Pages

Tuesday, March 27, 2012

Rusia beri amaran kepada Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Anggota keselamatan Syria memeriksa satu kawasan letupan di Damsyik pada 17 Mac lalu. Dua kejadian letupan dilaporkan berlaku di Damsyik pada 17 Mac lalu mengakibatkan beberapa anggota keselamatan dan orang awam terbunuh, didakwa dilakukan oleh pengganas. - REUTERS


MOSCOW 26 Mac - Presiden Rusia, Dmitry Medvedev memberi amaran kepada Syria menerima peluang terakhir yang dibawa utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan untuk mengelakkan berlaku perang saudara di negara itu.
Medvedev turut menyuarakan sokongan penuh Moscow kepada misi Annan untuk mencari penyelesaian terhadap konflik di Syria.
Presiden Rusia itu memberikan mesej jelas tersebut kepada sekutu tradisinya itu semalam, hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengumumkan rancangan untuk menghantar bantuan 'bukan senjata' kepada pemberontak Syria.
Rusia menghadapi desakan semakin kuat daripada Barat dan negara-negara Arab supaya memperhebatkan tekanan ke atas Presiden Bashar al-Assad dan menghentikan bekalan senjata kepada rejim beliau berikutan keganasan sejak setahun lalu yang dilaporkan telah meragut lebih 9,100 nyawa.
Moscow pada Rabu lalu menyokong satu kenyataan Majlis Keselamatan PBB selepas menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat dua resolusi terdahulu, tetapi hanya selepas memastikan kenyataan itu tidak mengandungi ancaman terhadap Assad.
Kenyataan Medvedev semalam dipercayai ditujukan terhadap Presiden Syria itu.
"Ini mungkin peluang terakhir untuk Syria mengelakkan perang saudara yang berlarutan.
"Kami akan memberikan sokongan penuh kepada tuan pada mana-mana peringkat kami memainkan peranan dan sangat berharap usaha tuan membawa keputusan positif," kata Medvedev kepada Annan.
Annan berkata, beliau berharap Rusia akan memainkan peranan aktif dalam memastikan kedua-dua pihak memenuhi tuntutan yang terkandung dalam kenyataan Majlis Keselamatan PBB itu.
Utusan PBB-Liga Arab itu dijadual berada di China esok untuk mendapatkan sokongan Beijing terhadap misi Annan. - AFP

'via Blog this'

No comments: