Pages

Tuesday, March 27, 2012

Krisis minyak di Gaza meruncing

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:




Sebuah lori tangki minyak memasuki bandar Rafah selepas melintasi kawasan Kerem Shalom terletak antara Israel dan selatan Gaza pada 23 Mac lalu. - AFP



GAZA CITY 26 Mac - Krisis kekurangan bekalan minyak di Genting Gaza semakin serius dan nyawa pesakit di hospital terancam apabila satu-satunya stesen jana kuasa di wilayah Palestin ini berhenti beroperasi kerana kehabisan bahan bakar, semalam.
Hanya 48 jam selepas kira-kira 450,000 liter bahan bakar dibawa dari Israel ke wilayah tepi pantai ini pada Jumaat lalu, Lembaga Tenaga Gaza melaporkan semua tangki minyaknya kini sudah kering.
Pengguna dicatu bekalan elektrik lapan jam sehari ekoran krisis itu, kata penduduk.
"Stesen jana kuasa di Gaza City terhenti sama sekali pagi ini selepas dua hari beroperasi, dan semua pihak digesa mengambil langkah segera untuk menyelesaikan krisis bahan bakar ini supaya ia tidak berterusan," kata Menteri Kesihatan kerajaan Hamas di Gaza, Bassem Naim, semalam.
Beliau berkata, kekurangan bekalan bahan bakar itu menyebabkan nyawa pesakit terancam kerana '50 peratus daripada ambulans dan kenderaan tidak dapat bergerak dan penduduk mengalami kekangan berterusan disebabkan gangguan bekalan elektrik'.
"Dalam satu kes, gangguan bekalan itu berlaku ketika satu pembedahan dijalankan di sebuah hospital dan keadaan itu mengancam nyawa beribu-ribu pesakit," ujar Naim.
Pegawai Israel berkata, krisis bahan bakar itu adalah urusan dalaman Palestin dan sekiranya Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang beribu pejabat di Tebing Barat memesan dan membayar untuk satu lagi bekalan bahan bakar ke Gaza, Israel akan memudahkannya.
"Israel tidak pernah menghalang penghantaran bahan bakar dan tidak akan menghalangnya pada masa akan datang," kata jurucakap tentera Israel, Guy Inbar.
Penghantaran bekalan kelmarin dilakukan selepas pegawai Mesir mencapai persetujuan dengan Israel untuk membenarkan bahan bakar dihantar bagi membolehkan jana kuasa di Gaza berfungsi.
Kata seorang pegawai Mesir, persetujuan dicapai untuk penghantaran 900,000 liter bahan bakar dan belum jelas bila bakinya akan dibawa ke Gaza. - AFP

'via Blog this'

No comments: