BEIJING: Polis di barat daya China menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh lebih berbelas-belas kanak-kanak dan remaja lelaki sebelum memotong anggota tubuh mangsa dan menjual daging mereka kepada pelanggan yang tidak sedar ia daging manusia, menurut laporan semalam.
Pihak polis membuat penemuan ngeri itu semasa menyiasat kehilangan sekumpulan remaja lelaki di wilayah Yunnan sejak beberapa tahun lalu, menurut laporan media China dan Hong Kong.
Suspek utama dikenali sebagai Zhang Yongming, 56, yang ditahan dua minggu lalu di kampungnya di Nanmen, Yunnan.Dia mulanya disiasat beberapa bulan lalu atas pembunuhan seorang pemuda berusia 19 tahun penghujung April dan beberapa lagi orang lain yang hilang, lapor laman web Guangxi News.
Ketika anggota polis memeriksa rumah Zhang, mereka menemui telefon bimbit lelaki itu, kad bank dan bukti lain, menurut web berita itu yang turut melaporkan bahawa lebih berpuluh-puluh remaja lain hilang dari kampung sama sejak beberapa tahun lalu.
Zhang dikatakan suka menyendiri dan tidak pernah bercakap dengan jirannya. Dia pernah dipenjara 20 tahun kerana membunuh dan dikenali di kampungnya sebagai ‘raksasa pemakan daging’.
Penduduk juga memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka sering melihat beg plastik hijau mengandungi tulang putih tergantung di rumahnya.
Akhbar Hong Kong, The Standard melaporkan anggota polis menemui biji mata manusia yang diawetkan dalam botol ‘seperti arak ular’ dan beberapa cebisan daging manusia tergantung dipercayai untuk dikeringkan sebaik mereka memasuki rumah Zhang. – AFP
No comments:
Post a Comment