Pages

Thursday, August 23, 2012

Kebakaran hutan, 3,000 dipindahkan


Seorang anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di kawasan Hutan Simpan Kebangsaan Boise dekat Featherville, Idaho, kelmarin. - REUTERS
SACRAMENTO, California 22 Ogos - Sebanyak 50 buah bangunan musnah dan kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berdekatan pekan kecil Manton terpaksa dipindahkan ekoran kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas 8.5 hektar di utara California.
Memetik kenyataan Bomba Ponderosa, kebakaran itu berpunca daripada petir yang menyambar kawasan semak dan hutan di daerah Tehama dan Shasta, kira-kira 200 kilometer ke utara ibu negeri Sacramento, sejak Sabtu lalu.
Pasukan bomba berjaya mengesan kerosakan dari udara pada salah satu daripada kawasan yang teruk terjejas sehingga selatan Manton, semalam.
"Kerugian akibat kebakaran tersebut dijangka meningkat kerana pasukan bomba belum dapat sampai ke seluruh kawasan yang disambar api," kata jurucakap Jabatan Hutan dan Kawalan Api California, Mike Witesman.
Lebih 2,000 anggota bomba berjaya mengawal api yang marak akibat angin kencang sepanjang semalam, bagi menyelamatkan pekan kecil Shingletown daripada terbakar.
Bagaimanapun, kediaman 200 penduduk masih diancam kebakaran di sekitar cerun dan kawasan pedalaman.
Dua anggota bomba cedera ringan dan sumber rasmi berkata, sebanyak 40 peratus kebakaran telah berjaya dipadamkan setakat ini. - REUTERS

No comments: