BOSTON 25 Mac - Pengambilan dua cawan teh secara teratur setiap hari mampu membantu wanita meningkatkan peluang untuk hamil sehingga 27 peratus.
Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Boston Amerika Syarikat itu, sebaliknya mendapati, pengambilan dua minuman berkarbonat, tidak kira sama ada versi diet atau biasa, pula akan mengurangkan peluang untuk hamil sehingga 20 peratus.
Ketua Penyelidik, Professor Elizabeth Hatch berkata, kajian tersebut dilakukan terhadap 3,600 wanita yang cuba untuk hamil bagi menilai kaitan antara pengambilan kafein dan kehamilan.
"Mungkin ia disebabkan kandungan kafain di dalamnya, namun mungkin juga terdapat faktor lain yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang wanita atau bahan bermanfaat lain yang terkandung dalam minuman tersebut," katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak pasti bagaimana cara responden menikmati teh tersebut, sama ada menambah susu atau lemon di dalam minuman mereka, namun pengambilan teh didapati meningkatkan peluang wanita untuk hamil berbanding mereka yang tidak minum teh.
Kajian itu juga mendapati, teh hijau atau teh herba tidak mempunyai kaitan dengan peningkatan peluang untuk hamil.
Tambah Hatch, kajian mendalam perlu dilakukan mengenai kesihatan dan saiz bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang kerap mengambil teh, bagi mengesahkan lagi mengenai manfaat minuman itu.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu Pusat Kesburan Bridge di London, Laurence Shaw pula menasihati wanita berusia 35 tahun ke atas yang ingin hamil agar mendapatkan nasihat daripada pakar dan tidak terus mengambil teh dalam kuantiti yang banyak. - AGENSI
No comments:
Post a Comment