Berita Harian Online | Mawi, Ekin diikat, disamun RM10,000:
ANGI: Ibarat nyawa di hujung tanduk! Demikian pengalaman cemas dilalui juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi dan isterinya, Ekin apabila diikat dan diacu dengan parang dan pisau oleh empat lelaki yang memecah masuk banglo mereka di Bangi Golf Resort di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, empat perompak terbabit dipercayai warga asing melarikan wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas bernilai RM10,000.
Penjenayah meletakkan parang di leher Ekin atau nama sebenar, Nora’ Ashikin Rahmat, 33, yang masih berpantang anak pertama apabila beliau membuka pintu biliknya selepas diketuk, manakala pisau diacukan ke muka Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, 31, yang sedang tidur ketika itu.
Mereka kemudian mengikat tangan pasangan itu menggunakan tali bersama ibu Ekin, Fatimah Saad, 52, dan neneknya, Salmah Sahan, 77, namun anak perempuan pasangan itu, Cahaya Malaika yang baru berusia 28 hari, tidak diapa-apakan.
Menceritakan detik cemas itu, Mawi berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur atas tilam di lantai bilik tidur utama, manakala isteri bersama ibu mentua serta anaknya tidur atas katil apabila pintu bilik diketuk.
“Ekin yang membuka pintu terkejut apabila melihat perompak terus mengacukan parang ke lehernya. Penjenayah kemudian mengejutkan saya dan mengacukan pisau ke muka sambil mengarahkan kami diam.
“Selepas itu, mereka membawa nenek yang tidur di bilik sebelah ke bilik kami sebelum mengikat tangan kami dan menekup muka saya dengan baju sambil meminta wang dan barang kemas.
“Tiga perompak mengawal gerak geri kami, manakala seorang lagi menggeledah bilik dan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Penjenayah melarikan diri kira-kira 20 minit kemudian.
Mawi bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan menggigit ikatan tali pada tangannya selepas penjenayah melarikan diri, untuk menghubungi polis.
Mengulas lanjut, Mawi berkata, beliau hanya pulang kira-kira jam 3 pagi selepas mengikuti rombongan jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di Johor Bahru, kelmarin, manakala isteri dan anak tinggal di rumah bersama ibu mentua, nenek Ekin serta seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Pembantu rumah yang tidur di tingkat bawah banglo dua tingkat itu bagaimanapun tidak diapa-apakan, malah dia tidak menyedari rumah dipecah masuk.
Mawi berkata, penjenayah dipercayai menceroboh rumahnya melalui kediaman jiran yang sedang diubah suai berdasarkan penemuan tangga pada tembok rumah sebelum mengumpil tingkap di tingkat bawah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Difahamkan, polis sudah menahan tiga pekerja binaan warga asing di sekitar kawasan berkenaan yang dipercayai bersubahat dengan kumpulan penjenayah itu, kira-kira tiga jam selepas kejadian, namun usaha memburu semua suspek sedang digiatkan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment