihak Amerika Syarikat dan negara rantau itu.

Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan Presiden Mahmoud Ahmadinejad beberapa kali memuji bantahan dunia Arab sebagai ‘Kebangkitan Islam’ yang diilhamkan oleh revolusi di Iran sendiri.
Bagaimanapun, Syria menolaknya dengan menyatakan apa yang berlaku adalah berbeza.

Mesir beberapa kali menyatakan sokongan kepada pejuang pembebasan Syria, melihatnya sebagai kesinambungan kebangkitan yang menyaksikan perubahan pemerintah di Tunisia, Libya dan Mesir. - AFP/AP

No comments: