Pages

Wednesday, January 18, 2012

Saintis nuklear dikawal rapi: Reza

TEHERAN: Iran meningkatkan langkah keselamatan terhadap semua petugas nuklearnya selepas seorang saintis dibunuh minggu lalu.
“Siapa saja yang terlibat secara aktif dalam lapangan nuklear akan diberikan kawalan khas,” kata Timbalan Perdana Menteri Pertama, Mohammad Reza Rahimi, semalam. Menurutnya, langkah itu diarah oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Agensi berita Iran, ISNA, memetik Mohammad Reza sebagai berkata, langkah keselamatan tambahan itu yang tidak dinyatakan secara terperinci, menggantikan langkah keselamatan yang diberikan 10 bulan lalu terhadap saintis nuklear Iran.

“Kali ini, kerajaan mengarahkan sesiapa saja yang aktif dalam lapangan nuklear, dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi, akan diawasi dan diberikan kawalan khas,” kata Mohammad Reza.

Langkah keselamatan baru itu dibuat selepas Mostafa Ahmadi Roshan, 32, Timbalan Pengarah Loji Pengayaan Uranium Iran dibunuh 11 Januari lalu bersama-sama pemandu yang juga pengawal peribadinya apabila dua lelaki bermotosikal memasang bom magnet pada kereta mereka.

Serangan itu adalah yang kelima seumpamanya yang mensasarkan saintis Iran dalam masa dua tahun.


Empat saintis lain, tiga daripada mereka terbabit dalam program nuklear Iran, terbunuh dalam serangan sementara seorang terselamat tetapi cedera.

Pegawai Iran berkata, serangan itu adalah kempen sulit yang dilancar oleh Israel dan Amerika Syarikat. - AFP

No comments: