Pages

Wednesday, January 18, 2012

Israel terpaksa tutup laman web


BOEING 747 milik El Al mendarat di Lapangan terbang Ben Gurion ketika laporan laman web syarikat digodam.
BOEING 747 milik El Al mendarat di Lapangan terbang Ben Gurion ketika laporan laman web syarikat digodam.


Bursa saham, syarikat penerbangan El Al sasaran penggodam Arab Saudi

TEL AVIV: Perang siber terhadap Israel meningkat selepas satu lagi kumpulan penggodam dari Arab Saudi menyerang laman web bursa saham Tel Aviv dan syarikat penerbangan kebangsaannya, El Al menyebabkannya ditutup seketika. 

Pergerakan pejuang Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza, menyifatkan serangan itu sebagai tamparan kepada kerajaan Yahudi berkenaan.
“Ini bidang baru tentangan ke atas penceroboh dan kami menggesa belia Arab membangunkan kaedah mereka dalam perang elektronik dalam berdepan dengan jenayah Israel,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, di Gaza.
Laman web itu tidak mengandungi berita sensitif manakala penerbangan juga tidak terjejas akibat serangan itu tetapi gangguan dilaporkan turut berlaku di tiga buah bank. 

Syarikat penerbangan El Al menutup laman webnya selepas serangan terdahulu memberi amaran dua laman web itu disasarkan oleh penggodam pro Palestin, kata sumber syarikat itu. 

Ia berkata, mereka mengambil langkah keselamatan untuk melindungi laman web dan gangguan memang dijangka. 

Jurucakap Bursa Saham Tel Aviv berkata, laman web itu dihujani permohonan elektronik yang melambatkan ia tetapi masih beroperasi. Pasaran saham tidak terjejas. 
Pakar siber berkata, Israel sasaran biasa penggodam online. Tiada laporan sahih mengenai laman web sulit kerajaan digodam. 

Beberapa minggu lalu, laman web perkhidmatan pengintipan Israel dan laman web rasmi lain ditutup tetapi kerajaan menafikan ia perbuatan penggodam dan menyifatkannya masalah teknikal. 

Israel adalah pemimpin dunia dalam keselamatan siber dan agensi keselamatan dalam negeri, Shin Bet, menyediakan perkhidmatan nasihat kepada sektor perniagaan seperti bank dan utiliti awam. 

Gangguan online juga berlaku di tiga bank iaitu Bank Kebangsaan Pertama Israel (FIBI) dan dua anak syarikat, Bank Massad dan Bank Otzar Hahayal. 
Jurucakap bank berkata, laman pemasaran mereka digodam tetapi ruang perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas. – Agensi 

No comments: