Pages

Thursday, January 19, 2012

Pembunuhan pakar nuklear dorong semangat pelajar Iran



TEHERAN 18 Jan. - Kira-kira 1,300 pelajar universiti di Iran memohon untuk menukar bidang pengajian utama mereka kepada sains nuklear berikutan pembunuhan seorang pakar nuklear Teheran minggu lalu.
Menteri Penyelidikan Sains dan Teknologi, Kamran Daneshjo pada sidang media kelmarin berkata, 300 pelajar berbakat di Universiti Sharif dan kira-kira 1,000 pelajar pintar di pelbagai universiti di seluruh negara ini memohon untuk menukar kursus serta mula mempelajari fizik nuklear dan kejuruteraan nuklear.
Daneshjo membuat kenyataan itu lima hari selepas pembunuhan saintis nuklear, Mostafa Ahmadi Roshan (gambar) yang merupakan bekas lulusan Universiti Sharif.
Roshan telah memainkan peranan penting dalam program nuklear Iran selaku Timbalan Pengarah loji pengayaan uranium Natanz.
Beliau terbunuh pada 11 Januari lalu akibat letupan sebutir bom magnet dilekatkan pada keretanya oleh seorang penunggang motosikal.
Roshan ialah saintis nuklear Iran yang keempat dibunuh dalam tempoh dua tahun lalu.
Pegawai Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Rahimi berkata, Presiden Mahmoud Ahmadinejad mengarahkan 'langkah keselamatan tambahan' diambil bagi melindungi pakar-pakar dan jurutera nuklear Iran.
"Sebuah pasukan petugas keselamatan khas telah pun ditubuhkan bagi tujuan itu," kata Rahimi. - AGENSI.

No comments: