Pages

Thursday, August 23, 2012

Pertempuran cemari Aidilfitri

SRINAGAR- Ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan meriah dan penuh muhibah, keadaan amat berbeza di bandar raya yang menjadi ibu negeri Jammu dan Kashmir di India ini.
   
Dalam kegembiraan umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan hari mulia itu dengan menunaikan solat Aidlfitri dan mengadakan rumah terbuka, umat Islam di sini pula dilanda suasana huru-hara ketika mereka menyambut 1 Syawal pada Isnin.
   
Ketika kaum muslimin dan muslimat daripada segenap lapisan usia dan latar belakang kehidupan dari seluruh Srinagar berpusu-pusu ke Eidgah untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan yang penuh
berkat, mereka dikejutkan dengan serangan puak pemisah terhadap polis.
   
Kejadian itu berlaku selepas pihak berkuasa mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap beberapa pemimpin puak pemisah, termasuk Mirwaiz Umar Farooq, pengerusi All Parties Hurriyat (Freedom) Conference, yang sepatutnya menyampaikan khutbah pada solat sunat Aidilfitri. Pemimpin pemisah lain yang dikenakan perintah itu ialah Syed Ali Geelani, Shabir Shah dan Muhammad Yasin Malik.
   
Berikutan tindakan itu, rakaman ceramah Mirwaiz dipasang untuk didengari kira-kira 7,000 jemaah yang hadir.

Berikutan kejadian membaling batu terhadap polis dan anggota pasukan separa tentera serta tindakan pasukan berpakaian seragam terhadap pemberontak itu, tiga anggota polis cedera dan sebuah kenderaan berperisai yang dalam perjalanan ke Institut Sains Perubatan Sher-e-Kashmir, dibakar.
   
Greater Kashmir, sebuah akhbar tempatan, memetik seorang pegawai kanan polis yang tidak disebut namanya, sebagai berkata sekatan dikenakan terhadap pergerakan beberapa pemimpin puak pemisah untuk mencegah berlakunya kejadian tidak diingini pada hari sambutan Aidilfitri.
    
Penduduk tempatan memaklumkan kepada penulis bahawa walaupun pihak berkuasa India sering mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap para pemimpin pergerakan itu untuk menghalang mereka daripada menghadiri perhimpunan besar, tetapi kali ini orang ramai marah kerana dikenakan pada Aidilfitri.
   
Seorang penduduk yang enggan dikenali dan pernah menyaksikan beberapa aksi anggota puak pemisah dan tentera di negeri ini sejak beberapa dekad lepas, berkata pertempuran pada Isnin itu boleh dianggap satu kejadian kecil.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pertama kali melihatnya, termasuk penulis, insiden merupakan pengalaman yang menggerunkan.
   
Keadaan di Jammu dan Kashmir boleh dikatakan tenang kebelakangan ini setelah beberapa tahun dilanda ketegangan akibat tindakan puak pemisah. Namun demikian, ketegangan mudah tercetus apabila timbul isu sensitif.

Umat Islam meliputi 97 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini, yang terletak berhampiran Azad Jammu dan Kashmir yang dikuasai Pakistan, serta Gilgit-Baltistan.
   
Kehadiran anggota polis dan pasukan separa tentera begitu ketara di Srinagar, dengan pusat pemeriksaan dan sekatan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi di hampir semua jalan raya di sini.
   
Dianggarkan terdapat hampir 700,000 anggota polis dan tentera di Jammu dan Kashmir, yang bertugas di bawah perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan pusat.
   
"Keadaan ini memang mengecewakan dan tidak terdapat tanda-tanda akan reda," kata Ahmed ketika memandu beca bermotornya melepasi satu sekatan polis.
   
"India mahukan Kashmir, Pakistan pun begitu juga. Kami tak mahu kedua-dua mereka. Serahkan saja Kashmir kepada penduduknya," kata lelaki itu yang mencerminkan pemikiran kebanyakan rakyat negeri ini.

Sejurus selepas pertempuran itu, kehadiran pasukan keselamatan dipertingkatkan. Orang ramai cuba beredar dengan segera, terutama mereka yang datang bersama keluarga serta anak dan keadaan ini menyebabkan lalu lintas tidak bergerak.
   
Akhirnya, jalan raya menjadi lengang untuk seketika. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, jalan raya kembali dipenuhi orang ramai yang saling bertukar ucapan. Pelukan dan senyuman melenyapkan kebimbangan yang mereka alami sebelum itu.
   
Anak muda memasang lagu dengan sekuat-kuat hati di dalam kereta masing-masing, meniup vuvuzela dan menimbulkan suasana berpesta di jalan raya.
   
Kebanyakan warga Kashmir bersifat mesra dengan sesiapa saja dan mudah diajak berbual. Mereka dengan senang hati mempelawa orang yang mereka temui untuk menjamu selera, lebih-lebih lagi pada hari perayaan seperti Aidilfitri.
   
Kanak-kanak bersiar-siar dengan bebas di jalan raya, sama seperti pada hari-hari lain, tetapi sesuatu yang memeranjatkan penulis ialah kebanyakan kanak-kanak lelaki gemarkan alat mainan yang berupa senjata api.
   
Mereka yang memiliki senjata api paling besar selalunya berjalan dengan megah dan jarang menolak jika diajak bergambar. Televisyen tidak boleh dipersalahkan 100 peratus tentang perkara ini kerana persekitaran kehidupan, banyak mempengaruhi hidup mereka.
   
Apabila suasana bergembira kembali memenuhi kehidupan mereka, warga Srinagar melahirkan harapan agar keamanan dan keharmonian yang mereka kecapi sekarang akan berkekalan dan tidak diragut kembali daripada mereka. -Bernama

No comments: