Pages

Saturday, June 9, 2012

Enam samseng dipenjara 136 tahun



LONDON 8 Jun - Enam anggota kumpulan samseng dijatuhi hukuman penjara berjumlah 136 tahun atas dakwaan menyerang polis, merusuh dan membakar bangunan di Birmingham ketika kejadian rusuhan di Britain pada Ogos lalu.
Mahkamah semalam mendapati tertuduh, Tyrone Laidley, 20. bersama Jermaine Lewis, 27, Nicholas Francis, 26, Wayne Collins, 25, dan Renardo Farrell, 20, bersalah atas tuduhan memiliki senjata api dengan niat mencederakan, membakar bangunan dan merusuh, selepas perbicaraan selama enam minggu.
Seorang lagi tertuduh, Amirul Rehman, 17, pula didapati bersalah kerana merusuh dan memiliki senjata api.
Setiap tertuduh dijatuhi hukuman penjara sehingga 30 tahun selepas mahkamah dimaklumkan mereka menggunakan senjata api untuk menyerang polis tidak bersenjata sebelum melepaskan tembakan ke arah sebuah helikopter polis.
Semua tertuduh yang dipercayai anggota kumpulan samseng tempatan, didakwa membakar sebuah kelab malam dengan pekerja terperangkap di tingkat atas bangunan itu, bertujuan untuk menarik perhatian polis.
Polis berkata, kira-kira 41 anggota samseng tersebut kemudian menyerang polis dan melancarkan roket sebelum melepaskan tembakan.
Rakaman litar tertutup (CCTV) yang didedahkan menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan kayu bola lisut memecahkan tingkap kelab malam itu serta melemparkan objek ke arah jalan raya.
Mereka turut melepaskan tembakan ke arah helikopter polis yang memantau kejadian tersebut. - AGENSI

No comments: