Pages

Wednesday, May 30, 2012

Thailand: Pampasan untuk empat orang awam dibunuh renjer

BANGKOK - Kerajaan Thailand hari ini membayar sejumlah lagi pampasan kepada keluarga empat orang awam yang dibunuh oleh renjer pada Januari lepas.
   
Setiausaha Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan Tawee Sodsong berkata setiap keluarga menerima 3 juta Baht (RM300,000) hari ini sebagai tambahan kepada 500,000 Baht (RM50,000) yang diterima sebelum ini.
   
Baki 4 juta Baht (RM400,000) akan disalurkan secara berperingkat kemudian, katanya selepas menyampaikan pampasan itu kepada keluarga mangsa berkenaan di sini.
   
Kerajaan bersetuju membayar pampasan 7.5 juta Baht (RM750,000) kepada setiap keluarga selepas siasatan khas terhadap kejadian 29 Jan itu merumuskan renjer berkenaan telah tersilap menembak mati empat orang awam itu dalam satu sekatan jalan di Pattani.
   
"Saya bersyukur kerana pampasan ini dapat meringankan bebanan keluarga saya berikutan kematian bapa kami," kata Fasiah Sani, 40, anak kepada seorang daripada mangsa Hama Sani, 65.

Tawee berkata kerajaan juga bersetuju membayar pampasan 7.5 juta Baht (RM750,000) kepada setiap keluarga yang anggota keluarga mereka dibunuh secara salah oleh pihak berkuasa sejak lapan tahun lepas termasuk insiden Tak Bai dan Krue Se.
   
Pada 21 April, 2004, sejumlah 32 orang ditembak mati dalam masjid Krue Se di Pattani oleh tentera.
   
Dalam kes Tak Bai, 85 orang yang ditahan semasa berdemonstrasi di luar balai polis Tak Bai di Narathiwat, mati akibat sesak nafas semasa dibawa dalam kenderaan ke sebuah kem tentera di Pattani, pada 24 Okt, 2004.
   
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan yang disyaki puak pemisah menyambung semula perjuangan bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

No comments: