SITTWE 25 Jun - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) menyatakan, situasi di negeri Rakhine, barat Myanmar masih 'tegang dan bergolak' dengan laporan-laporan keganasan baru serta bilangan pelarian yang terus meningkat akibat ketegangan etnik dan agama.
Situasi itu dinilai badan berkenaan selepas ia menempatkan semula sepasukan kakitangannya di Sittwe bagi menyertai kumpulan sebelum ini yang dihantar ke Rakhine.
Menurut pegawai terlibat, jumlah penduduk yang terjejas akibat keganasan itu terus meningkat dengan jumlah tidak rasmi baru dianggarkan hampir 90,000 orang, termasuk mereka yang hilang tempat tinggal atau terlalu takut untuk meninggalkan rumah masing-masing.
Bilangan itu juga dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga bulan atau lebih.
UNHCR berkata, semua pelarian di Rakhine kini ditempatkan di 70 pusat perlindungan sementara termasuk di kem-kem dan biara.
"Kakitangan yang telah melawat kem-kem pelarian di Sittwe mendapati kanak-kanak, wanita dan orang tua tidur di atas tanah. Mereka sangat memerlukan alas kanvas, selimut serta kelambu.
"Kami juga bimbang tentang kemungkinan berlaku wabak penyakit ekoran kekurangan bekalan air bersih," kata seorang jurucakap UNHCR.
Sementara itu, sebuah bangunan besar di Sittwe yang digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya Islam, terbakar semalam, namun puncanya masih belum dikenal pasti.
Seorang wanita Buddha, Mra Tha Zin yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata, insiden di kawasan Maw Leik, Sittwe itu turut disusuli bunyi tembakan, sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk. - AGENSI
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment