Pages

Wednesday, May 30, 2012

Lebih 150 orang sertai maraton tertinggi



PARA peserta memulakan larian Maraton Tenzing Hillary di bes kem Gunung Everest Everest semalam.


KATHMANDU, Nepal - Lebih 150 pelari lasak mengambil bahagian dalam Maraton Everest Tenzing-Hillary yang merupakan larian tertinggi di dunia di sini semalam, kata pihak penganjur.
Acara tahunan itu diadakan bagi memperingati pendakian bersejarah manusia pertama yang berjaya menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter.
Puncak tertinggi di dunia itu ditakluki oleh Edmund Hillary dan pemandu arah warga Nepal, Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953.
Larian ekstrem itu bermula pukul 7 pagi (waktu Nepal) di Bes Kem pada ketinggian 5,356 meter dan berakhir di Namche Bazaar setinggi sekitar 2,000 meter dari aras laut.
Peserta terpaksa melalui laluan yang sempit, gunung berbatu dan oksigen yang terhad sepanjang larian sejauh 42 kilometer tersebut.
"Peserta terdiri daripada 93 rakyat asing dan 62 warga tempatan," kata penganjur Shikhar Pandey.
Pemenang pertandingan kali ini ialah peserta Nepal, Phurba Tamang yang menamatkan larian dalam tempoh tiga jam, 41 minit dan 31 saat.
Catatan tersebut cuma 11 saat lebih perlahan berbanding rekod kemenangannya dua tahun lalu. - AFP

No comments: