Pages

Wednesday, May 30, 2012

Susu campur air longkang

MUMBAI: Polis berkata, mereka menahan dan mendakwa empat lelaki di Mumbai kerana dituduh menjual susu dicampur air longkang dalam paket plastik yang dicari di tong sampah.
Empat peniaga yang ditahan kelmarin, disyaki menjual susu tercemar sejak enam bulan lalu dan dituduh meletakkan kesihatan pembeli dalam risiko kerana menjualnya di pinggir bandar. 
Akhbar Mid Day melaporkan, “Anggota polis menahan penjual susu dalam paket yang dicampur air longkang kepada pembeli.”

Anggota polis berkata, “Mereka bermain dengan nyawa pembeli, terutama kanak-kanak. Ia bukan saja tercemar tetapi ia adalah racun perlahan kepada pembeli.”

Katanya penjual itu ditahan di Vile Parle.

Jurucakap Polis Mumbai, Nisar Tamboli yang mengesahkan laporan akhbar Mid Day berkata, mereka dihadapkan di mahkamah di mana mereka menghadapi beberapa tuduhan termasuk menjual makanan atau minuman beracun dan ditahan reman sehingga 31 Mei.

Polis merampas 181 paket susu tercemar dan 160 liter susu tercemar daripada penjual itu dan sekarang menyiasat sekiranya mereka sebahagian daripada sindiket besar.

Mereka berkata, seorang daripada penjual itu sedang menyelongkar tong sampah dan mengutip paket susu, di mana mereka akan isi dengan 60 peratus susu dan 40 peratus air longkang sebelum mengedapkan paket itu dengan lilin yang dibakar.

Serbuan itu dibuat selepas mesyuarat dengan penternak lembu tenusu India bulan ini yang meminta supaya undang-undang tegas untuk membendung masalah penjualan susu tercemar kepada pengguna.

Kajian daripada pemerhati kerajaan India yang diterbitkan Januari lalu mendapati, lebih daripada dua pertiga susu di negara itu dicemari dengan bahan lain termasuk garam, bahan pencuci, serbuk susu skim, lemak, glukos dan air. - AFP

No comments: