BANDAR RAYA, Mexico - Selepas berulang kali melakukan prosedur berkenaan ke atas mayat, sepasukan doktor di Mexico berjaya melakukan pembedahan pemindahan dua tangan sekali gus yang merupakan implan pertama seumpamanya di rantau Amerika Latin.
Ketua Pakar Bedah Institut Kebangsaan Sains Perubatan dan Pemakanan Salvador Zubiran, Dr. Martin Iglesias berkata, pembedahan itu dilakukan bagi menyambung dua lengan seorang lelaki tempatan Gabriel Granados.
Kedua-dua lengan Granados terpaksa dipotong selepas terbakar akibat terkena renjatan elektrik pada 2011.
Menurutnya, pesakit itu menerima sepasang lengan baharu daripada seorang mangsa tembakan berusia 34 tahun.
"Ini merupakan detik terindah, setelah beberapa lama hidup tanpa tangan, saya kini dapat melihat sepasang tangan baharu," kata Granados yang bekerja di unit kewangan pejabat pendakwa raya di sini.
Dia menjalani pembedahan tersebut awal Mei lalu.
Namun, Granados, 52, hanya dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas dia disahkan pulih.
"Ini adalah detik bersejarah untuk Mexico daripada sudut saintifik," kata pengarah institut berkenaan, Dr. Fernando Gabilondo.
Pembedahan sukar lagi rumit itu dilakukan di institut berkenaan di sini. - Agensi
No comments:
Post a Comment